omniture

Perbelanjaan dalam talian Asia Tenggara dahului pertumbuhan pengguna digital dengan faktor 3: kajian Facebook dan Bain

Kajian baharu sorotkan 'penemuan' sebagai kunci utama pertumbuhan bagi perniagaan yang ingin berjaya dalam ekonomi digital yang pantas berkembang di dunia
Bain & Company
2019-10-22 10:56 169

SINGAPURA, 22 Oktober 2019 /PRNewswire/ -- Peningkatan pilihan, akses internet yang lebih baik, dan peningkatan golongan yang mampu akan terus memacu lebih banyak perbelanjaan dalam talian di Asia Tenggara, menurut Facebook dan Bain & Company yang menerbitkan satu susulan kepada kajian terhadap Kelas Pertengahan yang Meningkat Naik 2018 (2018 study on Emerging Middle Class) dalam rantau ini. Kajian baharu itu, bertajuk 'Riding the Digital Wave: Southeast Asia's Discovery Generation,' (Melayari Gelombang Digital: Generasi Penemuan Asia Tenggara) meninjau bagaimana tingkah laku pengguna digital hari ini membentuk semula perbelanjaan dalam talian di rantau ini.

Kajian ini meninjau 12,965 responden merentasi Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam, dan menemubual lebih 30 Ketua Pegawai Eksekutif dan pemodal usaha niaga di rantau ini.  Ia menunjukkan bahawa golongan pertengahan yang meningkat naik di Asia Tenggara akan merupakan 70-80% pertumbuhan pengguna digital menjelang 2025.

Menurut Bain, daripada 90 juta pengguna digital dalam tahun 2015, rantau ini meningkat 2.8 kali kepada 250 juta pengguna digital pada tahun 2018.  Menjelang 2025, bakal ada seramai 310 juta pengguna digital di Asia Tenggara.  Pada waktu itu, kajian ini menganggarkan, perbelanjaan dalam talian akan mendahului pertumbuhan pengguna digital dengan faktor 3, dengan pakaian dan penjagaan peribadi muncul sebagai dua kategori utama.

Penemuan adalah sangat penting kerana 67% responden berkata mereka tidak tahu apa yang ingin dibeli sebelum mereka membeli belah dalam talian, dengan lebih daripada 50% responden mengatakan mereka mengetahui tentang produk dan jenama baharu melalui platform sosial. Pembeli Asia Tenggara menunjukkan kecenderungan yang kuat untuk omnisaluran, dengan lebih 80% menyatakan mereka membandingkan harga di seluruh platform penemuan dalam talian dan di kedai sebelum mereka membuat keputusan pembelian.

Lebih 40% telah mencuba kedai dalam talian yang tidak pernah mereka ketahui pada tahun lalu. Tiga sebab utama untuk membuat pembelian dalam talian adalah ulasan positif daripada pengguna lain, tawaran yang baik atau promosi dan produk yang menarik.

"Terdapat pelbagai cara untuk membeli-belah dan tiada sesiapa membeli belah dengan cara yang sama dua kali. Rekabentuk untuk penemuan adalah sangat penting, memandangkan pelanggan terlibat dengan perniagaan melalui pelbagai saluran pada masa yang sama. Di Singapura sendiri, 75% daripada responden mengatakan bahawa mereka sama ada terbuka kepada jenama lain atau akan membeli dari pelbagai jenama semasa membeli-belah dalam talian. Ini bermakna semua saiz perniagaan, termasuk peniaga barangan khusus mempunyai peluang besar untuk bersaing pada skala yang lebih besar di Asia Tenggara," kata Sandhya Devanathan, Pengarah Urusan Negara, Facebook Singapore.

Selain penemuan, kajian ini menunjukkan potensi yang besar untuk membina kesetiaan dan pertumbuhan jenama kerana tiada pengusaha dominan dalam pasaran e-dagang. Pengguna pintar di Asia Tenggara melihat 3.8 platform secara purata sebelum membuat keputusan pembelian.

Oleh yang demikian, adalah penting untuk menciptakan program kesetiaan pelanggan bertujuan menberi ganjaran kepada pelanggan. Dalam kajian itu, responden dengan program kesetiaan menunjukkan bahawa mereka adalah 1.5x kali lebih mungkin menjadi promoter berbanding mereka tanpa program kesetiaan. Ahli kesetiaan adalah 45% lebih cenderung membuat cadangan merentasi kategori, 25% lebih cenderung mempunyai frekuensi pembelian yang lebih tinggi merentas kategori dan 20% lebih cenderung mempunyai perbelanjaan yang lebih tinggi merentasi kategori.

"Jenama-jenama perlu memahami dengan bijak dan membayangkan semula perbelanjaan pemasaran dan perdagangan mereka untuk selaras dengan perjalanan pengguna omnisaluran yang sentiasa berubah dan mereka juga perlu membina kekuatan baharu untuk memastikan pengalaman membeli-belah dalam talian positif buat pengguna digital mereka," kata Praneeth Yendamuri, Rakan Kongsi di Bain & Company.

Source: Bain & Company
Related Links:
Keywords: Computer/Electronics Electronic Commerce Household/Consumer/Cosmetics Multimedia/Online/Internet Retail