omniture

Nyalakan Cahaya! Bandar bergemerlapan tatkala Vivid Sydney diterangi sempena sambutan ulang tahun ke-10

Destination NSW
2018-05-28 09:58 1838

SYDNEY, 28 Mei 2018 /PRNewswire/ -- Sydney terpancar dengan warna terang yang mengagumkan malam ini tatkala lampu dinyalakan sempena ulang tahun ke-10 Vivid Sydney, iaitu festival cahaya, muzik dan idea yang terbesar di dunia. Sepanjang 23 hari, siang dan malam berikutnya, acara terbesar Australia ini akan mengubah bandar menjadi pertunjukan berwarna warni mencakupi iluminasi, bunyi sensasi dan pemikiran kreatif mulai 25 Mei hingga 16 Jun 2018.

Pelabuhan Vivid Sydney 2018 Bersinar (kredit: Destination NSW)
Pelabuhan Vivid Sydney 2018 Bersinar (kredit: Destination NSW)

Galeri Imej Vivid Sydney disediakan di sini
Rakaman kualiti siaran disediakan di sini

Detik 'Lights On' ('Nyalaan Cahaya'), menandakan bermulanya festival, menyaksikan semua mata tertumpu pada Panggung Opera Sydney untuk Lighting of the Sails, dicipta tahun ini oleh artis Australia yang memenangi anugerah, Jonathan Zawada serta menonjolkan arca digital fantastik merangkumi objek-objek harian dan spesimen semula jadi yang berevolusi, lenyap dan menjelma.

Tahun ini, cahaya bersinar terang pada setiap malam di sembilan presint seluruh Sydney termasuk Barangaroo, Chatswood, Circular Quay, The Rocks, Pelabuhan Darling, Kings Cross, Taman Botani Diraja Sydney, Zoo Taronga dan buat julung kalinya, Taman Luna.

Perdana Menteri New South Wales (NSW), Gladys Berejiklian berkata, "Saya sentiasa merasai perasaan yang hebat apabila melihat bandar ini bercahaya dalam simfoni warna dan pergerakan yang mengagumkan dan kami tidak sabar-sabar untuk melihat kesemua detik yang akan mengujakan dan menggembirakan pengunjung yang akan berkunjung bagi mengalami sambutan ulang tahun ke-10 Vivid Sydney sepanjang 23 hari, siang dan malam berikutnya."

Menteri Pelancongan dan Acara Utama NSW Adam Marshall berkata Vivid Sydney merupakan satu peluang bukan sahaja untuk mempamerkan Sydney, tetapi seluruh Negeri.

"Vivid Sydney lebih daripada sekadar festival cahaya, muzik dan idea memukau, ia memacu ekonomi kami, menarik ratusan ribu pengunjung yang bermalam ke Negeri kami," kata En. Marshall.

"Hampir 38,000 pengunjung yang berkunjung ke Vivid Sydney tahun lalu memilih untuk melanjutkan penginapan mereka di NSW dan menjelajah di luar pinggir Sydney, menginap selama lebih 94,000 malam serta menyuntik lebih $16 juta ke dalam ekonomi wilayah Negeri ini."

"Kerajaan NSW bekerja keras untuk memastikan NSW menjadi ibu kota pelancongan dan acara Australia dan Vivid Sydney dapat menonjolkan bandar global kami kepada dunia, mengukuhkan kedudukan Sydney sebagai pusat kreativiti, budaya dan inovasi."

Pengarah Kreatif Vivid Sydney, Ignatius Jones menambah, "Vivid Sydney adalah segala-galanya mengenai pertembungan antara seni dan teknologi serta menambah sedikit keajaiban ke atas semuanya bagi menghiburkan pengunjung. Tahun ini, visi kreatif artis-artis tempatan dan antarabangsa dijayakan sebagai pemasangan dan unjuran berskala luas dan interaktif yang mengubah bangunan ikonik, mercu tanda dan lanskap; bermula dengan Panggung Opera Sydney dan Jambatan Pelabuhan Sydney, kepada kanvas semula jadi di Taman Botani Diraja Sydney serta Pelabuhan Darling. Kami mengundang semua orang untuk menyertai perayaan berwarna warni kreativiti dan komuniti kami."

