omniture

Babylon AI Capai Ketepatan Setara Dengan Doktor Manusia dalam Utamakan Rawatan Kesihatan Global

Babylon Health
2018-06-28 02:15 1374

LONDON, 28 Jun 2018/PRNewswire/ --

Kolaborasi rentas Atlantik antara syarikat Kecerdasan Buatan (AI) berpangkalan di London dan Royal College of Physicians, Stanford Primary Care dan Yale New Haven Health hasilkan perkembangan penting

Malam ini Babylon Health mengumumkan, buat julung kalinya di dunia, semasa pembentangan yang distrim secara langsung dari Royal College of Physicians London: AI syarikat, menerusi beberapa siri ujian mantap (termasuk bahagian yang relevan daripada peperiksaan MRCGP) telah menunjukkan kebolehannya dalam memberi khidmat nasihat kesihatan yang setara dengan pengamal perubatan[1].

Peperiksaan MRCGP ialah ujian terakhir untuk pelatih Pengamal Am (GP), ditetapkan oleh Royal College of General Practitioners (RCGP). Pelatih GP yang lulus dalam penilaian ini telah menunjukkan kecekapan dan kemahiran klinikal mereka pada tahap yang cukup tinggi untuk mereka menjalankan tugas secara bebas.

Bahagian utama dalam peperiksaan ini menguji kebolehan doktor untuk mendiagnosis.

1. Teknologi Babylon menyediakan maklumat kesihatan dan bukannya diagnosis perubatan atas sebab-sebab pengawalseliaan. Ujian-ujian yang dijalankan adalah berkaitan dengan peperiksaan diagnostik yang diduduki oleh doktor sebagai penanda aras ketepatan, namun demikian, perkhidmatan AI Babylon kekal menjadi perkhidmatan maklumat, dan bukannya diagnosis perubatan.

Babylon mengambil contoh sampel set soalan yang menguji kemahiran diagnostik daripada sumber-sumber[2] RCGP yang disediakan untuk pihak awam serta bahan-bahan persediaan peperiksaan yang diterbitkan secara bebas dan memetakan kesemua ini kepada kurikulum RCGP semasa bagi memastikan soalan-soalan menyerupai soalan-soalan MRCGP sebenar sebaik mungkin.

Purata markah lulus sepanjang lima tahun lalu bagi doktor-doktor sebenar ialah 72%[3]. Ketika menduduki peperiksaan buat julung kalinya, AI Babylon memperoleh markah 81%. Tatkala AI terus belajar dan memperoleh pengetahuan, Babylon menjangkakan bahawa ujian selanjutnya akan memberikan penambahbaikan ketara dari segi keputusan.

Walaupun peperiksaan merupakan sesuatu yang penting, para doktor berdepan dengan pelbagai jenis penyakit dan keadaan yang lebih luas dalam tugas harian mereka. Oleh itu, untuk menguji keupayaan AI selanjutnya, pasukan saintis, doktor dan jurutera Babylon seterusnya berkolaborasi bersama Royal College of Physicians, Dr Megan Mahoney (Ketua Rawatan Asas Umum, Bahagian Rawatan Asas dan Kesihatan Penduduk, Stanford University) dan Dr Arnold DoRosario (Ketua Pegawai Kesihatan Penduduk, Yale New Haven Health) untuk menguji AI Babylon di samping tujuh orang doktor rawatan asas yang amat berpengalaman menggunakan 100 set simptom yang direka secara bebas (atau 'vignet').

AI Babylon memperoleh markah 80% untuk ketepatan manakala tujuh orang doktor mencapai julat ketepatan antara 64-94%.

Ketepatan AI ialah 98% apabila dinilai terhadap keadaan yang sering dilihat dalam perubatan rawatan asas. Sebagai perbandingan, apabila pasukan penyelidikan Babylon menilai para doktor yang berpengalaman menggunakan ukuran yang sama, julat ketepatannya adalah antara 52-99%.

2. Memandangkan RCGP tidak menerbitkan kertas peperiksaan terdahulu, Babylon menggunakan soalan-soalan contoh, yang mana ada antaranya yang diterbitkan terus oleh Kolej, sebahagiannya diperoleh daripada sumber-sumber yang tersedia secara umum (kesemuanya dirujuk) semasa persiapan dan ujian peperiksaan AI. 

3. Purata markah lulus CSA oleh pelatih GP dihitung menggunakan data keputusan ujian RCGP yang tersedia untuk umum dari tahun 2012 - 2017

Penting sekali, keselamatan AI ialah 97%. Ia sesuatu yang baik apabila dibandingkan dengan doktor yang mana puratanya ialah 93.1%.

Dr Ali Parsa, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Babylon mengulas mengenai berita malam ini: "Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan terdapatnya kekurangan seramai lebih 5 juta doktor di seluruh dunia, menyebabkan lebih separuh penduduk dunia tidak mendapat akses kepada perkhidmatan rawatan kesihatan yang paling asas. Meskipun di negara-negara paling kaya, rawatan asas menjadi semakin mahal dan menyukarkan, seringkali melibatkan masa menunggu yang menyebabkannya tidak mudah diakses. Keupayaan kecerdasan buatan terkini Babylon menunjukkan ia memungkinkan sesiapa jua, tanpa mengira lokasi, kekayaan mahupun keadaan mereka, untuk mendapat akses percuma kepada nasihat kesihatan yang setara dengan pengamal perubatan yang terbaik.

"Keputusan malam ini jelas menunjukkan betapa perkhidmatan kesihatan diimbuhkan AI dapat mengurangkan beban ke atas sistem rawatan kesihatan serata dunia. Misi kami adalah untuk meletakkan perkhidmatan kesihatan yang boleh diakses dan berpatutan di tangan setiap individu di Muka Bumi ini. Keputusan penting ini lebih mendekatkan manusia sejagat dalam usaha untuk mencapai dunia yang mana tiada seorang pun dinafikan hak mendapatkan khidmat nasihat kesihatan yang selamat dan tepat."

Kertas kajian Babylon, bertajuk Evaluation of AI Powered Symptom Checker (Penilaian Penyemak Simptom Dikuasakan AI), boleh dimuat turun daripada laman sesawang syarikat dan akan disediakan beberapa hari akan datang melalui ArXiv.com.

Latar Belakang Babylon 

Misi Babylon adalah untuk meletakkan perkhidmatan kesihatan yang boleh diakses dan berpatutan di tangan setiap individu di muka bumi ini. Babylon menggunakan gabungan antara teknologi canggih dan kepakaran perubatan terbaik yang tersedia bagi memberi akses selama 24 jam sehari dan 7 hari seminggu kepada instrumen kesihatan digital (termasuk penilaian kesihatan, triaj dan alat kesihatan) kepada orang ramai di seluruh Eropah, Amerika Utara, Asia, Timur Tengah dan Afrika selain rundingan doktor melalui video.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://www.babylonhealth.com/

Untuk mengakses foto dan aset gulung-b daripada acara malam ini, layari: https://www.babylonhealth.com/press/assets

Untuk mengakses kertas kajian serta salinan tambahan siaran media ini, layari: https://www.babylonhealth.com/press/press-room

Source: Babylon Health
Keywords: Computer/Electronics Health Care/Hospital Internet Technology