omniture

Pittsburgh Penguins, Covestro dan Kolej Kejuruteraan Carnegie Mellon ganding bahu 'Reka Semula Gelanggang'

Pittsburgh Penguins; Covestro; Carnegie Mellon University
2018-03-12 21:15 670

Langkah pertama 'Make-a-Thon' dalam kolaborasi unik teroka cara baharu jadikan hoki lebih selamat untuk pemain semua peringkat usia

PITTSBURGH, 12 Mac 2018 /PRNewswire/ -- Pittsburgh Penguins berganding bahu bersama dua syarikat gergasi sains dan teknologi bertaraf antarabangsa dalam satu inisiatif berani untuk menjadikan hoki lebih selamat pada semua peringkat.

 

"Rethink The Rink" ("Reka Semula Gelanggang"), satu projek yang pertama seumpamanya, akan mencabar mahasiswa dari Kolej Kejuruteraan Carnegie Mellon University untuk membangunkan penyelesaian bahan yang dapat meningkatkan keselamatan sukan berkenaan tanpa menjejaskan prestasi permainan. Inisiatif pertama itu akan menumpu terhadap reka bentuk semula papan dasher gelanggang dan kaca. Ketika mahasiswa mengaplikasikan daya kreativiti dan kekuatan akademik mereka bagi menyahut cabaran tersebut, mereka akan mendapat akses kepada pakar-pakar dan teknologi bahan dari Covestro, pengeluar polimer berteknologi tinggi dan "Rakan Kongsi Inovasi Rasmi Pittsburgh Penguins."

"Para pemain bersaiz lebih besar, lebih pantas dan lebih kuat berbanding sebelum ini, maka cabaran kami adalah untuk mencari cara baharu bagi memastikan mereka lebih selamat dan dapat mengurangkan kecederaan," kata David Morehouse, presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Penguins. "Kolaborasi bersama Covestro dan Carnegie Mellon ini adalah satu percubaan khusus untuk memanfaatkan hasil kemajuan terkini dalam sains bahan bagi menangani sempadan fizikal di sekeliling gelanggang hoki. Berjayakah kami menghasilkan penyelesaian bahan yang dapat mengurangkan impak hentaman pemain ke dinding dan menjadikan permainan lebih selamat untuk pemain pada semua peringkat usia?"

Langkah utama yang pertama dalam proses tersebut ialah "Make-a-thon" pada 12-16 Mac di Kolej Kejuruteraan. Acara interaktif berkenaan akan menghimpunkan pasukan-pasukan mahasiswa CMU untuk mereka bentuk dan membangunkan prototaip bagi pengujian.

Sekiranya berjaya, prototaip tersebut akan diserahkan kepada pakar-pakar di NHL dan USA Hockey bagi mendapatkan maklum balas mereka. Kemudian, ujian boleh dijalankan oleh pemain-pemain amatur di FedEx Rink bertempat di Kompleks Sukan UPMC Lemieux, Cranberry.

"Tiada rakan kongsi lebih baik yang dapat saya bayangkan berbanding Covestro dan Carnegie Mellon Engineering, yang mengiktiraf enjin inovasi global dalam bahan dan kejuruteraan," kata Morehouse. "Digabungkan dengan pandangan daripada Penguins dan NHL dari sudut pengurusan hoki dan gelanggang, kami berpendapat ini merupakan satu pasukan luar biasa untuk meneroka cara-cara bagi menjadikan sukan fizikal yang sememangnya lebih selamat untuk semua pemain. Ini akan menjadi projek penyelidikan bermakna yang mana, sekiranya kami dapat mencapai matlamat kami, ia dapat memberi impak jangka panjang terhadap permainan."

Idea yang mencetuskan "Rethink the Rink" bermula menerusi beberapa perbualan antara Morehouse dan Jerry MacCleary, Ketua Pegawai Eksekutif Covestro LLC, yang mempunyai ibu pejabat Amerika Utara di Pittsburgh.