Festival cahaya, muzik dan idea Vivid Sydney ialah festival terbesar seumpamanya di dunia dan merupakan acara terbesar di Australia. Berikut merupakan beberapa sorotan utama program untuk acara tahun ini.

VIVID LIGHT

'Cahaya Dinyalakan' pada 6 petang setiap malam (dan 5.30 petang di Chatswood dan Zoo Taronga), tatkala seni bina dan ruang terbuka Sydney menjadi kanvas untuk unjuran seni yang memukau dan pemasangan yang interaktif. Acara utama yang tidak harus dilepaskan termasuk:

  • Artis Australia terkenal Jonathan Zawada mengubah layar Panggung Opera Sydney menjadi Metamathemagical, siri arca digital kinetik menggunakan imej yang diilhamkan oleh alam sekitar Australia.
  • Buat julung kalinya, Vivid Sydney melibatkan Taman Luna sebagai satu presint, yang mana pertunjukan cahaya besar, Spirit of Fun di Pulau Coney dan Ferris Wheel, akan menyediakan pengalaman jarak dekat kepada pengunjung untuk melihat beberapa pemandangan terbaik Pelabuhan Sydney yang bercahaya.
  • Watak-watak kegemaran May Gibbs, Snugglepot dan Cuddlepie menyambut ulang tahun ke-100 di muka bangunan Customs House menerusi pengembaraan menyeronokkan merentasi belukar Australia.
  • Barangaroo akan menyediakan makhluk gergasi bercahaya setinggi enam meter yang bersiar-siar di sepanjang pantai dan berinteraksi dengan pengunjung menerusi The Liminal Hour, pertunjukan teater cahaya dan bunyi.
  • Lights for the Wild kembali lebih hebat berbanding sebelum ini di Zoo Taronga yang mana pengembaraan merentasi hutan belantara, belukar dan habitat lautan menanti pengunjung. Terdapat penambahan baharu dalam acara kegemaran festival, termasuk 'PJ', ikan yu Port Jackson bersaiz 20 meter, Goanna epik bersaiz sembilan meter, Naga Laut Berumpai dan Labah-labah Belakang Merah.

VIVID MUSIC

Program Vivid Music akan menyediakan runut bunyi mendebarkan untuk festival ini bersama-sama barisan artis kontemporari tempatan dan antarabangsa yang terbaik di dunia yang memeriahkan pentas ke seluruh bandar. Acara utama yang tidak harus dilepaskan termasuk:

  • Kumpulan future soul Australia Hiatus Kaiyote akan menunjukkan mengapa muzik mereka diambil sebagai lagu sampel oleh Drake, Kendrick Lamar dan Chance the Rapper apabila mereka membawakan gabungan unik antara jazz, soul, funk, fusion, hip hop dan muzik elektronik ke City Recital Hall pada 26 Mei 2018.
  • Penyanyi sensasi muda Australia, Ruel, akan membuat persembahan di atas pentas Metro Theatre ikonik di Sydney sempena persembahan solo utama beliau yang pertama seumpamanya.
  • Runut bunyi terkenal Romeo + Juliet Baz Luhrmann akan dihidupkan apabila persembahan-rock-tari-bertopeng Young Hearts Run Free menggamatkan Enmore Theatre pada 7 Jun.
  • Big Boo Orange is the New Black, Lea DeLaria, mempersembahkan suara vokal beliau yang tajam, lucu dan menarik ke City Recital Hall pada 9 Jun menerusi pertunjukan komedi muzikal dan tafsiran jazz beliau sebagai sebahagian daripada siri Vivid Jazz.
  • Vivid LIVE sekali lagi mengambil alih Panggung Opera Sydney dengan perayaan muzik kontemporari yang bercita-cita tinggi dan inovatif. Pentas yang tersenarai sebagai Warisan Dunia itu akan mengundang ikon-ikon antarabangsa seperti Solange dan Ice Cube berserta DREAMS, kolaborasi pop-elektronik yang amat dinanti-nantikan antara bekas penyanyi utama Silverchair Daniel Johns dan Luke Steele daripada Empire of the Sun pada 29 dan 30 Mei. Penampilan sulung di Australia bagi gandingan penyanyi pop ikutan California Mazzy Star mulai 11-13 Jun akan melabuhkan tirai Vivid LIVE menerusi gitar dengan alunan psikedelik yang menjadi ciri utama mereka serta vokal yang memukau.

