ABU DHABI, UAE, 2 Februari 2019/PRNewswire/ --
Anugerah global rintis UAE hebahkan seruan global kepada organisasi-organisasi dan sekolah-sekolah menengah untuk menghantar penyelesaian dan projek kelestarian mereka
Penyertaan Zayed Sustainability Prize untuk edisi 2020 kini dibuka. Anugerah global rintis UAE dalam menyampaikan anugerah kepada inovasi, impak dan inspirasi dalam penyelesaian pembangunan lestari telah mengumumkan bahawa mulai 30 Januari hingga 30 Mei, ia akan menjemput organisasi-organisasi dan sekolah-sekolah untuk menghantar penyertaan mereka dalam salah satu daripada lima kategori: Kesihatan, Makanan, Tenaga, Air dan Sekolah Tinggi Global.
Meneruskan legasi bapa pengasas UAE, Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan dan sejak ditubuhkan pada tahun 2008, pemenang-pemenang Hadiah ini telah memberi impak positif secara langsung dan tidak langsung kepada lebih 318 juta orang di seluruh dunia. Dahulunya dikenali sebagai Zayed Future Energy Prize, satu fokus semula yang strategik, pada April 2018, menyaksikan Hadiah ini meluaskan skopnya daripada tumpuan awal terhadap tenaga, bagi menangani keutamaan kelestarian global.
Lima kategori Hadiah ini diwujudkan agar benar-benar selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan mengganjari organisasi-organisasi global yang memperkasa dan menambah baik komuniti-komuniti yang kurang bernasib baik, di samping turut menginspirasikan sekolah-sekolah untuk memupuk generasi pemimpin kelestarian seterusnya.
Meskipun skop bagi setiap penyerahan mungkin berbeza-beza, contoh-contoh penyelesaian dan projek sekolah yang berjaya termasuk: memudahkan akses kepada teknologi penjagaan kesihatan di kawasan luar bandar, meningkatkan keselamatan makanan dan menggalakkan pertanian lestari, memberi akses lebih luas kepada tenaga untuk komuniti tanpa kemudahan awam, menawarkan penyelesaian air minum bersih dan sanitasi yang berpatutan, serta menambah baik pendidikan, latihan dan advokasi.
Bercakap sebelum pelancaran, T.Y.T. Dr. Sultan Ahmed Al Jaber, Menteri Negara UAE dan Ketua Pengarah Zayed Sustainability Prize berkata: "Pengiktirafan luas Hadiah ini terhadap penyelesaian kelestarian merupakan satu pencapaian penting dalam evolusi Hadiah, sejajar dengan wawasan kepimpinan UAE untuk menyokong idea dan usaha yang bertujuan untuk membina masa depan yang mampan. Diinspirasikan oleh wawasan Sheikh Zayed terhadap kelestarian dan kemanusiaan global, Hadiah ini kini mengiktiraf lebih banyak inovasi, mendekati lebih banyak komuniti dan terus menekankan keutamaan impak manusia dalam segala-gala yang kami lakukan."
"Meneruskan rekod pencapaian 11 tahun Hadiah dalam memberi anugerah kepada inovasi luar biasa, kami berharap agar dapat terus menarik dan mengganjari pelopor-pelopor kelestarian paling utama dunia, di samping menggalakkan agenda yang menyokong pendekatan bersepadu untuk menyelesaikan cabaran-cabaran kelestarian global," tambah beliau.
Zayed Sustainability Prize melibatkan tiga peringkat proses penilaian, bermula dengan usaha wajar yang dijalankan oleh perunding penyelidikan dan analisis antarabangsa bereputasi tinggi. Susulan daripada peringkat ini, penyertaan yang tersenarai pendek menjalani penilaian oleh Jawatankuasa Pemilihan bagi menentukan finalis. Daripada senarai finalis ini, Juri memilih pemenang-pemenangnya, dalam kelima-lima kategori, termasuk sekolah-sekolah yang berjaya dari enam rantau dunia. Rantau-rantau tersebut ialah benua Amerika, Afrika Sub-Sahara, Timur Tengah & Afrika Utara, Eropah & Asia Tengah, Asia Selatan dan Asia Timur & Pasifik.
Kriteria penilaian untuk kategori-kategori Kesihatan, Makanan, Tenaga dan Air ialah:
Impak: Hasil yang ketara dan nyata terhadap kualiti hidup orang ramai.
Inovasi: Ciri-ciri tersendiri untuk mengubah "status quo" dan potensi untuk memangkinkan peluang-peluang yang akan memberi impak positif yang disruptif serta perubahan transformatif.
Inspirasi: Potensi meluaskan hasil projek, pada dekad seterusnya dan kebolehan untuk memberi inspirasi kepada orang lain.
Bagi kategori Sekolah Tinggi Global, projek-projek mereka perlu direka untuk memberi impak pendidikan yang positif termasuk menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti dan memastikan pelajar-pelajar diberi kemahiran penting serta kebolehan yang dipertingkat demi mencapai matlamat mereka. Sama seperti kategori-kategori lain, setiap projek secara idealnya harus menunjukkan pendekatan yang baharu dan inovatif serta memberi inspirasi kepada orang lain.
Pemenang-pemenang Zayed Sustainability Prize 2020 akan diumumkan dalam majlis penyampaian anugerah tahunan yang diadakan semasa Minggu Kelestarian Abu Dhabi pada bulan Januari tahun hadapan.
Untuk maklumat lanjut kunjungi http://www.ZayedSustainabilityPrize.com.
Hubungi: Andrew Chupeau, +971(0)2-653-6086, achupeau_c@masdar.ae