omniture

Pesimisme Ketua Pegawai Eksekutif Terhadap Pertumbuhan Ekonomi Cecah Rekod Tinggi - PwC

PwC
2020-01-21 01:30 101

Di setiap wilayah seluruh dunia, Ketua-ketua Pegawai Eksekutif meramalkan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan

- Keyakinan terhadap pertumbuhan pendapatan syarikat-syarikat sendiri adalah paling rendah sejak 2009

- Pertumbuhan ekonomi yang tidak menentu, peraturan yang keterlaluan dan konflik perdagangan sebagai tiga ancaman teratas

DAVOS, Switzerland, 20 Januari 2020 /PRNewswire/ -- Tatkala kita melangkah ke dekad baharu, Ketua-ketua Pegawai Eksekutif menunjukkan tahap pesimisme yang mencatat rekod terhadap ekonomi global, dengan 53% meramalkan penurunan kadar pertumbuhan ekonomi pada tahun 2020. Kadar ini meningkat dari 29% pada tahun 2019 dan hanya 5% pada tahun 2018 - tahap pesimisme tertinggi sejak kami mula bertanyakan soalan ini pada tahun 2012. Sebaliknya, jumlah Ketua Pegawai Eksekutif yang mengunjukkan kenaikan kadar pertumbuhan ekonomi jatuh dari 42% pada tahun 2019 kepada hanya 22% pada tahun 2020. Ini hanyalah beberapa dapatan penting daripada tinjauan kali ke-23 PwC terhadap hampir 1,600 Ketua Pegawai Eksekutif dari 83 buah negara di seluruh dunia, dilancarkan hari ini di Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.

PwC_CEO_Infographic
PwC_CEO_Infographic

Pesimisme Ketua Pegawai Eksekutif terhadap pertumbuhan ekonomi global adalah ketara terutamanya di Amerika Utara, Eropah Barat dan Timur Tengah dengan 63%, 59% dan 57% Ketua Pegawai Eksekutif dari wilayah-wilayah berkenaan meramalkan pertumbuhan global yang lebih rendah pada tahun hadapan.

"Memandangkan terdapatnya ketidaktentuan yang berlarutan terhadap ketegangan perdagangan, isu-isu geopolitik dan kekurangan persetujuan dari segi bagaimana untuk menangani perubahan iklim, penurunan keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi bukanlah sesuatu yang mengejutkan – sekalipun skala perubahan mood adalah mengejutkan," kata Bob Moritz, Pengerusi PwC Network. "Cabaran-cabaran yang dihadapi oleh ekonomi global ini bukanlah sesuatu yang baharu – walau bagaimanapun, skalanya dan kepantasan peningkatan sebahagian daripadanya adalah baharu, isu utama untuk pemimpin-pemimpin yang berhimpun di Davos ialah: bagaimana untuk kita bersatu bagi menanganinya."

"Apa yang lebih baik adalah, meskipun terdapatnya kadar pesimisme mencatat rekod antara pemimpin-pemimpin perniagaan, masih terdapatnya peluang-peluang yang sebenar di luar sana. Dengan strategi yang tangkas, tumpuan yang jelas terhadap perubahan jangkaan pemegang kepentingan dan pengalaman yang telah dibina oleh banyak pihak sepanjang sepuluh tahun yang lalu dalam persekitaran yang mencabar, pemimpin-pemimpin perniagaan boleh mengharungi kemelesetan ekonomi dan terus berkembang maju."

Keyakinan Ketua Pegawai Eksekutif terhadap penurunan pertumbuhan pendapatan sendiri

Ketua-ketua Pegawai Eksekutif juga tidak begitu positif tentang prospek syarikat-syarikat mereka sendiri untuk tahun hadapan, dengan hanya 27% Ketua Pegawai Eksekutif mengatakan bahawa mereka "amat yakin" terhadap pertumbuhan organisasi mereka sendiri sepanjang 12 bulan akan datang – tahap terendah yang dilihat oleh kami sejak tahun 2009 dan menurun dari 35% tahun lalu.

Biarpun tahap keyakinan umumnya menurun di seluruh dunia, terdapat variasi yang luas antara negara, dengan China dan India menunjukkan tahap keyakinan tertinggi antara ekonomi-ekonomi utama, masing-masing mencecah 45% dan 40%, AS pada 36%, Kanada pada 27%, UK pada 26%, Jerman pada 20%, Perancis 18% dan Jepun yang mempunyai Ketua Pegawai Eksekutif dengan tahap optimis yang paling rendah dengan hanya 11% Ketua Pegawai Eksekutif amat yakin akan pendapatan yang semakin meningkat pada tahun 2020.

