omniture

CapBridge Jalin Kerjasama dengan Hana Financial Investment Luaskan Jejak di Korea Selatan

CapBridge Pte Ltd
2019-07-24 15:54 534

SINGAPURA, 24 Julai 2019 /PRNewswire/ -- Platform modal persendirian bertaraf global CapBridge Pte Ltd ("CapBridge") hari ini mengumumkan satu perkongsian perniagaan strategik dengan Hana Financial Investment Company Limited ("HFI"), anggota Hana Financial Group, salah sebuah syarikat pegangan bank yang terbesar di Korea Selatan.

Upacara Penandatanganan Hana dan CapBridge
Upacara Penandatanganan Hana dan CapBridge

Melalui perkongsian ini, HFI akan menawarkan syarikat-syarikat dan pelabur-pelabur di Korea Selatan dengan lebih banyak akses kepada pasaran persendirian melalui ekosistem modal persendirian inovatif daripada CapBridge.

Platform modal persendirian CapBridge menjalankan aktiviti-aktiviti pengumpulan modal utama manakala rakan sekutunya 1exchange ("1X") merupakan satu-satunya bursa persendirian berlesen dan dikawal selia di Singapura, yang memudahkan perdagangan ekuiti persendirian yang adil dan teratur.

Johnson Chen, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif CapBridge, berkata, "Kami berasa gembira kerana mendapat sokongan daripada Hana Financial Investment ketika kami terus meluaskan jejak kami di Asia. Kami berharap dapat menawarkan lebih nilai kepada pelanggan HFI, ketika kami berganding bahu bersama-sama untuk mencipta peluang pelaburan melalui CapBridge dan bursa sekuriti persendirian kami 1X untuk syarikat-syarikat dan pelabur-pelabur di Korea Selatan."

Lee Jin-kook, Ketua Pegawai Eksekutif HFI, berkata, "Hana Financial Investment melakukan usaha-usaha yang mantap bagi mencipta model pelaburan global untuk membolehkan pertukaran luar negara yang lebih aktif antara industri-industri tempatan dan modal usaha niaga tempatan. Kami akan menyokong secara aktif syarikat-syarikat tidak tersenarai tempatan untuk meningkatkan pertukaran dengan pelabur-pelabur luar negara, lalu menghasilkan lebih banyak pelaburan."

Perkongsian ini akan menjadikannya lebih mudah untuk syarikat-syarikat tidak tersenarai di Korea Selatan untuk menarik pelaburan dari luar negara. Melalui CapBridge dan 1X, pelabur-pelabur berkelayakan di Korea Selatan akan turut berupaya mengakses lebih banyak peluang pelaburan persendirian asing.

Baru-baru ini 1X menyaksikan penyenaraian syarikat swastanya yang pertama seumpamanya. Selepas melakukan kempen enam minggu yang singkat, yang menyaksikan ratusan pelabur yang sangat berminat melakukan tawaran, syarikat pengurusan dana butik berpangkalan di Singapura, Aggregate Asset Management ("AAM") disenaraikan pada 1X dengan nilai lebih SGD5.6 juta bagi ekuiti persendirian yang boleh didagangkan, mewakili kira-kira 5% daripada ekuiti saham syarikat.

Langkah oleh HFI memperlihatkan hasratnya untuk mencipta model platform pelaburan global. Syarikat perkhidmatan kewangan yang terkemuka ini aktif menghubungkan destinasi pelaburan dan pelabur bersama-sama bagi tujuan mencipta ekosistem perniagaan global, dipimpin oleh Hana Bank.

Perkongsian ini dimeterai susulan kolaborasi terkini oleh CapBridge dengan institusi-institusi kewangan terkemuka termasuk United Overseas Bank dan CIMB.

Untuk pertanyaan media tentang CapBridge dan 1X, sila hubungi media@capbridge.sg 

Latar Belakang CapBridge

CapBridge mengendalikan platform pensindiketan pelaburan global untuk peluang-peluang persendirian. Platform pensindiketan pelaburan bersama CapBridge menawarkan perkhidmatan kepada syarikat-syarikat dengan pertumbuhan tahap pertengahan hingga akhir dan dana yang menumpu padanya. Model pelaburan bersama kami dibina dengan mengutamakan pelabur. Kami terlebih dahulu membawa peluang kepada pelabur utama, yang memanfaatkan pengetahuan industri khusus mereka untuk menjalankan usaha wajar, merundingkan struktur pelaburan yang menambah nilai, dan mengurus kedudukan portfolio mereka ke arah strategi keluar yang dikehendaki.

Kami kemudiannya membuka peluang yang sama kepada pelabur bersama ketika mereka memanfaatkan kepakaran pelabur utama dalam bidang industri tertentu dan usaha tekunnya. Pelabur bersama mengikuti terma-terma yang sama sebagaimana pelabur utama dan memperoleh pulangan terlaras risiko yang lebih baik dan strategi keluar yang lebih menjadi pilihan. Syarikat-syarikat mendapat manfaat daripada jalinan kerjasama dengan pelabur utama yang memahami sektor mereka dengan baik dan dapat menambah nilai secara terus, serta meluaskan kumpulan pemegang saham dengan pelabur bersama yang dapat menambah keterkaitan rangkaian dan membantu ke arah penyenaraian yang lebih membuahkan hasil seterusnya menuju masa depan.

Proses pelaburan bersama dijalankan secara elektronik melalui platform pintar kami yang beroperasi tanpa henti untuk memadankan tawaran dengan pelabur serta memudahkan proses tawaran.

CapBridge mempunyai Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan dikawal selia oleh Lembaga Monetari Singapura. Singapore Exchange (SGX) ialah rakan kongsi strategik dan pemegang saham. Untuk maklumat lanjut tentang platform pelaburan bersama CapBridge, kunjungi www.capbridge.sg

Latar Belakang 1exchange

Entiti bersekutu CapBridge, 1exchange ("1X") ialah bursa sekuriti persendirian dikawal selia yang menyediakan pelabur-pelabur dengan platform dagangan unik untuk membeli dan menjual sekuriti persendirian dengan cara yang dikawal selia, terpusat dan telus. 1X mempunyai Lesen Pengendali Pasaran Diiktiraf dan dikawal selia oleh Lembaga Monetari Singapura, dengan SGX sebagai rakan kongsi strategik dan pemegang saham. Untuk maklumat lanjut tentang 1X, kunjungi www.1x.exchange.

Latar Belakang Hana Financial Services

Dahulunya dikenali sebagai Daehan Investment Trust (1977), Hana Financial Investment merupakan pakar dalam pasaran modal Korea, berkembang dan membangun kepada status semasanya sebagai anggota Hana Financial Group (HFG). Hana Financial Investment telah menerajui pasaran modal domestik sejak empat dekad lalu dengan menubuhkan dana pertama di Korea, menjadi jenama paling kukuh dalam industri sekuriti pelaburan selama enam tahun berturut-turut dan mewujudkan budaya perbankan pelaburan yang serba baharu. Ia menyasarkan untuk menjadi bank pelaburan global melalui pengurusan aset berbilang dimensi yang luas, sistem pengurusan risiko yang sistematik, khidmat pelanggan yang setia dan penggunaan model pengurusan aset termaju.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi www.hanaw.com

Foto - https://photos.prnasia.com/prnh/20190718/2528417-1?lang=0

Source: CapBridge Pte Ltd
Related Links:
Keywords: Banking/Financial Service Venture Capital