omniture

Manila Anjur Acara Bola Tampar Pantai Antarabangsa Pertama

ACARA SULUNG GAMIT PASUKAN ANTARABANGSA YANG KOMPETITIF
E-Plus Global Sdn Bhd
2018-05-04 13:33 760

KUALA LUMPUR, Malaysia, 4 Mei 2018 /PRNewswire/ -- Jelajah Dunia Bola Tampar Pantai Federation Internationale de Volleyball (FIVB) akan singgah di Filipina menerusi Kejohanan Terbuka Manila 2018. Acara ini merupakan acara Bola Tampar Pantai yang pertama diluluskan di peringkat antarabangsa yang bakal diadakan di negara tersebut, susulan daripada Kejohanan Terbuka Langkawi hujung minggu lalu di Malaysia.

Jelajah Dunia Bola Tampar Pantai FIVB -- Kejohanan Terbuka Manila 2018 sulung bakal berlangsung di Sands SM by the Bay, SM Mall Of Asia (MOA) Complex, Pasay City di Metro Manila mulai 3 hingga 6 Mei 2018. Dipromosikan oleh E-Plus Global Sdn Bhd dan dianjurkan olah Beach Volleyball Republic, pertandingan ini akan menampilkan 48 pasukan antarabangsa elit bagi kategori lelaki dan wanita dari lebih 20 negara. Selepas Manila, jelajah ini akan menuju ke Thailand sempena Kejohanan Terbuka Bangkok pada hujung minggu berikutnya (10 hingga 13 Mei 2018).

Di samping bersaing bagi mendapatkan mata kedudukan yang bernilai, ia juga membolehkan pemain menempah tempat dalam Peringkat Akhir Jelajah Dunia FIVB SWATCH lewat tahun ini. Kejohanan Terbuka Manila akan turut menyaksikan para pemain bertarung bagi memperoleh hadiah wang tunai acara yang bernilai USD$10,000.

Pertandingan selama empat hari ini bermula dengan pusingan kelayakan penyingkiran tunggal kategori lelaki pada hari Khamis (3 Mei), bagi menentukan empat pasukan teratas yang layak bagi menyertai pasukan-pasukan yang telahpun berada dalam pusingan utama. Pertandingan kategori wanita bermula pada hari Jumaat (4 Mei), bersama-sama peringkat berkumpulan fasa pertama pertandingan yang menampilkan 32 perlawanan dalam kedua-dua kategori. Ini akan menentukan pusingan 12 fasa kedua dan peringkat suku akhir, yang akan berlangsung pada hari Sabtu (5 Mei) dengan aksi pada hari Ahad (6 Mei) merangkumi perlawanan peringkat separuh akhir dan perlawanan penentuan pingat.

"Selepas babak menarik dalam Jelajah Dunia Bola Tampar Pantai FIVB -- Kejohanan Terbuka Langkawi 2018 hujung minggu lalu, kami mengalihkan perhatian kami kepada pertandingan bola tampar pantai antarabangsa pertama seumpamanya di Filipina. Diadakan betul-betul di Metro Manila, kami berasa amat teruja dengan adanya prospek persaingan yang sengit dan hangat dipertandingkan yang bakal berlaku," ujar Andrew Ching, Ketua Pegawai Eksekutif E-Plus Global Sdn Bhd, penggalak dan penganjur perlawanan.

Untuk maklumat lanjut dan keputusan daripada Jelajah Dunia Bola Tampar Pantai FIVB -- Kejohanan Terbuka Manila disediakan di worldtour.2018.fivb.com/en/573.

Source: E-Plus Global Sdn Bhd
Keywords: Sporting Events Sports