omniture

Indeks Keganasan Global 2018 IEP: Kematian Akibat Keganasan Menurun 44 Peratus dalam Tiga Tahun, namun Keganasan Masih Menular

Institute for Economics & Peace (IEP)
2018-12-05 13:00 1377

LONDON, 5 Disember 2018/PRNewswire/ --

  • Kematian akibat keganasan menurun sebanyak 27 peratus pada 2017 kepada 18,814 seluruh dunia. Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut penambahbaikan.
  • Penurunan keganasan global diperlihatkan dalam indeks: 94 negara bertambah baik tahun ini, dengan 46 negara semakin merosot - bilangan negara tertinggi yang bertambah baik berbanding tahun sebelumnya sejak 2004.
  • Impak ekonomi global terhadap keganasan ialah US$52 bilion pada 2017; menurun 42 peratus berbanding tahun sebelumnya.
  • Kematian di Eropah menurun sebanyak 75 peratus. Perancis, Belgium dan Jerman mengalami penambahbaikan ketara. Walau bagaimanapun, Sepanyol merosot dengan ketara.
  • Keganasan masih menjadi fenomena global dengan 67 negara mencatatkan sekurang-kurangnya satu kematian pada 2017.
  • Terdapat peningkatan dalam keganasan sayap kanan di Amerika Utara dan Eropah Barat, yang mana pada 2017, mengakibatkan 59 serangan dan 17 kematian.
  • Penurunan ISIL menyumbang penurunan kematian sebanyak 56 peratus di Iraq antara tahun 2016 dan 2017. Walau bagaimanapun, ISIL kekal sebagai kumpulan pengganas yang paling berbahaya di dunia.

Menurut Indeks Keganasan Global (GTI) 2018, kematian akibat keganasan menurun buat tahun ketiga berturut-turut setelah mencapai kemuncaknya pada tahun 2014. Indeks Keganasan Global tahunan, kini memasuki tahun keenamnya, dibangunkan oleh Institute for Economics & Peace (IEP) dan menyediakan sumber yang paling komprehensif tentang trend pengganas global.

Jumlah kematian menurun sebanyak 27 peratus pada tahun 2017, dengan penurunan terbanyak berlaku di Iraq dan Syria. Penurunan kematian turut diperlihatkan menerusi mata negara dengan 94 negara bertambah baik, berbanding 46 negara yang merosot. Ini merupakan bilangan negara tertinggi yang merekodkan penambahbaikan berbanding tahun sebelumnya sejak tahun 2004.

Walau bagaimanapun, meskipun GTI mendapati bahawa impak global akibat keganasan mengalami penurunan, ia turut menunjukkan bahawa keganasan masih menular, malah semakin teruk di sesetengah kawasan:

  • Lima negara (Afghanistan, Iraq, Nigeria, Somalia dan Syria) mencatatkan lebih 1,000 kematian manakala 19 negara mencatatkan lebih 100 kematian.
  • Somalia dan Mesir mencatatkan peningkatan tertinggi dari segi jumlah kematian akibat keganasan pada tahun 2017 - satu serangan di Somalia telah membunuh 587 orang dan satu lagi serangan di Mesir telah mengorbankan 311 nyawa.
  • Kematian akibat keganasan meningkat sebanyak 93 peratus di Somalia dari tahun 2016 hingga 2017.
  • 67 negara mencatatkan lebih satu kematian manakala 98 negara mencatatkan sekurang-kurangnya satu serangan.
  • Angola dan Sepanyol mengalami kemerosotan terbesar dari segi mata dalam GTI akibat daripada satu serangan di Angola dan beberapa serangan di Sepanyol.
  • Myanmar dan Filipina menunjukkan jumlah kematian akibat keganasan yang mencatat rekod pada tahun 2017, masing-masing dengan 166 kematian dan 50 kematian.
  • Afghanistan mencatatkan jumlah kematian akibat keganasan yang tertinggi pada tahun 2017, menggantikan Iraq.

