omniture

Pembidaan Penyiaran bakal Bermula untuk ATP Cup - Kejohanan Pelancaran Musim Baharu Tenis Lelaki

ATP and ATP Media
2019-03-01 10:52 576

LONDON, 1 Mac 2019 /PRNewswire/ --

ATP, badan pentadbir untuk tenis profesional lelaki dan ATP Media (cabang jualan, penerbitan penyiaran & pengedaran global ATP Tour) akan melancarkan proses tender untuk jualan hak-hak media antarabangsa kepada ATP Cup pada hari Isnin, 4 Mac 2019.

generated by system

Dilancarkan pada Januari 2020, ATP Cup akan menghimpunkan lebih 60 pemain terbaik dunia dari 24 negara untuk acara pasukan tahunan - dengan sehingga 750 mata kedudukan ATP dan hadiah wang bernilai USD$15 juta dipertaruhkan. Kejohanan ini diadakan secara strategik untuk memulakan musim tenis profesional lelaki dan diteruskan dengan lancar kepada Grand Slam pertama tahun ini – Terbuka Australia. Kejohanan sulung ini akan diadakan di Australia mulai hari Jumaat, 3 Januari hingga Ahad, 12 Januari 2020 merentas tiga bandar, iaitu Sydney, Brisbane dan sebuah lagi bandar yang bakal diumumkan – serta akan menampilkan 129 perlawanan sepanjang 10 hari.

Dibawakan dengan kerjasama Tennis Australia, ATP Cup menyaksikan negara-negara dibahagikan kepada enam kumpulan dengan empat anggota, dengan lapan pasukan muncul daripada peringkat pusingan-robin untuk bersaing dalam peringkat perlawanan kalah mati hinggalah hanya satu pasukan yang tinggal. Terdapat sehingga lima pemain dalam setiap pasukan, dengan permainan terdiri daripada dua perlawanan perseorangan dan satu perlawanan beregu.

Chris Kermode, Pengerusi Eksekutif & Presiden ATP, berkata: "ATP Cup menjadi bahagian penting dalam strategi inovatif kami untuk benar-benar mendorong kejayaan sukan kami dan menghubungkan peminat seluruh dunia. Penting untuk memulakan musim ini dengan jayanya, dan atas sebab inilah kami membawakan pemain-pemain terbaik dunia bersama-sama untuk acara pasukan baharu yang hebat ini – dijadualkan pada waktu optimum untuk pemain, peminat mahupun penyiar. ATP Cup memberi peluang hebat buat penyiar untuk membawakan keterujaan tenis bertaraf dunia kepada ratusan juta individu di seluruh dunia."

Permulaan acara baharu ini mendapat sokongan meluas daripada pemain-pemain ATP. Novak Djokovic, Pemain No.1 Dunia dan Presiden Majlis Pemain ATP, berkata: "Saya bersetuju ia menjadi milik ATP - oleh pemain-pemain - dan saya bersetuju kami mempunyai mata kedudukan. Ia merupakan cara terbaik untuk memulakan musim ini. Lebih sembilan puluh peratus masa dihabiskan dengan bermain sebagai individu dan kami tidak mempunyai begitu banyak acara berpasukan."

Roger Federer, juara 20-kali Grand Slam, menambah: "Saya berpendapat kadang kala pemain-pemain berasa sedikit kesunyian dalam perjalanan. Kami semestinya mempunyai pasukan-pasukan hebat, namun demikian peluang bermain dalam pasukan bersama-sama pemain-pemain lain adalah amat menyeronokkan dan saya rasa ia akan menjadi sangat berjaya."

John Isner, Pemain No.9 Dunia dan anggota Majlis Pemain ATP, berkata: "Anda bermain untuk negara anda, yang merupakan suatu penghormatan terhebat yang dapat dikecapi." Kei Nishikori, Pemain No.6 Dunia, menambah: "Saya rasa bagus dapat menghimpunkan semua pasukan dan negara bersama-sama dan setiap pemain berasa seronok dapat bermain untuk negara mereka."

Kandungan siaran antarabangsa untuk kejohanan akan diterbitkan sepenuhnya oleh ATP Media bersama-sama Tennis Australia sebagai Penyiar Hos - bukan sekadar menggabungkan Suapan Dunia terbitan sepenuhnya yang menampilkan aksi terbaik, tetapi juga kebolehan untuk penyiar menonjolkan aksi ini daripada setiap perlawanan melalui suapan gelanggang individu (mengandungi grafik dan ulasan berbahasa Inggeris), sidang akhbar, kandungan media sosial khas dan banyak lagi.

Oleh itu, pembida akan diberi kefleksibelan untuk membida pakej hak berkisarkan keperluan siaran tertentu mereka (termasuk bidaan wilayah tunggal atau berbilang wilayah, serta hak-hak merentas linear, digital, OTT dan VOD) - dengan tawaran yang berdasarkan kontrak sekitar tiga tahun minimum. ATP Media akan mengurus proses bidaan untuk hak-hak penyiaran antarabangsa.