VIVID IDEAS

Perbualan yang paling merangsang pemikiran Australia ialah berhubung agenda dengan perintis daripada bidang teknologi, sains, seni, reka bentuk dan budaya yang berhimpun untuk meneroka idea baharu dan memupuk pemikiran baharu melalui forum dan juga bengkel. James Cameron mengepalai program tahun ini dan akan berucap di hadapan khalayak yang habis terjual tiketnya. Acara utama yang tidak harus dilepaskan termasuk:

  • Futuris dan pembangun permainan, Jane McGonigal dan pakar Kecerdasan Buatan (AI) Kriti Sharma berganding bahu pada 3 Jun untuk membincangkan kategori masyarakat yang sedang kita wujudkan menerusi teknologi tatkala mereka meneroka AI, Realiti Maya dan permainan terkini.
  • Pencetus kisah kejayaan global Australia dan pengasas Mambo Clothing, Phantom Records dan Deus Ex Machina, Dare Jennings, mengulas mengenai keseronokan apabila dapat meninggalkan peraturan dan mencipta jenama-jenama ikutan, dalam satu perbincangan bersama juruhebah James Valentine pada 27 Mei.
  • Pakar strategi visual di Makmal Rejangan Jet NASA serta pengasas bersama Museum of Awe, Dan Goods meninjau mengenai pengaruh salingan antara seni dan sains yang membolehkan hasil kerja beliau dipamerkan di muzium dan di angkasa lepas pada 3 Jun.
  • Aktivis alam sekitar rintis, ikon sukan luncur air dan sukan papan luncur, Peggy Oki, serta ahli biologi marin dan peragawati Laura Wells, akan berbincang pada 6 Jun mengenai perlindungan terhadap lautan dalam usaha membanteras plastik dan bagaimana anda boleh menjadi ejen pengubah dengan menukar minat kepada tindakan.
  • Bagaimana agaknya kehidupan kita apabila hidup bersama-sama manusia digital? Panel pakar akan bersama-sama individu digital janaan komputer di pentas bagi menilai implikasi etika dan sosial terhadap kehidupan dengan manusia tiruan digital menerusi Mummy, can I Marry my Avatar? pada 16 Jun.

Cahaya Vivid Sydney kini Dinyalakan secara rasminya, jadi datanglah dan alami kesemua yang ditawarkan sepanjang 23 hari, siang dan malam yang akan datang.

Untuk butiran festival dan maklumat program lebih lanjut, layari www.vividsydney.com atau muat turun aplikasi mudah alih melalui IOS atau Android. Terdapat fungsi dan pengalaman realiti imbuhan baharu dalam aplikasi, termasuk akses kepada galeri seni tersembunyi di Fitzroy Gardens, Kings Cross.

Kekal terhubung melalui saluran media sosial untuk Vivid Sydney bagi kesemua perkembangan terkini dan bagi mendapatkan nasihat terakhir untuk bersiar-siar di sekeliling bandar dan presint Vivid Sydney.

Ikuti Vivid Sydney                                    

facebook.com/vividsydney
twitter.com/vividsydney 
instagram.com/vividsydney  
youtube.com/vividsydney                              

Tanda pagar
#vividsydney #vividmusic #vividideas #ilovesydney

Latar Belakang Vivid Sydney

Vivid Sydney ialah festival cahaya, muzik dan idea terbesar di dunia dan kini merupakan acara yang terbesar di Australia. Selama 23 hari, bermula pada 25 Mei hingga 16 Jun 2018, acara ini mengetengahkan Sydney dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat tumpuan cahaya, kreativiti, muzik termaju, perbualan menarik dan pertukaran idea-idea baharu. Festival ini dimiliki, diurus dan diterbitkan oleh Destination NSW, agensi pelancongan dan acara utama Kerajaan NSW. Pada tahun 2017, Vivid Sydney berjaya menarik 2.33 juta pengunjung yang mencatat rekod dan menyuntik lebih $143 juta ke dalam ekonomi pengunjung NSW. Untuk maklumat lanjut layari www.vividsydney.com

Foto - https://photos.prnasia.com/prnh/20180525/2143512-1

Source: Destination NSW
Keywords: Amusement Parks and Tourist Attractions Art Entertainment Leisure/Travel/Hotels Music Travel