LANGKAWI, Malaysia, 2 May 2018 /PRNewswire/ -- Jelajah Dunia Bola Tampar Pantai Federation Internationale de Volleyball (FIVB) -- Kejohanan Terbuka Langkawi 2018 melabuhkan tirainya pada hari yang sangat lebat hujannya di gelanggang tengah Pantai Cenang, Langkawi, Ahad lalu.
Simon Fruhbauer/Jorg Wutzl (AUT) dari Austria mencipta hujung minggu yang tidak dapat dilupakan apabila mereka muncul sebagai pemegang pingat emas perlawanan selepas menewaskan pemain-pemain Rusia, Petr Bakhnar/Taras Myskiv (RUS) dan perlawanan sengit tiga set, dengan catatan mata 2-1 (21-15, 18-21, 15-13). Membawa pulang pingat gangsa ialah Nuttanon Inkiew/Sedtawat Padsawud (THA) dari Thailand setelah menewaskan gandingan Jerman Paul Becker/Eric Stadie (GER).
Fruhbauer/Wutzl berkata, "Ini merupakan kemenangan pingat emas pertama kami dalam Jelajah Dunia Bola Tampar Pantai FIVB untuk Austria. Sungguh hebat dan ia merupakan permainan yang luar biasa. Kami bermula dengan sangat baik pada set pertama, namun demikian, dalam set kedua mereka memberikan tentangan hebat yang menyukarkan kami dan kami tewas. Dalam set ketiga, kami dapat bermain permainan yang sangat hebat. Bagi kami, mereka benar-benar pesaing yang sukar dan paling susah dikalahkan di sepanjang pertandingan. Pastinya, keputusan ini adalah satu langkah dalam hala tuju yang tepat."
Sementara itu, pasukan wanita Rusia Ksenia Dabizha/Daria Mastikova (RUS) berjaya membawa pulang pingat emas. Dabizha/Mastikova menewaskan pasukan Belanda yang layak ke peringkat akhir, Katja Stam/Julia Wouters (NED) dengan kemenangan straight set dalam peringkat akhir kategori wanita (21-10, 29-27). Membawa pulang pingat gangsa ialah gandingan Phoebe Bell/Jessyka Ngauamo (AUS) dari Australia setelah menewaskan Bonnerova/Pluharova (CZE) bagi meraih tempat ketiga di atas podium.
Dabizha/Mastikova berkata, "Set pertama adalah amat mudah, tetapi set kedua adalah lebih sukar memandangkan gandingan Belanda memberikan tentangan. Ia membuatkan kami agak gementar oleh kerana kami terpaksa bertarung untuk setiap mata. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat Rusia yang hadir untuk melihat kami bermain, kerana ini dapat mendorong kami untuk bermain dengan baik."
"Suatu penghujung yang hebat untuk Jelajah Dunia Bola Tampar Pantai FIVB – Kejohanan Terbuka Langkawi 2018. Ia merupakan hujung minggu yang mempunyai kejutan, kekecewaan dan kemenangan bagi perlawanan kategori lelaki dan wanita. Tahniah diucapkan kepada Ksenia Dabizha/Daria Mastikova dari Rusia kerana memberikan kami perlawanan peringkat akhir yang menghiburkan dan juga kepada Simon Fruhbauer/Jorg Wutzl dari Austria atas kemenangan pingat emas Jelajah Dunia yang pertama. Perlawanan-perlawanan ini dipenuhi detik-detik keterujaan dan debaran walaupun hujan lebat pada waktu pagi ini memaksa penangguhan perlawanan. Ribuan terima kasih diucapkan kepada rakan-rakan kongsi dan penaja-penaja kami kerana menjadikan Kejohanan Terbuka Langkawi 2018 satu kejayaan," ujar Andrew Ching, Ketua Pegawai Eksekutif E-Plus Global Sdn Bhd, penggalak dan penganjur pertandingan tahun ini.
Keputusan penuh disediakan di worldtour.2018.fivb.com/en/570.