BEIJING, 9 Ogos 2018 /PRNewswire/ -- EasyStack, peneraju pasaran pengkomputeran awan sumber terbuka China, mengumumkan bahawa ia telah menyelesaikan pembiayaan pusingan Siri C++, dipimpin oleh pelaburan strategik daripada JD.com. Sebagai sebahagian daripada perjanjian, kedua-dua pihak komited untuk memeterai perkongsian yang menyeluruh dalam bidang-bidang utama melibatkan teknologi, produk dan pemasaran bagi menyediakan pelanggan perusahaan dengan perkhidmatan awan bertaraf dunia. Pusingan pembiayaan yang terkini ini menekankan bahawa pengkomputeran awan sumber terbuka telah mendapat momentum dalam pasaran Cina, lalu meraih pengiktirafan meluas daripada pengguna perusahaan merentasi pelbagai industri.
Pada 15 Mei, EasyStack mengumumkan ia telah menyelesaikan pembiayaan pusingan Siri C+, seraya menarik pelaburan berjumlah RMB 300 juta daripada beberapa dana RMB.
Sebagai sebahagian daripada pusingan Siri C++ yang dipimpin oleh JD, EasyStack dan JD Cloud akan memeterai perkongsian strategik dalam perkhidmatan awan perusahaan untuk menyediakan pengguna perusahaan dengan pengalaman perkhidmatan awan komprehensif, meliputi bidang-bidang seperti awan persendirian, awan awam dan berbilang awan, dengan matlamat untuk terus menembusi pasaran pengkomputeran awan masing-masing daripada kedua-dua pihak dan membolehkannya menyediakan perkhidmatan awan yang lebih baik. Di samping itu, EasyStack berhasrat untuk berkolaborasi dengan erat bersama JD.com, dan khususnya, JD Cloud, untuk bersama-sama membangunkan platform awan yang menyediakan keupayaan IaaS, PaaS dan SaaS.
Xilun Chen, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif EasyStack berkata, "Dengan pusingan pembiayaan paling terkini yang dipimpin oleh syarikat edagang China yang paling disegani, JD.com, saya yakin EasyStack berada dalam keadaan baik untuk merealisasikan matlamat strategik jangka panjang kami untuk membina perusahaan pengkomputeran awan bertaraf dunia berasaskan ekosistem sumber terbuka."
Melalui pembiayaan pusingan Siri C++, EasyStack berharap dapat memacu perkongsian strategik yang menyeluruh dengan JD.com dalam bidang-bidang seperti teknologi, produk dan pemasaran. Sementara itu, EasyStack akan maju ke hadapan menerusi pembangunan korporatnya sebagai entiti bebas khusus untuk membuat pelaburan R&D yang konsisten dalam teknologi teras, membangunkan produk pengkomputeran awan dan membina ekosistem untuk penyelesaian perusahaan, agar dapat mewujudkan platform pengkomputeran awan yang komprehensif yang menggabungkan berbilang awan daripada seni bina infrastruktur kepada aplikasi.
Tianzhuo Deng, Naib Presiden JD.com berkata, "Perkongsian ini bukan sahaja dapat mendayakan penyerahan bersepadu pengkomputeran awan bagi menyokong senario yang lebih pelbagai, tetapi turut mencipta nilai yang lebih hebat untuk kedua-dua pelanggan perusahaan dan ekosistem mereka, lalu membentuk lanskap masa depan pengkomputeran awan."
Diasaskan pada Februari 2014, EasyStack diterajui oleh pasukan kejuruteraan utama daripada Pusat R&D IBM China, yang merupakan institusi global pertama yang terlibat dalam pembangunan OpenStack di China dan komited untuk menyediakan pengguna perusahaan dengan produk serta perkhidmatan yang bersifat terbuka, selamat, andal dan berprestasi tinggi berasaskan pelbagai teknologi sumber terbuka yang luas seperti Linux, OpenStack, Ceph, Kubernetes dan Docker. EasyStack telah membangunkan platform-platform awan untuk lebih 300 pelanggan perusahaan bersaiz besar dan sederhana dan juga telah memenangi sejumlah pelanggan luar negara melalui strategi pengantarabangsaannya. EasyStack sering tersenarai antara 10 Teratas di dunia bagi sumbangan kod huluan merentasi teknologi sumber terbuka yang berbeza. Ia pernah memenangi gelaran Gartner Cool Vendor di China pada tahun 2016 dan tersenarai sebagai antara 10 Terbaik di dunia dalam Tinjauan Pemerkasaan Pengguna Laporan Tinjauan Pengguna Global (Global User Survey Report User Empowerment Survey) oleh Yayasan OpenStack pada tahun 2017. Portfolio produk EasyStack untuk pengguna perusahaan terdiri daripada awan perusahaan ECS, HCI Tindanan ECS, awan simpanan EKS dan juga awan hibrid EMS.