Apabila ditanyakan tentang prospek pertumbuhan pendapatan mereka sendiri, perubahan sentimen Ketua Pegawai Eksekutif terbukti menjadi peramal yang sangat baik terhadap pertumbuhan ekonomi global. Menganalisis ramalan Ketua Pegawai Eksekutif sejak tahun 2008, korelasi antara keyakinan Ketua Pegawai Eksekutif terhadap pertumbuhan pendapatan 12-bulan mereka dan pertumbuhan sebenar yang dicapai oleh ekonomi global adalah sangat hampir (lihat exhibit4 dalam nota). Sekiranya analisis tersebut terus berlaku, pertumbuhan global boleh bergerak perlahan kepada 2.4% pada tahun 2020 di bawah anggaran oleh banyak pihak termasuk ramalan pertumbuhan Oktober 3.4% daripada IMF.

China lihat melangkaui AS untuk pertumbuhan 

Secara keseluruhan, AS baru sahaja mengekalkan kedudukan pendahulunya sebagai pasaran utama yang dipandang oleh Ketua Pegawai Eksekutif untuk pertumbuhan sepanjang 12 bulan akan datang pada 30%, satu mata peratusan di hadapan China pada 29%. Walau bagaimanapun, konflik perdagangan dan ketegangan politik yang berterusan telah menjejaskan secara serius daya tarikan AS untuk Ketua Pegawai Eksekutif China. Pada tahun 2018, 59% Ketua Pegawai Eksekutif China memilih AS sebagai salah satu daripada tiga pasaran pertumbuhan utama mereka, pada tahun 2020, angka ini jatuh secara dramatik kepada hanya 11%. Kerugian AS menjadi keuntungan Australia, dengan 45% Ketua Pegawai Eksekutif China kini memandang Australia sebagai tiga pasaran pertumbuhan utama teratas dibandingkan dengan hanya 9% dua tahun yang lalu.

Negara-negara lain yang tersenarai sebagai lima teratas untuk pertumbuhan tidak berubah daripada tahun lalu – Jerman (13%), India (9%) dan UK (9%). Keputusan yang mantap untuk UK memandangkan berlakunya ketidaktentuan yang tercetus oleh Brexit. Australia berada hampir kepada senarai lima teratas ini yang dirangsang oleh peningkatan daya tarikannya untuk Ketua Pegawai Eksekutif China.

Kebimbangan tentang pertumbuhan ekonomi tidak menentu yang semakin meningkat

Pada tahun 2019, apabila ditanyakan tentang ancaman utama terhadap prospek pertumbuhan organisasi mereka, pertumbuhan ekonomi yang tidak menentu disenaraikan di luar senarai sepuluh kebimbangan utama untuk Ketua Pegawai Eksekutif iaitu di kedudukan kedua belas. Tahun ini, ia telah melangkau ke tempat ketiga, hanya di belakang konflik perdagangan – satu lagi risiko yang meningkat dalam agenda Ketua Pegawai Eksekutif – serta peraturan berlebihan yang tiada kesudahannya, yang sekali lagi tersenarai di kedudukan teratas sebagai ancaman nombor satu untuk Ketua Pegawai Eksekutif.

Ketua Pegawai Eksekutif juga semakin bimbang tentang ancaman siber dan perubahan iklim serta kemusnahan alam sekitar, namun begitu meskipun semakin banyak peristiwa cuaca melampau dan intensiti perdebatan mengenai isu berkenaan, magnitud ancaman-ancaman lain terus membayangi perubahan iklim yang masih tidak dapat disenaraikan dalam sepuluh ancaman utama Ketua Pegawai Eksekutif terhadap pertumbuhan.

Pengawasan ruang siber

Tatkala Ketua-ketua Pegawai Eksekutif seluruh dunia meluahkan kebimbangan yang jelas terhadap ancaman peraturan berlebihan, mereka turut meramalkan perubahan kawal selia yang signifikan dalam sektor teknologi. Secara global lebih dua pertiga daripada Ketua Pegawai Eksekutif percaya bahawa pihak kerajaan akan memperkenalkan undang-undang baharu untuk mengawal selia kandungan di internet mahupun media sosial serta untuk mengakhiri syarikat-syarikat teknologi.yang dominan. Majoriti Ketua Pegawai Eksekutif (51%) turut meramalkan bahawa kerajaan akan semakin mendesak sektor swasta untuk membayar ganti rugi dari segi kewangan kepada individu-individu untuk data peribadi yang dikumpul oleh mereka.

Namun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif tidak sependapat tentang kerajaan mencapai keseimbangan yang tepat dalam merangka peraturan privasi antara meningkatkan kepercayaan pengguna dan mengekalkan daya saing perniagaan, dengan 41% mengatakan bahawa ia dapat mencapai keseimbangan yang tepat manakala 43% mengatakan ia tidak dapat mencapai keseimbangan yang tepat.

Cabaran peningkatan kemahiran 

Meskipun kekurangan kemahiran utama kekal sebagai ancaman utama pertumbuhan buat Ketua-ketua Pegawai Eksekutif dan mereka bersetuju bahawa latihan semula/peningkatan kemahiran ialah cara terbaik untuk merapatkan jurang kemahiran, mereka tidak membuat banyak kemajuan bagi menangani masalah tersebut dengan hanya 18% Ketua Pegawai Eksekutif mengatakan bahawa mereka telah membuat "kemajuan penting" dalam mewujudkan program peningkatan kemahiran. Sentimen ini disuarakan oleh pekerja. Dalam satu tinjauan berasingan oleh PwC, 77% daripada 22,000 pekerja di seluruh dunia berkata mereka ingin belajar kemahiran baharu atau mendapat latihan semula namun hanya 33% berasa mereka telah diberi peluang untuk membina kemahiran digital di luar tugas biasa mereka.

