omniture

Surbana Jurong dan Mitsubishi Corporation Meterai Usaha Sama Tubuh Syarikat Pengurusan Dana

Dana US$500 Juta untuk Labur dalam Projek-projek Pembangunan dan Infrastruktur Bandar di Asia yang Pesat Membangun
Surbana Jurong Private Limited
2018-10-10 10:05 433

SINGAPURA, 10 Oktober 2018 /PRNewswire/ -- Surbana Jurong Capital, cabang perkhidmatan kewangan Surbana Jurong yang baru ditubuhkan, dan Mitsubishi Corporation hari ini menandatangani satu perjanjian untuk menubuhkan sebuah syarikat pengurusan dana (FMC). FMC akan menjadi satu usaha sama 50:50 antara kedua-dua syarikat dan akan diurus bersama-sama oleh kedua-dua rakan kongsi.

FMC akan menubuhkan Dana Pelaburan (Dana) untuk melabur dalam projek-projek pembangunan bandar di kawasan Asia baru muncul, khususnya di Myanmar, Vietnam, Filipina, Indonesia, India dan Sri Lanka. Projek-projek berkenaan mungkin melibatkan pembangunan berorientasi transit (TOD) seperti pembangunan penerbangan atau berkaitan rel, perumahan mampu milik serta infrastruktur berkaitan bandar.

Setiap rakan kongsi akan menyumbang sehingga US$250 juta untuk mengumpul Dana dan FMC akan turut mengumpul dan mengurus dana daripada pelabur-pelabur pihak ketiga terakreditasi dan institusi lain.

Menurut anggaran Asian Development Bank (ADB), usaha membangunkan Asia akan memerlukan pelaburan sekurang-kurangnya US$1.7 trilion setahun dalam infrastruktur sehingga tahun 2030 untuk mengekalkan momentum pertumbuhannya. Walau bagaimanapun, masih terdapat jurang yang besar antara permintaan terhadap infrastruktur berkenaan dan akses rantau ini terhadap pembiayaan.

FMC akan berusaha mencari projek-projek infrastruktur bandar yang berdaya maju secara komersial yang berada dalam peringkat kebolehlaksanaan lanjut atau dalam fasa-fasa awal pembinaan serta menyediakan pelaburan ekuiti untuk menyokong projek-projek berkenaan. Projek-projek yang layak akan memerlukan metrik alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat yang mampan. Oleh itu, pelabur-pelabur institusi yang ingin mengambil bahagian dalam pertumbuhan mampan rantau ini boleh melakukannya melalui Dana berkenaan.

FMC akan memanfaatkan kekuatan unik kedua-dua rakan kongsi untuk memberi pulangan terlaras risiko jangka panjang yang optimum kepada Dana ini. Surbana Jurong, sebagai salah satu firma perunding bandar dan infrastruktur terbesar yang berpangkalan di Asia, mendapat pendedahan langsung kepada peluang-peluang projek di rantau ini. Ia mempunyai pengalaman selama lebih 70 tahun dalam penyerahan projek yang berjaya di lebih 40 negara bagi tujuan menyediakan pandangan tentang risiko projek-projek berkenaan. Mitsubishi Corporation, sebuah perusahaan perniagaan bersepadu global dengan operasi perniagaan yang pelbagai, mempunyai pengalaman dalam pelaburan dan produk kewangan, serta telah melabur dalam projek-projek hartanah di negara-negara ASEAN sejak tahun 2013 yang berjumlah JPY250 bilion.

En Wong Heang Fine, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Surbana Jurong, berkata, "Negara-negara baru muncul di Asia terus menyaksikan pertumbuhan ekonomi dan populasi yang pesat, yang memacu permintaan terhadap projek-projek infrastruktur bandar termasuk pembangunan berorientasi transit dan perumahan mampu milik. Untuk pemilik-pemilik projek yang tercari-cari pembiayaan, dan pelabur-pelabur yang inginkan pulangan mampan secara jangka panjang, FMC baharu daripada Surbana Jurong dan Mitsubishi Corporation akan menyediakan penghubung modal berkenaan. Usaha sama kami akan memanfaatkan kepakaran kedua-dua rakan kongsi mencakupi pembiayaan dan pelaburan, selain analisis teknikal dan risiko bagi memberi pulangan mampan. Usaha sama ini juga berlaku tepat pada masanya tatkala Singapura meletakkan kedudukannya selaku hab infrastruktur serantau."