Steve Killelea, Pengerusi Eksekutif IEP, menjelaskan tentang dapatan tersebut: "Kajian IEP mendapati bahawa konflik dan keganasan negara merupakan punca-punca utama keganasan - daripada 10 negara yang paling terjejas oleh keganasan*, kesemuanya terlibat dalam sekurang-kurangnya satu konflik ganas manakala lapan negara terlibat dalam peperangan besar dengan sekurang-kurangnya 1,000 kematian akibat pertempuran. Sepuluh negara ini menyumbang sebanyak 84 peratus daripada semua kematian akibat keganasan pada tahun 2017. Apabila digabungkan dengan negara-negara yang mengalami kadar keganasan politik yang tinggi, bilangan ini melonjak kepada lebih 99 peratus. Keganasan politik melibatkan pembunuhan di luar bidang kehakiman, penyeksaan dan hukuman penjara tanpa perbicaraan." 

Di Amerika Utara dan Eropah Barat, ancaman terhadap keganasan politik sayap kanan semakin meningkat. Sepanjang empat tahun antara tahun 2013 dan 2017, terdapat 66 kematian dan 127 serangan yang berpunca daripada kumpulan-kumpulan dan individu-individu sayap kanan di Eropah Barat dan Amerika Utara. Pada tahun 2013, tiada kematian berlaku, berbanding 17 kematian pada tahun 2017. Kebanyakan serangan dilakukan oleh pencetus serangan bersendirian yang berpegang kepada kepercayaan sayap kanan, nasionalis kulit putih atau anti-Islam.

Dua negara yang mengalami penurunan paling ketara berhubung keganasan ialah Iraq dan Syria dengan angka kematian menurun, masing-masing sebanyak 5,500 dan 1,000. Penurunan jumlah kematian yang tinggi di Iraq dan Syria sebahagian besarnya disebabkan oleh kemerosotan berterusan ISIL. Jumlah kematian akibat serangan pengganas yang dikaitkan dengan ISIL menurun sebanyak 52 peratus pada tahun 2017. Terdapat penurunan yang sama berlaku dari segi kematian akibat serangan, menekankan keupayaan organisasi yang semakin lemah. Walaupun keupayaannya berkurangan, ISIL kekal menjadi kumpulan pengganas yang paling berbahaya di seluruh dunia pada tahun 2017. Kini, ISIL telah kehilangan sebahagian besar daripada wilayahnya dan hampir kesemua pendapatannya dengan keupayaan yang berkurangan diperlihatkan dari segi penurunan kadar kematian bagi setiap serangan. Data awal menunjukkan bahawa trajektori ini akan berterusan sehingga tahun 2018.

Pada tahun 2017, Taliban mengalihkan tumpuannya daripada serangan ke atas orang awam, kepada serangan ke atas polis dan anggota tentera. Taliban telah membunuh 2,419 orang polis dan anggota tentera pada tahun 2017, meningkat daripada 1,782 orang pada tahun sebelumnya. Jumlah serangan turut meningkat daripada 369 kepada 386 serangan pada tahun 2017.

Meskipun jumlah kematian akibat keganasan menurun dengan banyaknya sepanjang tiga tahun lalu, ancaman baharu terus muncul. Organisasi-organisasi pengganas Islam telah terbukti amat berdaya tahan dan mampu beradaptasi, berpecah dan membentuk kumpulan serta perikatan baharu dengan amat pantas. Daripada 169 kumpulan pengganas yang bertanggungjawab terhadap sekurang-kurangnya satu kematian pada tahun 2017, 42 kumpulan merupakan kumpulan baharu atau kumpulan yang tidak menyebabkan sebarang kematian dalam tempoh tiga tahun sebelumnya. Pada tahun 2017, kumpulan baharu yang paling aktif ialah Hay'at Tahrir al-Sham di Syria yang bertanggungjawab terhadap 177 kematian.

Eropah Barat mencatatkan penurunan ketara sebanyak 52 peratus bagi keganasan dengan Perancis, Jerman dan Belgium kesemuanya mencatatkan penurunan ketara dari segi kematian akibat keganasan. Pada tahun 2017, jumlah kematian menurun kepada 81 daripada 168 pada tahun sebelumnya. Trend ini berterusan sehingga tahun 2018 dengan hanya lapan kematian dicatatkan hingga Oktober 2018.

