omniture

Cip Huawei Serlahkan Era Baharu Kecerdasan Buatan

Huawei
2018-11-09 12:33 477

Cip AI Ascend 310 Baharu Bantu Huawei Raih "Anugerah Pencapaian Saintifik dan Teknologi Utama Dunia" Berprestij di Persidangan Internet Dunia Kelima

WUZHEN, China, 9 November 2018 /PRNewswire/ -- Di Persidangan Internet Dunia (WIC) kali kelima, diadakan hari ini di Wuzhen, Zhejiang, menerusi tema "Mencipta Dunia Digital untuk Kepercayaan Bersama dan Tadbir Urus Kolektif - Ke Arah Komuniti dengan Masa Depan Dikongsi dalam Ruang Siber," cip Ascend 310 Huawei menonjol daripada lebih 400 pencapaian teknologi untuk memenangi anugerah Pencapaian Saintifik dan Teknologi Utama Dunia persidangan tersebut. Penghormatan ini mengiktiraf sistem-atas-cip (SoC) kecerdasan buatan (AI) kerana mempunyai keupayaan pengkomputeran paling mantap dalam industri untuk senario pengkomputeran pinggir, dengan sokongan daripada seni bina Da Vinci seragam dan boleh diskala. Ini menandakan tahun ketiga berturut-turut Huawei menerima anugerah ini serta mendapat peluang untuk mempamerkan inovasinya semasa persidangan berkenaan. Yan Lida, Pengarah Lembaga di Huawei dan Presiden Huawei Enterprise Business Group memperkenalkan hasil pencapaian tersebut kepada para tetamu di persidangan berkenaan.

Yan Lida berkata: "Siri cip AI Ascend baharu daripada Huawei ialah komponen teras dalam penyelesaian AI Huawei dan memberi sokongan utama. Strategi AI Huawei adalah untuk melabur dalam penyelidikan asas dan pembangunan bakat; membangunkan portfolio AI susunan penuh untuk semua senario; dan memupuk ekosistem global yang bersifat terbuka. Saban tahun, Huawei melabur 10 hingga 15 peratus daripada pendapatan jualan kami untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan tahun ini, pelaburan R&D kami akan melebihi CNY100 bilion. Ascend 310 ialah cip pertama dalam siri Ascend yang membuka era AI baharu. Kelebihan kami bukan sahaja berupaya menyediakan AI, tetapi juga dapat mencapai sinergi antara AI dan infrastruktur awan, IoT, video, pengkomputeran pinggir, data raya dan teknologi-teknologi lain, bagi membentuk satu "platform" terbuka yang menyokong transformasi digital untuk semua industri. AI akan menjadi teknologi terkini yang disediakan oleh Huawei kepada pelanggan dan rakan kongsi pada platform tersebut. Kami akan bekerja keras untuk memastikan AI bukan lagi satu teknologi yang terbuka hanya kepada mereka yang memiliki kemahiran kelayakan yang tinggi. Sepanjang tiga tahun akan datang, matlamat kami adalah untuk bekerjasama dengan satu juta pembangun AI bagi memacu inovasi sejajar dengan komitmen Huawei untuk menyediakan AI yang berpatutan, berkesan serta andal, membawakan kecerdasan merentas setiap perusahaan dan industri demi membina dunia yang terhubung sepenuhnya dan pintar."

Yan Lida, Pengarah Lembaga di Huawei dan Presiden Huawei Enterprise Business Group memperkenalkan Ascend 310 kepada para tetamu di persidangan tersebut
Yan Lida, Pengarah Lembaga di Huawei dan Presiden Huawei Enterprise Business Group memperkenalkan Ascend 310 kepada para tetamu di persidangan tersebut

Pada 10 Oktober 2018, Huawei secara rasminya melancarkan penyelesaian AI susunan penuh untuk semua senario. 'Susunan penuh' bererti penyelesaian berkenaan menyediakan kuasa pengkomputeran yang berkuasa dan berkesan kos, selain platform pembangunan aplikasi rendah-halangan yang menjadikan pemodelan data AI, latihan model dan pembangunan aplikasi lebih ringkas, lebih tangkas dan lebih cekap. Sebagai satu penyelesaian 'semua senario', ia berupaya memacu kecerdasan secara meluas dalam pelbagai senario peranti, pinggir dan awan.

