ABU DHABI, Emiriah Arab Bersatu, 17 Januari 2019/PRNewswire/ --
Yang Amat Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE serta Yang Amat Mulia Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden, Perdana Menteri dan Pemerintah Dubai, berserta para pemimpin dan wakil-wakil dari negara-negara pemenang, menyampaikan anugerah kepada 10 pemenang bagi Zayed Sustainability Prize 2019 di majlis penyampaian anugerah tahunan yang diadakan hari ini.
Sheikh Mohamed bin Zayed mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan memuji usaha-usaha mereka serta sumbangan bernilai dalam menyokong pembangunan mampan. Beliau menggalakkan mereka untuk meneruskan usaha yang baik itu bagi mencari penyelesaian yang inovatif dan mampan demi menangani cabaran-cabaran global masa kini dan masa depan.
Beliau turut memuji idea-idea kreatif dan usaha-usaha mereka yang telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial untuk negara-negara dan wilayah-wilayah mereka.
"Anugerah tahun ini menandakan pencapaian penting dalam sejarah hadiah tersebut dan UAE. Sepanjang tahun 2018, kami menyaksikan negara ini bersatu dalam memperingati Bapa Pengasas UAE, menerusi Tahun Zayed. Sambutan tersebut menginspirasikan evolusi hadiah ini untuk mengiktiraf skop penyelesaian berimpak global yang lebih luas bagi menangani cabaran-cabaran kemampanan dunia," kata Sheikh Mohamed bin Zayed.
Di bawah kepimpinan Presiden Yang Amat Mulia Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, legasi nilai-nilai Sheikh Zayed terus membentuk wawasan global kami terhadap pembangunan yang mampan dan inklusif yang akan kami raikan sepanjang tahun 2019 sebagai 'Tahun Toleransi'," tambah beliau.
"Dengan mengenal pasti hasil kerja merentas sektor yang menjadi asas kepada Matlamat Pembangunan Lestari PBB, hadiah berkenaan membawakan platform global yang unggul untuk idea-idea yang mempunyai kuasa untuk memberi manfaat kepada manusia dan bumi kita. Melalui impak yang lebih luas, yang tercetus dalam bidang-bidang penjagaan kesihatan, keselamatan makanan, akses tenaga selain air dan sanitasi, kami berkedudukan unik untuk memberi galakan dan memperkasa generasi baharu pelopor bagi mencipta inovasi-inovasi menarik yang akan mengubah kehidupan berjuta-juta individu yang kurang bernasib baik di seluruh dunia," tambah Yang Amat Mulia.
Sheikh Mohamed menyampaikan hadiah kepada 10 pemenang dalam kategori Kesihatan, Makanan, Tenaga, Air dan Sekolah Menengah Global, yang diadakan dalam Minggu Kemampanan Abu Dhabi, ADSW.
Upacara tersebut turut dihadiri oleh Y.A.M. Sheikh Hazza bin Zayed Al Nahyan, Timbalan Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi; Y.A.M. Leftenan Jeneral Sheikh Saif bin Zayed Al Nahyan, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri; Y.A.M. Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Presiden; Y.A.M. Sheikh Hamed bin Zayed Al Nahyan, Ketua Abu Dhabi Crown Prince's Court; dan Y.A.M. Sheikh Omar bin Zayed Al Nahyan, Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan dan Kemanusiaan Zayed bin Sultan Al Nahyan; Sheikh Nahyan bin Mubarak Al Nahyan, Menteri Toleransi, serta beberapa menteri dan pegawai kanan.
Hadiah 2019 memberi penghormatan kepada para pemimpin yang mana usaha dan semangat perusahaan mereka menghasilkan penyelesaian kerja merentas komuniti seluruh dunia.
Format Hadiah tersebut mengundang organisasi-organisasi termasuk perusahaan-perusahaan bersaiz kecil dan sederhana serta organisasi-organisasi bukan berasaskan keuntungan untuk menghantar penyelesaian sedia ada yang telahpun menunjukkan impak positif. Kategori Sekolah Menengah Global bertujuan untuk menginspirasikan minda muda dan menggalakkan penyertaan berdasarkan konsep atau projek yang dicadangkan yang dapat dilaksanakan oleh mereka dengan hadiah wang daripada anugerah tersebut.
Dalam kategori Kesihatan, 'We Care Solar' menerima anugerah untuk Solar Suitcase (Beg Pakaian Solar), peranti bersalin mudah alih bagi membantu kelahiran dan perkhidmatan perubatan berkaitan di kawasan luar bandar dengan sistem kendiri. Unit tersebut menghimpunkan peralatan pemantauan janin dan komunikasi yang ringan dan telahpun membantu 1.8 juta orang dengan membantu doktor, bidan dan ahli profesional perubatan dengan menyediakan rawatan kecemasan obstetrik untuk 3,325 kemudahan kesihatan di 27 negara Afrika.
Sanku, pemenang bagi kategori Makanan, diiktiraf menerusi mesin fortifikasi tepungnya yang melengkapi dan memberi insentif kepada pengilang tempatan yang berskala kecil untuk memperkaya tepung mereka dengan nutrien menggunakan teknologi inovatif. Sanku kini telah memasang 150 mesin fortifikasi di kilang-kilang tepung merentas lima negara Afrika Timur, memberi impak kepada kehidupan hampir satu juta orang setiap hari dengan menyediakan mereka sumber makanan yang lebih selamat dan lebih sihat.