Steve Killelea menjelaskan: "Penambahbaikan ketara di Eropah ini boleh dikaitkan dengan beberapa alasan. ISIL telah kehilangan banyak daya tarikannya disebabkan oleh kekalahan ketenteraan dan keupayaan yang semakin lemah untuk melancarkan serangan di Eropah. Peningkatan pembiayaan terhadap usaha menentang keganasan, digabungkan dengan teknik-teknik pengawasan yang lebih baik turut menyumbang kepada pengurangan kematian yang tinggi di Eropah akibat keganasan. Walau bagaimanapun, menariknya, meskipun kematian akibat keganasan di Eropah telah menurun, bilangan insiden pengganas meningkat dalam tempoh ini. Ini menekankan bahawa ISIL kehilangan taringnya untuk merancang dan menyelaraskan serangan pengganas berskala lebih luas, akibat daripada keupayaan yang semakin lemah dan meningkatnya langkah-langkah menentang keganasan yang semakin meningkat."

Di samping kejatuhan serangan keganasan, impak ekonomi global akibat keganasan turut jatuh, berkurangan sebanyak 42 peratus kepada US$52 bilion pada tahun 2017. Kematian menyumbang sebanyak 72 peratus daripada impak ekonomi terhadap keganasan, dengan selebihnya berpunca daripada kerugian KDNK, kemusnahan harta benda dan kecederaan yang tidak menyebabkan kematian. Walau bagaimanapun, impak ekonomi sebenar akibat keganasan berkemungkinan jauh lebih tinggi memandangkan angka-angka ini tidak menyumbang kepada impak tidak langsung terhadap perniagaan, pelaburan dan kos yang dikaitkan dengan agensi-agensi keselamatan dalam menentang keganasan.

Catatan untuk Editor
Laporan penuh GTI 2018 dan peta interaktif disediakan di: http://www.visionofhumanity.org

Ikuti: @GlobPeaceIndex #TerrorismIndex

Klik suka: http://www.facebook.com/globalpeaceindex

* 10 negara paling terjejas oleh keganasan, disusun mengikut bilangan kematian
1) Afghanistan 2) Iraq 3) Nigeria 4) Somalia 5) Syria 6) Pakistan 7) Mesir 8) Congo 9) Republik Afrika Tengah 10) India

Indeks Keganasan Global (GTI) 
GTI oleh Institute for Economics & Peacemenyediakan ringkasan komprehensif tentang trend dan pola global yang utama terhadap keganasan sejak 17 tahun lalu. Laporan ini menyenaraikan 163 negara (99.6 peratus daripada penduduk global) dari segi bagaimana negara menerima impak akibat keganasan. Penunjuk-penunjuk termasuk bilangan kejadian pengganas, kematian, kecederaan dan kerosakan harta benda.

Pangkalan Data Keganasan Global
GTI menggunakan data daripada set data Pangkalan Data Keganasan Global (GTD) berhubung keganasan oleh Konsortium Kebangsaan bagi Kajian Keganasan dan Respons terhadap Keganasan (START), sebuah Jabatan dalam Pusat Kecemerlangan Keselamatan Dalam Negeri yang dipimpin oleh University of Maryland. Ia menyediakan sumber paling komprehensif tentang trend pengganas global.

Institute for Economics & Peace 
Institute for Economics & Peace (IEP) ialah badan pemikir yang terkemuka di dunia yang dikhususkan untuk membangunkan metrik bagi menganalisis keamanan dan mengukur nilai ekonominya. Institut ini melakukannya dengan menghasilkan indeks global dan negara, termasuk Indeks Keamanan Global tahunan, menghitung kos ekonomi keganasan dan memahami tentang keamanan positif.

Sumber: Institute for Economics & Peace (IEP)

Source: Institute for Economics & Peace (IEP)
Keywords: Public Safety Survey, Polls & Research