Surbana Jurong Capital

Surbana Jurong Capital, sebagai cabang perkhidmatan kewangan Surbana Jurong akan memperoleh, melabur, merancang, membangunkan dan mengurus projek-projek infrastruktur serta hartanah, menjana pulangan mampan secara jangka panjang untuk pemegang berkepentingannya. Ia akan memanfaatkan kebolehannya dalam merancang dan mengurus risiko projek peringkat pembangunan, berusaha untuk menghimpunkan kecairan pasaran sedia ada dengan peluang-peluang yang sesuai, lalu memberi pulangan terlaras risiko kepada pelabur.

En. Wong mengulas, "Surbana Jurong Capital akan menambah rantaian nilai penyelesaian lengkap Surbana Jurong Group. Melalui Surbana Jurong Capital, kini kami berupaya menyediakan pelaburan ekuiti dan penyelesaian pembiayaan jangka panjang kepada kumpulan pelanggan global kami, terus meningkatkan nilai tambah yang kami bawakan kepada rakan-rakan kongsi kami."

Latar Belakang Surbana Jurong

Surbana Jurong ialah salah satu firma perunding bandar dan infrastruktur terbesar yang berpangkalan di Asia. Memanfaatkan teknologi dan kreativiti, Surbana Jurong menyediakan penyelesaian perundingan yang terbaik dalam kelasnya merentasi seluruh rantaian nilai bagi domain perbandaran, pengindustrian dan infrastruktur.

Beribu pejabat di Singapura, Surbana Jurong Group mempunyai tenaga kerja global seramai lebih 14,000 kakitangan di 120 pejabat merentasi 40 negara di Asia, Australia, UK, Timur Tengah, Afrika dan benua Amerika, dengan pusing ganti tahunan mencecah sekitar S$1.5 bilion.

Surbana Jurong memegang rekod prestasi selama hampir 70 tahun, dan membina lebih satu juta rumah di Singapura, mencipta pelan induk untuk lebih 30 negara selain membangunkan lebih 100 taman perindustrian di seluruh dunia.

Cogan kata Surbana Jurong, 'Bangunkan Bandar, Bentukkan Kehidupan' memperlihatkan kepercayaannya bahawa pembangunan adalah lebih daripada sekadar keluli dan konkrit. Surbana Jurong mencipta ruang dan mereka bentuk infrastruktur yang membolehkan orang ramai menginap, bekerja dan bermain, membentuk bandar-bandar menjadi kediaman dengan pekerjaan yang boleh dikekalkan, yang membolehkan masyarakat dan perniagaan berkembang maju.

Latar Belakang Mitsubishi Corporation

Mitsubishi Corporation ialah sebuah perusahaan perniagaan bersepadu bertaraf global yang membangunkan dan mengendalikan perniagaan hampir dalam setiap industri termasuk kewangan perindustrian, tenaga, logam, jentera, bahan kimia, makanan dan perniagaan alam sekitar.

Aktiviti-aktiviti semasa Mitsubishi Corporation berkembang jauh melangkaui operasi perdagangan tradisionalnya memandangkan kepelbagaian perniagaannya terdiri daripada pembangunan sumber asli kepada pelaburan dalam perniagaan peruncitan, infrastruktur, produk kewangan dan pembuatan barangan perindustrian.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Surbana Jurong
Jackie Yu
Pengarah, Komunikasi Kumpulan
T: +65-6839-7326   M: +65-9688-4269   E: Jackie.YuWc@surbanajurong.com

Source: Surbana Jurong Private Limited
Keywords: Banking/Financial Service Construction/Building Utilities Financing agreements Joint ventures