Bagi kategori Tenaga Hadiah ini, BBOXX, penyedia penyelesaian tenaga, yang diiktiraf untuk peranti solar pasang-dan-pakainya, menawarkan pengguna dengan pengalaman grid kuasa elektrik dalam persekitaran sistem kendiri. BBOXX telah memasang lebih 160,000 sistem kediaman solar di seluruh Afrika, Amerika Selatan dan rantau Pasifik, menghubungkan lebih 675,000 orang dengan penyelesaian tenaga yang bersih dan berpatutan serta mengimbangi kira-kira 87,000 tan gas CO2 setiap tahun.
ECOSOFTT, pemenang bagi kategori Air, dianugerahkan untuk piawaian pengurusan air komuniti terpencar olehnya, yang menggariskan satu set penyelesaian untuk pengurusan sumber, penggunaan air, kitar semula dan pelepasan air. Ia telah melaksanakan lebih 50 projek dalam lima negara dan menyediakan lebih 200,000 orang dengan akses kepada air bersih, sanitasi dan kebersihan.
Bagi kategori Sekolah Menengah Global yang diperkenalkan pada tahun 2012, kategori tahun ini diperluas daripada lima kepada enam buah sekolah, dengan setiap sekolah mewakili rantau dunia tertentu. Sekolah-sekolah yang mengambil bahagian menghantar cadangan projek yang menangani satu atau lebih daripada empat cabaran kemampanan: Kesihatan, Makanan, Tenaga atau Air.
Penerima-penerima hadiah bagi kategori Sekolah Menengah Global 2019 ialah: The Impact School (Guatemala), mewakili benua Amerika; Gymnasium Goethe (Tajikistan), mewakili Eropah & Asia Tengah; American School of Dubai (UAE), mewakili rantau Timur Tengah dan Afrika Utara; African Leadership Academy (Afrika Selatan), mewakili Afrika Sub-Sahara; SECMOL (India), mewakili Asia Selatan; dan Muntinlupa National High School (Filipina), mewakili Asia Timur & Pasifik.
Pengerusi bagi Juri Zayed Sustainability Prize dan mantan Presiden Iceland Olafur Ragnar Grimsson, berkata, "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan UAE atas pandangan jauh mereka, 10 tahun lalu dalam mewujudkan anugerah sedemikian. Melalui komitmen mereka terhadap cita-cita dan matlamatnya, mandat baharu dan diperluas Zayed Sustainability Prize memudahkan kesinambungan capaiannya, dan dalam masa yang sama mengubah kehidupan komuniti rentan di seluruh dunia."
"Hadiah ini merupakan wadah penting untuk meraih sokongan dan advokasi untuk agenda kemampanan dunia dan ketika kami mengucapkan tahniah kepada para pemenang Hadiah 2019, saya juga ingin memberi pengiktirafan kepada semua peserta, calon yang disenarai pendek dan finalis, kerana mereka semua telah menunjukkan semangat dan dedikasi yang jelas ke arah mewujudkan masa depan yang lebih mampan," tambah beliau.
Selanjutnya, Dr. Sultan bin Ahmad Sultan Al Jaber, Menteri Negara dan Ketua Pengarah Zayed Sustainability Prize, berkata, "Zayed Sustainability Prize selari dengan wawasan kemanusiaan holistik Bapa Pengasas kami dan kami akan memanfaatkan impak positif pelopornya, Zayed Future Energy Prize. Evolusi Hadiah dan peluasan kategori telah menghasilkan minat yang mencatat rekod dan kami amat bersemangat dengan usaha, keghairahan dan inovasi luar biasa yang berlaku di seluruh dunia untuk mengenal pasti penyelesaian yang paling berimpak kepada cabaran global."
Beliau menyambung, "Kami mengucapkan tahniah kepada para pemenang Zayed Sustainability Prize 2019. Kejayaan daripada Hadiah ini bergantung pada kolaborasi antara semua pemegang kepentingan, bermula dengan kerajaan dan industri kepada kepintaran dan daya reka di peringkat akar umbi. Kami terus mendapat inspirasi daripada daya kreativiti dan semangat mereka tatkala mereka meneruskan penyelesaian diterajui kemampanan bagi mencapai matlamat global."
Sejak hadiah dianugerahkan buat pertama kalinya pada tahun 2009, pemenang-pemenangnya memberi impak secara langsung dan secara tidak langsung kepada kehidupan seramai lebih 307 juta orang di seluruh dunia dan berupaya memberi sumbangan besar ke arah mengurangkan emisi karbon dioksida kepada 1 bilion tan. Mereka juga dapat menjimatkan 1.2 bilion megawatt tenaga bersih, sekaligus meluaskan akses kepada tenaga untuk 27.5 juta orang di beberapa komuniti paling miskin di Afrika dan Asia.
Edisi ke-11 bagi majlis penyampaian anugerah tahunan Zayed Sustainability Prize dihadiri oleh ketua-ketua negara di global, menteri-menteri kerajaan UAE, pemegang-pemegang kepentingan, pemenang-pemenang terdahulu, para benefisiari dan finalis 2019.
Hubungan Media:
Merwat Hussein
+971-56-1754217
Merwat.Hussein@hkstrategies.com
Sumber: Zayed Sustainability Prize