Mark Webster, Ketua Pegawai Eksekutif ATP Media, berkata: "ATP Media sememangnya berbesar hati kerana berpeluang untuk memasuki pasaran dengan hak-hak antarabangsa untuk kejohanan baharu yang menarik. Menerusi kedudukannya dalam kalendar musim, ATP Cup akan membolehkan penyiar memulakan liputan musim ATP Tour mereka dengan cara yang belum pernah dilakukan sebelum ini dan buat julung kalinya melalui ATP Media, bagi membawakan acara berpasukan yang memberi dinamik berbeza kepada kejohanan-kejohanan lain. Berganding bahu dengan Tennis Australia sebagai Penyiar Hos, ATP Media komited untuk memastikan nilai-nilai penerbitan yang diterapkan dalam seluruh kejohanan yang diwakilinya dapat dilaksanakan untuk ATP Cup - membawa liputan siaran antarabangsa dengan kualiti utama dalam pasaran seperti kebiasaannya."

Craig Tiley, Ketua Pegawai Eksekutif Tennis Australia, berkata: "Kami amat teruja untuk melancarkan kalendar sukan dan hiburan global di Australia ini bersama ATP Cup pada Januari akan datang. Dengan adanya pemain-pemain lelaki terbaik dunia, kesemuanya mewakili negara-negara mereka dalam kejohanan serba baharu akan menjadi permulaan hebat kepada tahun kejohanan tenis."

Mana-mana pihak yang berminat untuk memohon hak-hak penyiaran antarabangsa perlu menghantar permohonan rasmi mereka sebelum 18 April 2019, dengan ATP Media dijangka membuat keputusan tentang bidaan yang diterima pada 29 April 2019.

Mana-mana pihak yang berminat untuk mengemukakan penyataan minat dijemput untuk menghubungi ATP Media melalui Gabrielle Guedj (Pengarah Jualan Hak Komersial) (Gabrielle.Guedj@atpmedia.tv) dan Tom Bullock (Penasihat Undang-undang Utama) (Tom.Bullock@atpmedia.tv) di bawah tajuk "ATP MEDIA ATP CUP BID" ("BIDAAN ATP MEDIA ATP CUP")

Latar Belakang ATP
ATP ialah badan pentadbir untuk pusingan tenis profesional lelaki - ATP World Tour, ATP Challenger Tour dan ATP Champions Tour. Dengan 64 perlawanan di 31 negara, ATP World Tour menampilkan atlet-atlet lelaki terbaik bersaing di tempat-tempat paling menarik di dunia. Dari Australia ke Eropah dan benua Amerika ke Asia, bintang-bintang ATP World Tour 2018 akan bertarung untuk meraih gelaran berprestij dan mata Kedudukan ATP menerusi acara-acara ATP World Tour Masters 1000, 500 dan 250, selain Grand Slam (bukan acara ATP). Pada penghujung musim, hanya 8 pemain perseorangan dan pasukan beregu berkelayakan yang terbaik di dunia akan layak untuk bersaing bagi merebut gelaran terakhir musim di Nitto ATP Finals. Diadakan di The O2, London, acara tersebut akan menobatkan secara rasminya No. 1 ATP World Tour 2018. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.ATPWorldTour.com.  

Latar Belakang ATP Media
Sebagai cabang penyiaran ATP Tour, ATP Media ditubuhkan pada tahun 2001 sebagai Tennis Properties Limited; menyediakan eksploitasi media terpusat untuk ATP Tour, mengehoskan penerbitan penyiaran untuk Nitto ATP Finals, Next Gen ATP Finals, ATP Masters 1000 dan penerbitan suapan dunia untuk ATP Cup, ATP 500 dan ATP 250 tertentu. ATP Media memiliki akses dan kepakaran tiada tandingan dalam penerbitan penyiaran khidmat-penuh untuk tenis profesional kategori lelaki dengan penyelesaian menyeluruh untuk penyiar-penyiar global yang melibatkan: jualan hak, penerbitan berbilang platform, rangkaian pengedaran gentian global dan arkib digital yang utama dalam pasaran. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi http://www.atpmedia.tv.

Latar Belakang Tennis Australia
Tennis Australia (TA) mempromosi dan memberi peluang-peluang penyertaan dan pembangunan tenis di seluruh negara. TA turut menganjurkan acara-acara peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa, termasuk Terbuka Australia, dengan kesemua dana dilabur semula ke dalam sukan tersebut, termasuk program-program akar umbi dan promosi-promosi, pembangunan pemain dan penaiktarafan kemudahan tenis.

Sumber: ATP dan ATP Media

Source: ATP and ATP Media
Keywords: Sports