omniture

Rakuten dan Sercomm Bersama-sama Umum Sel Kecil Maya Pertama Dunia

Dengan Memisahkan Unit Teragih dan Unit Kawalan sel kecil, Rakuten dan Sercomm tawar Penyelesaian Disruptif untuk Dayakan Rangkaian Mudah Alih Generasi Seterusnya
Sercomm Corporation
2019-02-28 06:03 669

BARCELONA, Sepanyol, 28 Februari 2019 /PRNewswire/ -- Rakuten, Inc. (TSE: 4755), peneraju global bagi perkhidmatan internet dan bakal menjadi pengendali rangkaian mudah alih terbaharu di Jepun, serta (TWSE: 5388), pengeluar dan pembekal utama peralatan telekomunikasi, hari ini mengumumkan sel kecil maya pertama di dunia. Dibangunkan bersama-sama oleh Rakuten dan Sercomm, sel kecil ini menawarkan pengalaman pengguna yang dipertingkat dengan memanfaatkan teknologi natif awan hujung-ke-hujung yang pertama di dunia. Menerima pakai seni bina rangkaian generasi seterusnya, sel kecil maya ini memenuhi keperluan industri telekomunikasi dengan memberikan ciri mudah dipasang, berprestasi tinggi, kefleksibelan yang boleh diperkembangkan dan pemindahan lancar ke rangkaian 5G. Rakuten dan Sercomm akan mempamerkan produk ini di Kongres Dunia Mudah Alih 2019 minggu ini.

Dengan memisahkan unit teragih (DU) dan unit kawalan (CU), sel kecil maya menawarkan penyelesaian disruptif untuk rangkaian mudah alih. Melalui keupayaan pengkomputeran CU berkuasanya, sel kecil maya dengan pemprosesan bersama dan keupayaan perkongsian radio koperatif, boleh dipasang secara dinamik sebagaimana diperlukan. Sel kecil maya ini mendayakan platform natif awan hujung-ke-hujung sebenar yang bukan sahaja meningkatkan dengan ketara keandalan, tetapi turut memudahkan rangkaian heterogen. Sel kecil maya ini menyokong 4G LTE dan boleh dinaik taraf kepada 5G dengan DU diperbaharui. Dengan menerima pakai RAN (Rangkaian Akses Radio) bersifat terbuka, maya dan terpisah, pengendali-pengendali telekomunikasi dapat menikmati penjimatan kos dan masa untuk dipasarkan yang pantas tanpa perlu bersusah payah bagi pemasangan stesen pangkalan tradisional.

Disepadukan dengan keupayaan Wi-Fi dwijalur 2.4G/5G, selain pemasangan baharu, sel-sel kecil maya ini boleh menggantikan dengan mudah AP Wi-Fi sedia ada di lapangan bagi mengurangkan kerja-kerja penempatan tanpa mengorbankan fungsi Wi-Fi. Sel kecil ini turut menyokong PoE (Kuasa-melalui-Eternet), menjadikannya ideal untuk pemasangan di siling atau dipasang di dinding di tapak kediaman, komersial dan perindustrian, seperti pangsapuri, kompleks kediaman, bangunan pejabat, pusat membeli belah dan juga kilang.

"Rakuten berjaya mencecah lebih 1.2 bilion pengguna seluruh dunia dengan perkhidmatan ditawarkan dalam segmen e-dagang, teknologi kewangan serta kandungan digital dan kini kami bersedia untuk memperkukuh komitmen kami terhadap pengguna demi kehidupan yang lebih baik dengan menyampaikan perkhidmatan rangkaian mudah alih yang baharu, dengan sokongan daripada rakan-rakan kongsi teknologi yang terkemuka dalam industri seperti Sercomm," kata Tareq Amin, Ketua Pegawai Teknologi, Rakuten Mobile Network. "Kami menyasarkan untuk merealisasikan wawasan kami untuk mewujudkan rangkaian mudah alih natif-awan hujung-ke-hujung yang bersifat maya sepenuhnya dan pertama di dunia. Sercomm ialah peneraju teknologi bagi produk-produk sel kecil, dengan keupayaan reka bentuk yang diiktiraf dan pengalaman penggunaan yang diperkaya serta kami bersama-sama komited untuk menawarkan perkhidmatan mudah alih yang andal, berkesan kos dan mudah untuk pelanggan kami."

"Di Sercomm, kami komited terhadap pembangunan penyelesaian yang inovatif bagi mendayakan rangkaian generasi seterusnya. Kami berusaha untuk menawarkan penyelesaian berkualiti tinggi kepada pengguna-pengguna telekomunikasi melalui pelaburan sumber-sumber penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang penting," kata James Wang, Ketua Pegawai Eksekutif Sercomm. "Kami berbesar hati kerana dapat berganding bahu dengan peneraju industri seperti Rakuten bagi merealisasikan rangkaian mudah alih generasi seterusnya. Kami akan bersama-sama memulakan era baharu untuk perkhidmatan telekomunikasi."

Rakuten dan Sercomm akan mendemonstrasikan sel kecil ini di Kongres Dunia Mudah Alih 2019 di Barcelona, Sepanyol mulai 25 hingga 28 Februari:

  • Reruai Rakuten: Dewan 4, Reruai 4A10
  • Reruai Sercomm di #2G3, Dewan 2

Latar Belakang Rakuten 
Rakuten, Inc. (TSE: 4755) ialah peneraju global bagi perkhidmatan internet yang memperkasa individu, komuniti, perniagaan dan juga masyarakat. Ditubuhkan di Tokyo pada tahun 1997 sebagai pasaran dalam talian, Rakuten telahpun berkembang untuk menawarkan perkhidmatan dalam segmen e-dagang, teknologi kewangan, kandungan digital dan komunikasi kepada lebih 1.2 bilion ahli di serata dunia. Rakuten Group mempunyai lebih 17,000 kakitangan dan beroperasi di 30 negara dan wilayah. Untuk maklumat lanjut kunjungi https://global.rakuten.com/corp/.

Latar Belakang Sercomm Corporation 
Sercomm Corporation (TWSE: 5388) ialah pengeluar utama dunia bagi peralatan telekomunikasi dan jalur lebar. Ditubuhkan pada tahun 1992, Sercomm memberi tumpuan terhadap usaha membangunkan penyelesaian terbenam, demi menjadikan perangkaian mudah dan mampu milik. Menerusi keupayaan kejuruteraannya yang bersepadu sepenuhnya dan kemudahan pengeluaran yang canggih, Sercomm menawarkan penyelesaian jalur lebar telekomunikasi yang komprehensif seperti sel kecil, get laluan kediaman/perusahaan dan produk IoT, dan kini merupakan peneraju global dalam industri. Beribu pejabat di Taipei, Taiwan, jaringan operasi global Sercomm merangkumi pasaran di Amerika Utara, Eropah dan rantau Asia Pasifik. Kumpulan pelanggannya melibatkan penyedia perkhidmatan, OEM perangkaian dan penyepadu sistem yang terkemuka di dunia. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.sercomm.com.

Source: Sercomm Corporation
Related Stocks:
Taiwan:5388
Related Links:
Keywords: Computer Networks Computer/Electronics Internet Technology Telecommunications Telecommunications Equipment Wireless Communications Contracts Joint ventures New products/services Trade show news Future Events