omniture

Cell and Gene Therapy Catapult Buka Pusat Pembuatan Percepat Pertumbuhan Industri di UK

Cell and Gene Therapy Catapult
2018-04-23 22:22 528

LONDON, 23 April 2018/PRNewswire/ --

  • Setiausaha Perniagaan Greg Clark dan Menteri Sains Sam Gyimah secara rasmi  buka pusat
  • Pusat ini akan 'rapatkan jurang' antara penyelidikan saintifik dan pengkomersialan ubat-ubatan masa depan 
  • Lebih £60 juta pelaburan Strategi Perindustrian diguna bangunkan pusat baharu

Hari ini, pusat pembuatan terapi sel dan gen unik Cell and Gene Therapy Catapult (CGT Catapult) dibuka secara rasminya oleh Setiausaha Perniagaan Greg Clark dan Menteri Sains Sam Gyimah.

Disokong oleh lebih £60 juta pelaburan Kerajaan UK daripada Strategi Perindustriannya, pusat ini akan menyokong dan membangunkan industri terapi sel dan gen global yang berkembang pesat, di United Kingdom sekaligus menonjolkan tindakan Strategi Perindustrian moden oleh kerajaan.

Pusat yang berpangkalan di Stevenage, beroperasi mengikut piawaian Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) untuk pengeluaran produk klinikal, akan menyediakan industri Terapeutik Termaju global dengan infrastruktur bagi membangunkan keupayaan dan sistem pengeluaran bagi tujuan kajian klinikal dalam terapi sel dan gen berskala luas, serta mempercepatkan usaha pengkomersialan.

Pusat ini juga akan menyediakan jaringan Pusat-pusat Rawatan Terapi Termaju (ATTC) yang pertama di dunia dan berpangkalan di UK yang dibentuk sebagai sebahagian daripada pelaburan oleh kerajaan sebanyak £146 juta melalui Dana Cabaran Strategi Perindustriannya dalam pembuatan ubat-ubatan. Dengan menyediakan akses kepada kepakaran, kemahiran, kemudahan dan peralatan yang diperlukan untuk membantu organisasi-organisasi membangunkan teknologi dan sistem baharu yang sofistikated untuk pembuatan secara besar-besaran, pusat baharu berkenaan akan membantu mempercepatkan pertumbuhan sesebuah syarikat.

"Melalui Strategi Perindustrian kami, kami bertekad untuk meningkatkan usaha inovasi, mencipta peluang pekerjaan baharu yang berkemahiran tinggi dan menggunakan pelaburan oleh kerajaan untuk mengubah kehidupan orang ramai agar menjadi lebih baik," kata Setiausaha Perniagaan Greg Clark. "Pusat baharu yang unik ini akan menggabungkan kepakaran kami dalam pembuatan ubat-ubatan dengan dasar sains dan penyelidikan kami yang lebih baik di dunia bagi mencipta rawatan revolusioner yang dapat membanteras penyakit-penyakit seperti kanser dan turut menyelamatkan nyawa.

"Kami turut berazam untuk menjadikan UK sebagai negara paling inovatif di dunia melalui Strategi Perindustrian kami dan Cabaran Besarnya dan atas sebab inilah kami melabur dengan rekod sebanyak £7 bilion dalam penyelidikan & pembangunan (R&D) menjelang tahun 2021, peningkatan tertinggi dalam tempoh 40 tahun dan komited untuk melabur sebanyak 2.4% daripada KDNK untuk R&D menjelang tahun 2027."

Terapi sel dan gen menawarkan rawatan revolusioner yang memperbaiki, menggantikan, menghasilkan semula dan merekayasa bersama gen, sel dan tisu bagi memulihkan fungsi normal atau meningkatkan kebolehannya dalam membanteras penyakit seperti kanser. Dengan mendayakan rakan kerjasama di pusat ini untuk mengubah inovasi terapi sel dan gen mereka kepada ubat-ubatan baharu yang berdaya maju secara komersial, CGT Catapult menyokong penyerahan rutin terapi-terapi ini ke hospital, klinik dan pesakit seluruh dunia.

