omniture

Lapan Pasukan Mara ke Pusingan Utama Kejohanan Terbuka Langkawi

32 PASUKAN BERENTAP DALAM PERLAWANAN KELAYAKAN YANG SENGIT
E-Plus Global Sdn Bhd
2018-04-28 12:22 551

LANGKAWI, Malaysia, 28 April 2018 /PRNewswire/ -- Hari pembukaan Jelajah Dunia Bola Tampar Pantai Federation Internationale de Volleyball (FIVB) -- Kejohanan Terbuka Langkawi 2018, anjuran E-Plus Global Sdn Bhd, mula berlangsung pada hari Khamis. Permainan pusingan kelayakan penyingkiran tunggal diadakan bagi menentukan empat pasukan terbaik daripada setiap kategori lelaki dan wanita yang akan mara ke pusingan utama dan peringkat berkumpulan pertama dalam perlawanan pada hari Jumaat ini.

Menerusi kemenangan dalam perlawanan mereka hari ini, keempat-empat pasukan yang akan mara ke pusingan utama kategori lelaki ialah: Max-Jonas Karpa/Milan Sievers (Jerman), Paul Becker/Eric Stadie (Jerman), Simon Fruhbauer/Jorg Wutzl (Austria) dan Petr Bakhnar/Taras Myskiv (Rusia).

Antara yang pertama berjaya untuk mara ke pusingan ini ialah gandingan Jerman Karpa/Sievers, yang mengulas, "Kami berjaya dan dapat mara ke pusingan utama. Kami berharap agar kami mampu bermain sebaik hari ini untuk hari esok dan kami akan melihat sejauh mana kemampuan kami memandangkan banyak pasukan yang bagus."

Turut melepasi pusingan kelayakan ialah gandingan Rusia, Bakhnar/Myskiv yang berkata, "Sungguh tidak diduga kerana ia merupakan satu permainan yang cukup sengit dan sukar. Kami berasa amat gembira kerana berjaya untuk mara ke pusingan utama. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir untuk memberi sokongan kepada kami."

Pasukan yang mara ke dalam pusingan utama kategori wanita ialah Brittany Kendall/Stefanie Weller (Australia), Katja Stam/Julia Wouters (Belanda), Marta Ozolina/Agnese Caica (Latvia) dan Chiyo Suzuki/Reika Murakami (Jepun).

Mengulas tentang kemaraan mereka, gandingan Belanda, Stam/Wouters mengulas, "Begitu hebat rasanya memandangkan kami telah berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih peluang ini, sepanjang musim sejuk. Hasil kerja keras ini amat hebat." Tidak sabar-sabar menantikan perlawanan pusingan utama, mereka menambah, "bagi kami, kami hanya mahu bermain permainan kami sendiri dan bermain sebaik mungkin, saya rasa kami akan dapat memberikan kejutan kepada orang lain!"

"Suatu permulaan yang cukup mengagumkan untuk Jelajah Dunia Bola Tampar Pantai FIVB -- Kejohanan Terbuka Langkawi 2018! Perlawanan yang cukup baik oleh kesemua 32 pasukan yang berentap dalam pusingan kelayakan penyingkiran tunggal, menonjolkan apa yang dapat kami jangkakan untuk pertandingan ini sepanjang beberapa hari akan datang! Tahniah diucapkan kepada lapan pasukan daripada kategori lelaki dan wanita atas kejayaan untuk mara ke pusingan utama hari esok," ulas Andrew Ching, Ketua Pegawai Eksekutif E-Plus Global Sdn Bhd.

Hari Jumaat menyaksikan permulaan pertandingan utama dengan fasa kumpulan yang akan menentukan kedudukan dalam pusingan 12 dan peringkat suku akhir pada hari Sabtu.

Source: E-Plus Global Sdn Bhd
Keywords: Entertainment Sporting Events Sports