omniture

Airbnb dan IOC Mengumumkan Kolaborasi Olimpik Global Utama

Airbnb
2019-11-18 23:40 261

-- Airbnb menyertai program Usaha Sama Olimpik (TOP) dan akan menyokong objektif kelestarian Pergerakan Olimpik.

-- Peluang ekonomi untuk atlet Olimpik dan Paralimpik membangunkan aliran pendapatan melalui Pengalaman Olimpia Airbnb baharu

-- Beribu-ribu hos Airbnb baharu akan menyokong dan menyertai Pergerakan Olimpik dengan menyediakan penginapan dan pengalaman sehingga tahun 2028

LONDON, 18 November 2019 /PRNewswire/ -- Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Airbnb hari ini mengumumkan perjanjian penting untuk menyokong Pergerakan Olimpik hingga tahun 2028. Kerjasama lima Acara Sukan selama sembilan tahun ini dibentuk untuk mencipta satu standard baharu sebagai hos Airbnb yang memanfaatkan bandar tuan rumah, para penonton dan peminat, malah untuk para atlet juga.


Selaras dengan Agenda Olimpik 2020, pelan hala tuju strategik IOC untuk masa hadapan, dan misi Airbnb untuk mempromosikan perjalanan yang mampan, perjanjian ini akan menyokong objektif kelestarian Pergerakan Olimpik. Usaha bersama ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan PBB untuk menyediakan pilihan perjalanan yang memperkasa ekonomi, inklusif dari segi sosial dan mampan dari segi alam sekitar. Perjanjian ini termasuk peruntukan penginapan yang akan mengurangkan kos yang ditanggung oleh penganjur dan pihak berkepentingan Sukan Olimpik, meminimumkan keperluan pembinaan infrastruktur penginapan baharu sepanjang tempoh Sukan Olimpik, dan menjana pendapatan langsung untuk hos dan komuniti tempatan. Melalui kolaborasi dengan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Airbnb juga akan mempromosikan penginapan yang menyokong aksesibiliti untuk orang kurang upaya atau keperluan aksesibiliti lain.

Pengasas bersama Airbnb, Joe Gebbia berkata: "Airbnb dan IOC memiliki rekod pencapaian yang hebat dari segi penciptaan dan penyempurnaan acara terhebat dunia. Kolaborasi Olimpik kami akan memastikan Acara Sukan ini menjadi acara yang paling inklusif, mudah diakses dan lestari dekad ini, dan bakal meninggalkan legasi positif yang berkekalan kepada para atlet dan komuniti hos. Misi Airbnb adalah untuk mencipta sebuah dunia yang menerima semua orang di mana-mana saja, dan kami bangga bahawa semangat Olimpik akan dibawa oleh komuniti kami."

Presiden IOC, Thomas Bach berkata: "Kolaborasi inovatif ini menyokong strategi kami untuk memastikan bahawa pementasan Sukan Olimpik yang cekap adalah mampan dan meninggalkan warisan untuk komuniti hos. Dengan sokongan Airbnb, kami juga akan membangunkan peluang baharu untuk atlet di seluruh dunia untuk membangunkan aliran pendapatan langsung mereka melalui promosi aktiviti fizikal dan nilai Olimpik."

Mewujudkan Hos Airbnb Baru

Kolaborasi ini akan menjanakan beratus-ratus ribu hos baru selama sembilan tahun, yang akan memberi penduduk tempatan peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan dengan menyediakan penginapan dan pengalaman tempatan kepada peminat, atlet dan ahli Pergerakan Olimpik. Untuk para pengunjung, komuniti Airbnb akan menawarkan cara yang lebih bersifat setempat lagi asli untuk menikmati suasana di bandar-bandar yang didiami oleh para hos Airbnb dan berinteraksi dengan komuniti tempatan. Sementara di bandar-bandar itu pula, komuniti Airbnb mewakili cara yang lebih lestari dari segi alam sekitar untuk menyediakan penginapan bagi memenuhi kedatangan para pelawat yang tinggi pada masa ini.

Pengalaman Olimpia Airbnb

IOC dan Airbnb akan melancarkan Pengalaman Airbnb Olimpia untuk memberi para atlet peluang menjana pendapatan langsung, menonjolkan usaha IOC untuk menyokong atlet dan menjadikannya objektif utama Pergerakan Olimpik. Kategori baharu ini akan dilancarkan pada awal tahun 2020, dan mengetengahkan matlamat Airbnb menyediakan pemerkasaan ekonomi kepada atlet di seluruh dunia – menjangkau rangka masa dan lokasi geografi Sukan tersebut. Pengalaman ini akan mempromosikan pelbagai sukan dan aktiviti fizikal termasuk peluang untuk berlatih dengan seorang atlet Olimpik serta meneroka bandar bersama seorang atlet elit. Dalam bulan-bulan akan datang, Airbnb dan IOC akan menyediakan sokongan dan latihan kepada atlet yang berminat untuk menjadi hos di platform Pengalaman Airbnb melalui platform Athlete 365.