"Kami berasa teruja untuk membuka pusat pembuatan Cell and Gene Therapy Catapult bersama Setiausaha Perniagaan Greg Clark dan rakan kerjasama awal kami iaitu Autolus, Cell Medica, AdaptImmune, Freeline dan Thermo Fisher Scientific," kata Keith Thompson, Ketua Pegawai Eksekutif CGT Catapult. "Syarikat-syarikat ini mempunyai aktiviti dan pilihan antarabangsa dan terpilih untuk membangunkan pembuatan yang berpangkalan di Eropah iaitu di UK. Pusat pembuatan berkenaan adalah penting terhadap pembangunan industri terapi sel dan gen global yang semakin berkembang maju. Ini merupakan bidang perubatan yang menunjukkan potensi selama berdekad-dekad dan kini kami memerlukan teknologi pembuatan baharu yang lebih baik berbanding sebelum ini. Pusat ini ialah bukti utama hasrat dan batu loncatan untuk industri dalam pembangunan globalnya. Pelancaran kemudahan penting ini terus mendorong agenda ini ke hadapan dan mempercepatkan tempoh masa bagi membawakan ubat-ubatan untuk kehidupan ini kepada pesakit."

Terletak di dalam kluster terapi sel dan gen Eropah yang pesat berkembang iaitu di Stevenage BioScience Catalyst, pusat pembuatan ini, bersama-sama inisiatif-inisiatif CGT Catapult yang lebih luas, mengukuhkan lagi cita-cita Kerajaan UK untuk memacu industri sains hayat UK untuk maju ke hadapan dengan lebih pantas, lebih cekap dan dengan pulangan yang lebih mantap.

"Pusat sel dan gen baharu ini menonjolkan tindakan Strategi Perindustrian kami yang bercita-cita tinggi," kata Menteri Sains Sam Gyimah. "Dengan bersama-sama menggabungkan universiti dan syarikat, kami bukan sahaja dapat mencipta peluang pekerjaan bernilai tinggi yang kami perlukan tetapi juga dapat membangunkan rawatan yang berpotensi untuk menyelamatkan nyawa. UK ialah peneraju dunia dalam sains, penyelidikan serta inovasi dan melalui komitmen kami untuk melabur sebanyak 2.4% KDNK untuk R&D menjelang tahun 2027, kami berazam untuk merebut peluang masa depan dan membina Britain yang sesuai untuk masa depan."

"Pusat pembuatan Cell and Gene Therapy Catapult ialah komponen penting dalam strategi perindustrian dan menjadi sebahagian daripada dana cabaran rawatan kesihatan termaju," kata Dr Ian Campbell, Pengganti Pengerusi Eksekutif Interim untuk Innovate UK. "Pusat pembuatan yang terkemuka di dunia ini akan membawakan pembuatan rawatan rintis lebih dekat dengan pesakit dan akan melengkapi Pusat-pusat Rawatan Terapi Termaju baharu. Innovate UK telah melabur dalam terapeutik termaju sejak tahun 2009 dan berasa bangga kerana dapat menyokong pusat ini tatkala ia meneruskan misinya untuk menggabungkan perusahaan dan inovasi demi manfaat masyarakat dan juga ekonomi."

Untuk maklumat lanjut sila layari ct.catapult.org.uk atau kunjungi http://www.gov.uk/innovate-uk.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

FTI Consulting untuk CGT Catapult: 

Con Franklin +44(0)7817-573-659 / con.franklin@fticonsulting.com

Michael Trace +44(0)203-319-5674 / michael.trace@fticonsulting.com

Sumber: Cell and Gene Therapy Catapult

Source: Cell and Gene Therapy Catapult
Keywords: Biotechnology Health Care/Hospital Corporate Expansion New products/services