omniture

Menarini Mara Menuju Percubaan Klinikal Dengan MEN1611, Perencat PI3K bagi Rawatan Kanser Payudara Metastatik Positif HER2

Menarini Ricerche
2018-10-19 17:53 1312

POMEZIA, Itali, 19 Oktober 2018 /PRNewswire/ --

Menarini Ricerche hari ini mengumumkan permulaan percubaan klinikal B-PRECISE-01, kajian fasa Ib berbilang pusat yang akan menilai tahap keselamatan dan kecekapan MEN1611 berserta trastuzumab dengan atau tanpa fulvestrant. Kajian ini akan merekrut pesakit-pesakit yang menghidap kanser payudara bermutasi- PIK3CA, positif-HER2 pada tahap lanjutan atau metastatik (a/m) yang telah gagal dalam terapi berasaskan anti-HER2. MEN1611 ialah perencat PI3k kelas I yang poten, selektif serta tersedia secara oral yang menunjukkan tahap aktiviti yang tinggi terhadap isoform mutan p110α dan perencatan minimum bagi isoform δ. Sebatian ini telah dilesenkan secara dalaman oleh Menarini daripada Chugai Pharmaceuticals pada bulan November 2016 setelah kejayaan penyempurnaan kajian FIH (PA-799EU), yang menunjukkan profil keselamatan yang cerah.

Menarini, dengan kerjasama jaringan luas pusat-pusat kecemerlangan onkologi, termasuk Memorial Sloan-Kettering Cancer Center (New York, AS) dan Vall d'Hebron Institute of Oncology (Barcelona, Sepanyol), telah menjalankan penyelidikan praklinikal tambahan yang meluas menggunakan berbilang model haiwan. Dalam eksperimen ini, MEN1611 sebagai agen tunggal dan secara kombinasi menunjukkan aktiviti antitumor terhadap panel kanser pepejal yang mana mutasi PI3k memberi impak negatif yang penting terhadap prognosis dan tindak balas kepada rawatan.

Kajian B-PRECISE-01 MEN1611 akan dijalankan di lokasi-lokasi onkologi utama Eropah iaitu di Itali, Sepanyol, Belgium, Perancis, UK dan Belanda. Kajian ini direka untuk mengenal pasti dos optimum MEN1611 untuk diberikan dengan kombinasi bersama trastuzumab dengan atau tanpa fulvestrant serta untuk mengumpul bukti awal bagi aktiviti klinikal dalam pesakit yang menghidap kanser payudara positif-Her2 a/m. Meskipun kajian B-PRECISE-01 masih diteruskan, Menarini komited untuk meluaskan penyelidikan klinikal MEN1611 dalam kanser payudara serta dalam tumor pepejal lain yang mempunyai keperluan perubatan yang tinggi, yang mana PIK3CA merupakan sasaran terapeutik yang sesuai.

"Menumpu pada terapi-terapi bersasaran yang dapat dibangunkan berdasarkan pendekatan perubatan kepersisan merupakan komponen penting dalam strategi Menarini dalam onkologi," kata Andrea Pellacani, MD, PhD, Pengurus Besar Menarini Ricerche. "Reka bentuk kajian B-PRECISE-01 yang menumpu pada subkumpulan pesakit dengan keperluan tidak dipenuhi yang tinggi dan dipilih berdasarkan mekanisme tindakan MEN1611 tertentu benar-benar selari dengan strategi kami dan menegaskan komitmen kami terhadap onkologi dan perubatan kepersisan."

Latar Belakang Menarini  

Menarini Group ialah sebuah syarikat farmaseutikal Itali, berada di tempat ke-13 di Eropah daripada 5,345 syarikat dan syarikat ke-35 di dunia daripada 21,587 syarikat, dengan nilai pusing ganti sebanyak lebih 3.6 bilion Euro dan menggaji lebih 17,000 kakitangan. Menarini Group sentiasa mengejar dua objektif strategik: penyelidikan dan pengantarabangsaan dan menyatakan komitmen padu terhadap penyelidikan dan pembangunan onkologi. Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap onkologi, Menarini membangunkan empat ubatan onkologi baharu yang sedang dikaji. Dua daripadanya ialah biologik, salah satu daripadanya ialah antibodi anti-CD157 MEN1112 dan juga antibodi anti-CD205 berkonjugat toksin MEN1309. Di samping itu, baru-baru ini Menarini menambah dua molekul kecil ke dalam rancangan onkologinya, dwiperencat kinase PIM dan FLT3 MEN1703 dan perencat PI3K MEN1611, yang masih dalam peringkat pembangunan klinikal untuk merawat pelbagai tumor hematologi dan/atau tumor pepejal. Menarini bergiat aktif secara komersial dalam bidang-bidang terapeutik yang paling penting menerusi produk-produk untuk kardiologi, gastroenterologi, pneumologi, penyakit berjangkit, diabetologi, keradangan dan analgesik.

Dengan 16 tapak pengilangan dan 7 pusat Penyelidikan dan Pembangunan, Menarini Group mempunyai kehadiran yang kukuh di seluruh Eropah dan Asia, Afrika, Amerika Tengah dan Selatan. Produk-produk Menarini Group boleh didapati di 136 negara di seluruh dunia.

Untuk maklumat lanjut sila layari http://www.menarini.com

Sumber: Menarini Ricerche

Source: Menarini Ricerche
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Pharmaceuticals Clinical Trials/Medical Discoveries