Di samping itu, sepanjang kolaborasi ini IOC akan menyediakan penginapan Airbnb yang bernilai sekurang-kurangnya USD28 juta kepada para atlet yang bersaing di Olimpik dan Sukan Paralimpik untuk persaingan dan perjalanan berkaitan latihan.

Kirsty Coventry, Pengerusi Suruhanjaya Atlet IOC, berkata: "Bagi pihak Suruhanjaya Atlet, saya gembira bahawa perjanjian global baru dengan Airbnb akan memberi manfaat kepada para atlet secara langsung. Ini termasuk peluang untuk menjana pendapatan langsung dengan berkongsi keminatan mereka dalam sukan melalui Pengalaman Olimpia Airbnb baru, serta sokongan langsung untuk keperluan penginapan mereka. Kami berusaha untuk memperkasakan atlet di seluruh dunia di dalam dan di luar padang permainan, dan perjanjian ini adalah satu lagi contoh bagaimana kami menyokong dan menganjurkan para atlet sepanjang kerjaya mereka. "

Sokongan untuk Atlet Pelarian

Airbnb juga akan menyokong IOC untuk terus menangani cabaran yang dihadapi oleh pelarian di seluruh dunia. IOC sudah sekian lama komited kepada pelarian, termasuk kerjasama dengan UNHCR sejak 1994, penciptaan Pasukan Olimpik Pelarian IOC untuk Sukan Olimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020, dan penciptaan Yayasan Pelarian Olimpik pada 2017. Airbnb telah menyokong inisiatif pelarian sejak 2015 melalui Program"Open Homes" , yang menghubungkan hos yang murah hati dengan mereka yang memerlukan penginapan sementara, termasuk pelarian. Setakat ini, lebih 35,000 orang telah mendapat tempat tinggal pada ketika keadaan mendesak. Sepanjang tempoh kolaborasi ini, IOC dan Airbnb akan bekerjasama untuk menubuhkan program baru untuk memberi sokongan janka panjang kepada pelarian.

Airbnb sebelum ini telah menyokong Sukan Olimpik Rio 2016 dan Sukan Musim Sejuk Olimpik PyeongChang 2018 sebagai penaja domestik, serta acara sukan utama yang lain. Kajian Forum Ekonomi Dunia mendapati bahawa kapasiti tambahan yang disediakan melalui platform Airbnb bersepadan dengan 257 hotel untuk tetamu semasa Sukan Olimpik Rio 2016, serta menyelamatkan bandar ini dari segi penggunaan bahan dan pelepasan karbon, sambil menyediakan sekitar USD30 juta pendapatan langsung untuk hos dan menjana anggaran jumlah aktiviti ekonomi USD100 juta dalam masa tiga minggu. Begitu juga, semasa Sukan Musim Sejuk Olimpik dan Paralimpik PyeongChang 2018, hos Airbnb meraih pendapatan kolektif USD2.3 juta daripada menyediakan penginapan kepada 15,000 tetamu yang mungkin perlu dipenuhi oleh 46 buah hotel. Baru-baru ini di Jepun, hos Airbnb di seluruh negara mengalu-alukan lebih 650,000 pengembara sepanjang tempoh Piala Dunia Ragbi, dan memperoleh lebih USD70 juta pendapatan sebagai hos Airbnb.

Airbnb menjadi Rakan Usaha Sama Olimpik Sedunia dalam kategori eksklusif "Produk Penginapan Unik dan Perkhidmatan Pengalaman Unik." Rakan Usaha Sama Olimpik Sedunia menyokong setiap Jawatankuasa Olimpik Nasional dan pasukan mereka, dan setiap Penganjur Sukan Olimpik, serta menyediakan sokongan untuk atlet dan pembangunan sukan di semua peringkat di seluruh dunia. Selain itu, Rakan Usaha Sama mempromosikan nilai-nilai Olimpik dan membantu mewujudkan pengalaman yang berkesan untuk peminat di seluruh dunia. 

Jiri Kejval, Pengerusi Suruhanjaya Pemasaran IOC, berkata: "Sejak Airbnb diasaskan pada tahun 2008, ia telah berkembang menjadi terkenal secara global. Kolaborasi ini menyokong operasi mampan masa depan Pergerakan Olimpik dan menunjukkan daya tarikan berterusan program komersial Olimpik kepada jenama terkemuka dunia."

Sebagai Rakan Usaha Sama Global, Airbnb akan menyokong Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Sukan Musim Sejuk Olimpik 2022 di Beijing, Sukan Olimpik 2024 di Paris, Sukan Musim Sejuk Olimpik Milano-Cortina 2026, dan Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Perjanjian ini juga merangkumi hak pemasaran untuk IPC dan Sukan Paralimpik melalui perjanjian kerjasama jangka panjang IOC-IPC, serta untuk Sukan Olimpik Belia.

Photo - https://mma.prnewswire.com/media/1030693/Airbnb_Worldwide_OlympicPartner.jpg

Source: Airbnb
Keywords: Hotels and Resorts Sporting Events Sports Travel Contracts Licensing/marketing agreements