omniture

Lazada Group umum rancangan penggantian kepimpinan

Lazada Group
2018-12-13 10:30 1500

Pierre Poignant dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Lucy Peng kekal Pengerusi Eksekutif

SINGAPURA, 13 Disember 2018 /PRNewswire/ -- Lazada Group, syarikat eDagang yang utama di Asia Tenggara mengumumkan bahawa Presiden Eksekutif Pierre Poignant akan menggantikan Lucy Peng sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Group yang berkuat kuasa serta merta, sebagai sebahagian daripada perancangan penggantian kumpulan ini, Peng akan kekal sebagai Pengerusi Eksekutif Lazada Group.

Poignant yang dilantik sebagai Presiden Eksekutif Kumpulan pada Ogos 2018 akan memimpin pembangunan strategik kumpulan menuju tonggak pertumbuhan baharu, di samping terus mengurus operasi-operasi Lazada di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, bekerjasama erat dengan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif negara dan pemimpin-pemimpin pasukan fungsian serantau.

Sejak Lazada dilancarkan pada tahun 2012, Poignant mengatur pembangunan dan peluasan jejak logistik Lazada dan membangunkan keupayaan e-logistik syarikat. Selama bertahun-tahun, beliau menyandang jawatan-jawatan lain bersama Lazada seperti Ketua Pegawai Operasi, yang menyelia khidmat pelanggan, rantaian bekalan dan pengeluaran kandungan.

Peng berkata: "Pierre ialah pengasas bersama Lazada yang amat disegani, yang menyumbang tanpa mengenal jemu terhadap syarikat sejak enam tahun lalu. Beliau dan pasukan pengasas bersama yang lain mempunyai visi untuk membangunkan jaringan logistik kami dari bawah pada suatu ketika apabila tiada sesiapa di Asia Tenggara yang mempercayai eDagang – aset bernilai ini kini membezakan kami daripada persaingan. Selama bertahun-tahun, Pierre tekal menyumbang lebih daripada apa yang diharapkan daripada beliau dan cemerlang dalam setiap jawatan yang pernah disandang oleh beliau."

Poignant mengucapkan terima kasih kepada beliau atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada dirinya. Beliau turut menghargai dan memuji kakitangan Lazada "kerana menempuh perjalanan yang panjang" bersama beliau sejak tahun 2012.

Poignant berkata bahawa Lazada memperoleh manfaat daripada ekosistem Alibaba, bermula dengan kehebatan teknologi kepada jaringan logistik. "Tahun 2018 merupakan detik perubahan untuk Lazada. Kami telah bertambah baik serta berkembang maju dan kini muncul dengan lebih mantap, lebih cekap dan lebih tangkas berbanding awal tahun ini. Transformasi kami baru sahaja bermula dan saya yakin tahun hadapan akan menjadi satu lagi tahun dengan detik perubahan," tambah Poignant.

# # #

Mengenai Lazada Group

Dilancarkan pada tahun 2012, Lazada merupakan destinasi beli belah dan jualan dalam talian nombor satu di Asia Tenggara – dengan kehadiran di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Dengan lebih 300 juta SKU tersedia, Lazada menawarkan rangkaian produk terluas dalam kategori-kategori bermula dengan kecantikan, fesyen dan barangan elektronik pengguna kepada barangan rumah, alat mainan, peralatan sukan dan barangan runcit. Menumpu untuk membawakan pengalaman pelanggan yang cemerlang, ia menawarkan penjagaan pelanggan yang komprehensif dan pemulangan mudah melalui bahagian penyerahan batuan pertama dan akhir miliknya sendiri yang disokong oleh kira-kira 100 rakan kongsi logistik. Majoriti Lazada Group dimiliki oleh Alibaba Group Holding Limited (NYSE: BABA).

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Farah Zulkefly
farah.zulkefly@lazada.com.my 
+6012 3344 885 

Logo - http://photos.prnasia.com/prnh/20160928/8521606183LOGO

Source: Lazada Group
Keywords: Electronic Commerce Household/Consumer/Cosmetics Retail Personnel announcements