"Kami tertarik dengan projek ini atas beberapa sebab – bukan sahaja kerana ia menggabungkan minat kami terhadap penyelesaian masalah dan tumpuan utama kami terhadap keselamatan, namun lebih penting, kerana kami percaya dengan potensi jangka panjangnya," kata MacCleary. "Dalam proses ini, kami menulis buku strategi dan permainan (playbook), dan inilah cara inovasi berlaku – dengan menerobos sempadan. Dan usaha penerobosan kami akan menjadi lebih mantap dengan sokongan tiga organisasi hebat di belakangnya."

"Di Carnegie Mellon, kami mencabar mahasiswa kami untuk menangani masalah luar biasa, berinovasi, bersifat ingin tahu dan memanfaatkan sepenuhnya projek-projek pembelajaran secara amali seperti cabaran 'Rethink the Rink'," kata James H. Garrett Jr., dekan Kolej Kejuruteraan. "Inisiatif ini, yang dilaksanakan oleh tiga organisasi bertaraf dunia, adalah lambang tahap kolaborasi termaju yang kami amalkan bagi memacu hasil yang membawa kejayaan cemerlang."

Sekiranya inisiatif untuk papan hentam dan kaca berhasil, kumpulan "Rethink the Rink" kemudiannya akan meneroka peranan bahan-bahan dalam aspek-aspek hoki yang lain, termasuk peralatan pemain dan pembinaan gelanggang.

"Usaha menghimpunkan organisasi-organisasi yang berpangkalan di Pittsburgh untuk berfikir secara kreatif dalam menyahut cabaran ini adalah satu contoh semangat keusahawanan dan tenaga bandar tersebut dan menunjukkan mengapa ia berkembang pesat pada masa kini," tambah Garrett.

Latar Belakang Covestro LLC:
Covestro LLC ialah satu satu pengeluar polimer berprestasi tinggi yang terkemuka di Amerika Utara dan merupakan sebahagian daripada perniagaan global Covestro, iaitu antara syarikat polimer yang terbesar di dunia dengan jualan tahun 2016 mencecah EUR 11.9 bilion. Aktiviti-aktiviti perniagaan menumpu pada pengeluaran bahan-bahan polimer berteknologi tinggi dan pembangunan penyelesaian inovatif untuk produk-produk yang digunakan dalam banyak aspek kehidupan harian. Segmen-segmen utama yang menerima perkhidmatannya ialah industri automotif, pembinaan, pemprosesan kayu dan perabot, elektrik dan elektronik serta perubatan. Sektor-sektor lain termasuk sukan dan libur, kosmetik dan industri kimia itu sendiri. Covestro mempunyai 30 tapak pengeluaran di seluruh dunia dan menggaji kira-kira 15,600 kakitangan pada akhir tahun 2016.

Latar Belakang Carnegie Mellon University: 
Carnegie Mellon (www.cmu.edu) ialah sebuah universiti swasta bertaraf antarabangsa yang mempunyai program-program dalam bidang bermula daripada sains, teknologi dan perniagaan kepada dasar awam, kemanusiaan dan kesenian. Lebih 13,000 mahasiswa daripada tujuh sekolah dan kolej universiti ini mendapat manfaat daripada nisbah fakulti-kepada-mahasiswa yang kecil dan pendidikan yang dapat dicirikan melalui tumpuannya untuk mencipta dan melaksanakan penyelesaian terhadap masalah dunia sebenar, kolaborasi antara bidang dan juga inovasi.

Hubungi:
Pittsburgh Penguins: Tom McMillan, 412-255-1828, tmcmillan@pittsburghpenguins.com   
Covestro: Bob Walker, 412-413-2369, bob.walker@covestro.com  
Carnegie Mellon Engineering: Lisa Kulick, 412-268-5444, lkulick@andrew.cmu.edu  

Pittsburgh Penguins, Covestro and Carnegie Mellon's College of Engineering unite to 'Rethink the Rink.'
Pittsburgh Penguins, Covestro and Carnegie Mellon's College of Engineering unite to 'Rethink the Rink.'

 

 

Video - https://www.youtube.com/watch?v=58jTItqgi34
Foto - https://mma.prnewswire.com/media/652679/Rethink_the_Rink_GRAPHIC.jpg
Logo - https://mma.prnewswire.com/media/652680/Joint_Logo_Header_Logo.jpg

Source: Pittsburgh Penguins; Covestro; Carnegie Mellon University
Keywords: Construction/Building Education Higher Education Sports Broadcast feed announcements