omniture

HUAWEI CLOUD Diperkenal di Singapura

Huawei Cloud
2019-02-21 20:31 784

Pelaburan strategik baharu perlihatkan peningkatan permintaan terhadap penyelesaian perkhidmatan awan di seluruh Asia Pasifik 

SINGAPURA, 21 Februari 2019 /PRNewswire/ -- HUAWEI CLOUD, perkhidmatan pengkomputeran awan Huawei, mengumumkan kawasan baharu di Singapura hari ini, meluaskan capaian platform awan susunan penuhnya dan keupayaan Kecerdasan Buatan (AI) di seluruh Asia Pasifik.

HUAWEI CLOUD merancang untuk membangunkan wilayah Singapura menjadi salah satu kawasan terbesar di luar China. Keupayaan AI HUAWEI CLOUD dijadual untuk dibina di wilayah Singapura. Keupayaan AI ini akan melaksanakan penyelesaian teknikal dan inovasi HUAWEI CLOUD, menyediakan perkhidmatan kepada syarikat-syarikat baharu dan industri-industri utama di Asia Pasifik serta menggalakkan pembangunan AI yang mampu milik, berkesan, andal dan inklusif.

Sebagai hab kewangan antarabangsa yang utama, Singapura ialah pusat perkhidmatan dan penghantaran penting di Asia dan ahli penting dalam Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). Ia juga merupakan hab strategik untuk perusahaan yang dibiayai oleh Cina yang berkembang ke luar negara dan untuk perusahaan luar negara yang menembusi Asia Pasifik.

"HUAWEI CLOUD berbangga untuk melabur secara strategik di wilayah Singapura, meluaskan kehadiran kami di seluruh Asia Pasifik dengan sokongan daripada rakan-rakan kongsi ekosistem ICT tempatan dan global. Kami berharap dapat menyediakan platform awan yang stabil, terjamin dan boleh diskala untuk perusahaan tempatan dan perusahaan yang dibiayai oleh Cina menerusi rancangan peluasan luar negara," kata Roben Wang, Presiden HUAWEI CLOUD rantau Asia Pasifik. "Perkhidmatan awan ini, yang menawarkan tahap kependaman yang rendah dan kecekapan kos yang tinggi, akan memanfaatkan cip, pelayan, storan dan peralatan rangkaian berprestasi tinggi yang dibangunkan oleh Huawei, selain rangkaian berkelajuan tinggi yang dibina oleh kami bersama syarikat-syarikat telekomunikasi di Asia Pasifik."

Susulan kelulusan di bawah proses pensijilan sekuriti data yang ketat oleh Singapura, Huawei akan menyediakan sokongan teknikal dan jaminan perkhidmatan sepanjang masa kepada pelanggan HUAWEI CLOUD dalam kerajaan, Internet dan industri kewangan, selain perusahaan tempatan bersaiz besar.

"Huawei sudah lama berada di rantau Asia Pasifik dan menjadi sebahagian daripada ekosistem tempatan," kata Jeffery Liu, Presiden HUAWEI rantau Pasifik Selatan. "Beberapa tahun kebelakangan ini, banyak kerajaan di rantau Asia Pasifik mengumumkan strategi-strategi transformasi digital mereka. Kami bersedia untuk membantu kerajaan tempatan dan perusahaan untuk melaksanakan strategi-strategi transformasi digital mereka melalui teknologi-teknologi baharu yang menarik seperti pengkomputeran awan dan AI. Di samping itu, HUAWEI CLOUD akan melancarkan latihan kemahiran dan rancangan perekrutan untuk rantau Asia Pasifik, justeru menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan program latihan profesional untuk bakat."

Selain tanah besar Cina, Eropah dan wilayah Amerika Latin, HUAWEI CLOUD turut mengumumkan kawasan-kawasan di Hong Kong, Rusia, Thailand dan Afrika Selatan pada tahun 2018. Menjelang akhir tahun 2018, 40 zon ketersediaan dibuka di 23 kawasan geografi, menyediakan perkhidmatan awan yang andal kepada pengguna.

Pada lewat April 2019, Huawei akan menganjurkan SIDANG KEMUNCAK HUAWEI CLOUD 2019 SINGAPURA, menerusi tema "Berkembang dengan Kecerdasan". Menerusi acara ini, Huawei akan membincangkan tentang perkembangan ekonomi digital bersama pihak kerajaan, pakar, pelanggan, rakan kongsi, universiti serta penganalisis pihak ketiga di rantau Asia Pasifik.

Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi https://activity-intl.huaweicloud.com/SingaporeCloud/index.html.

Source: Huawei Cloud
Keywords: Computer Networks Computer Software Computer/Electronics Telecommunications Corporate Expansion Future Events