"Peningkatan kemahiran akan menjadi salah satu isu utama yang dibincangkan minggu ini di Davos dan pemimpin perniagaan, pendidik, kerajaan dan masyarakat awam perlu bekerjasama untuk memastikan bahawa orang ramai di seluruh dunia kekal terlibat secara produktif dalam tugasan yang bermakna dan mendatangkan kepuasan. Pemimpin-pemimpin mempunyai peranan penting untuk dimainkan; walaupun kakitangan mempunyai kebimbangan terhadap akan masa depan, mereka ingin belajar serta membangun dan mereka mengharapkan pemimpin-pemimpin untuk menyediakan laluan yang dipercayai untuk kemajuan di masa depan," tambah Bob Moritz.

Perubahan iklim – cabaran atau peluang? 

Walaupun perubahan iklim tidak terdapat dalam senarai sepuluh ancaman utama terhadap prospek pertumbuhan Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Eksekutif meluahkan penghargaan yang semakin meningkat terhadap kelebihan mengambil tindakan untuk mengurangkan jejak karbon mereka. Berbanding sedekad yang lalu, ketika kali terakhir kami bertanyakan soalan ini, Ketua Pegawai Eksekutif kini dua kali lebih berkemungkinan untuk "sangat bersetuju" bahawa pelaburan dalam inisiatif perubahan iklim akan meningkatkan kelebihan reputasi (30% pada tahun 2020 dibandingkan dengan 16% pada tahun 2010) dan 25% Ketua Pegawai Eksekutif hari dibandingkan dengan 13% pada tahun 2010 melihat inisiatif perubahan iklim membawa kepada peluang-peluang produk serta perkhidmatan baharu untuk organisasi mereka.

Meskipun pandangan tentang perubahan iklim mendorong peluang-peluang produk dan perkhidmatan secara relatifnya kekal stabil di AS dan UK, terdapatnya peralihan dramatik dari segi pandangan di China sepanjang sepuluh tahun yang lalu. Pada tahun 2012, hanya 2% Ketua Pegawai Eksekutif China melihat perubahan iklim membawa kepada peluang-peluang manakala pada tahun 2020 angka ini telah meningkat kepada 47%, setakat ini merupakan peningkatan terbesar bagi Ketua Pegawai Eksekutif dalam mana-mana negara yang terlibat dalam tinjauan berkenaan. Walau bagaimanapun, untuk peluang-peluang ini bertukar menjadi kisah kejayaan jangka panjang, prinsip-prinsip perubahan iklim perlu disematkan dalam seluruh rantaian bekalan perniagaan dan juga pengalaman pelanggan.

Catatan:  

Muat turun laporan di ceosurvey.pwc. Rakaman video daripada pelancaran Tinjauan Ketua Pegawai Eksekutif Global di Davos dan bahan-bahan media lain disediakan di: press.pwc.com

PwC menjalankan 1,581 temubual dengan Ketua Pegawai Eksekutif di 83 buah negara antara bulan September dan Oktober 2019. Sampel kami diwajarkan mengikut KDNK negara bagi memastikan pandangan Ketua Pegawai Eksekutif diwakili dengan adil dalam kesemua wilayah utama. 7% daripada temubual tersebut dijalankan menerusi telefon, 88% secara dalam talian dan 5% melalui pos atau secara bersemuka. Semua temubual kuantitatif dijalankan secara sulit. 46% syarikat mempunyai pendapatan sebanyak $1 bilion atau lebih; 35% syarikat mempunyai pendapatan antara $100 juta dan $1 bilion; 15% syarikat mempunyai pendapatan hingga $100 juta; 55% syarikat dimiliki secara persendirian.

Latar Belakang PwC 

Di PwC, tujuan kami adalah untuk membina kepercayaan dalam masyarakat dan menyelesaikan masalah-masalah yang penting. Kami merupakan jaringan firma dalam 157 negara bersama lebih 276,000 orang yang komited untuk membawakan kualiti dalam khidmat jaminan, khidmat nasihat dan khidmat cukai. Ketahui lebih lanjut dan maklumkan kepada kami tentang perkara yang penting buat anda dengan mengunjungi kami di www.pwc.com.

PwC merujuk kepada rangkaian PwC dan/atau salah satu atau lebih daripada firma-firma anggotanya, setiap satu merupakan entiti undang-undang berasingan. Sila rujuk www.pwc.com/structure untuk butiran lanjut. 

Foto - https://mma.prnewswire.com/media/1078672/PwC_CEO_Infographic.jpg

 

Source: PwC
Keywords: Banking/Financial Service Publishing/Information Service Workforce Management/Human Resources Survey, Polls & Research