Ascend 310 ialah cip SoC AI yang paling berkuasa dalam industri untuk senario pengkomputeran pinggir. Pada masa kini, senario pengkomputeran pinggir paling tipikal ialah keselamatan dan perlindungan, pemanduan berautonomi dan pembuatan pintar. Walau bagaimanapun, setiap senario pengkomputeran pinggir mengenakan kekangan yang teruk terhadap ruang, penggunaan tenaga dan kuasa pengkomputeran. Sama ada pada kereta yang bergerak pantas atau pada talian pengeluaran berkelajuan tinggi, kajian saintifik yang rumit mahupun aktiviti pendidikan harian, Ascend 310 dapat menyokong setiap industri menerusi tenaga pengkomputeran yang cekap kos dan berkuasa. Satu cip Ascend 310 boleh mencapai sehingga 16TOPS pengiraan di lapangan, menyokong pengenalpastian serentak bagi 200 objek berbeza termasuk individu, kereta, rintangan dan isyarat lalu lintas; ia dapat memproses ribuan gambar dalam satu saat. Pada bulan Oktober tahun ini, Huawei dan Audi mendemonstrasikan cip set dalam pemanduan automatik L4. Kenderaan ini dilengkapi dengan unit pengkomputeran dipasang pada kenderaan Pusat Data Mudah Alih (MDC) Huawei dan dianggarkan bahawa cip set Ascend 310 Huawei menggunakan hanya 200 watt kuasa dalam pemanduan automatik L4.

Satu lagi kelebihan unik siri Ascend adalah ia mengguna pakai seni bina Da Vinci seragam dan boleh diperluas yang inovatif daripada Huawei, yang mencapai liputan penuh – daripada senario penggunaan tenaga amat rendah kepada senario kuasa pengkomputeran tinggi, sesuatu yang masih belum dilihat dalam mana-mana seni bina lain dalam pasaran. Seni bina Da Vinci berupaya memudahkan penggunaan, pemindahan dan kolaborasi aplikasi AI dalam senario-senario berbeza serentak, yang amat meningkatkan kecekapan pembangunan perisian serta mempercepatkan aplikasi AI dalam pelbagai industri.

Huawei menyokong 'AI untuk manfaat semua' dan bermatlamat untuk bekerjasama dengan pelanggan, rakan kongsi industri dan institusi akademik bagi mencapai hasil yang saling menguntungkan dan mendayakan AI yang meluas ke seluruh pelosok. Visi dan misi kami adalah untuk membawakan kemudahan digital kepada setiap individu, kediaman dan organisasi demi dunia yang terhubung sepenuhnya dan pintar. Maklumat lanjut tentang strategi-strategi AI Huawei dan penyelesaian AI susunan penuh untuk semua senario disediakan di https://www.huawei.com/en/press-events/news/2018/10/huawei-hc-2018-eric-xu-ai.

WIC ialah satu acara tahunan global yang diadakan oleh Pentadbiran Ruang Siber China dan kerajaan Rakyat Wilayah Zhejiang. Ia menyasarkan untuk mewujudkan forum antarabangsa bagi menghubungkan China dan seluruh pelosok dunia dan forum Cina bagi tujuan perkongsian global dan tadbir urus Internet. Persidangan berkenaan menggalakkan pertukaran bagi mendayakan konsensus, kerjasama dan hasil yang saling menguntungkan. WIC kali kelima diadakan di Wuzhen, wilayah Zhejiang pada 7 November 2018 dan berlangsung selama tiga hari.

Foto - https://photos.prnasia.com/prnh/20181107/2292536-1

Source: Huawei
Keywords: Computer Hardware Computer Networks Computer Software Computer/Electronics Internet Technology Telecommunications Telecommunications Equipment Trade show news