ABU DHABI, Emiriah Arab Bersatu, 16 Mac 2020 /PRNewswire/ -- Etihad Airways dan Tencent Holdings Limited (Tencent), penyedia yang terkemuka bagi perkhidmatan bernilai tambah Internet di China, menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) untuk satu kolaborasi yang akan mengenal pasti peluang-peluang berpotensi dalam menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan inovasi serta pendigitalisan untuk industri pelancongan. Melalui kolaborasi ini, Etihad Airways berhasrat untuk meningkatkan pengalaman tetamu, meluaskan pilihan pelanggan dan meningkatkan penglibatannya bersama pengunjung Cina.
Etihad Airways akan memanfaatkan keupayaan pengkomputeran awan Tencent dan platform media sosial seperti WeChat, platform media sosial yang terbesar di China yang mempunyai lebih satu bilion pengguna aktif bulanan, bagi menyokong dengan lebih baik strategi penglibatan pelanggannya di China serta kawasan-kawasan berpotensi lain di seluruh dunia melalui rangkaian dan rakan-rakan kongsi ekosistem Tencent.
Sebagai sebahagian daripada kolaborasi tersebut, Etihad Airways telah melancarkan Program Mini WeChat miliknya sendiri, menjadi salah sebuah syarikat penerbangan antarabangsa perintis yang menawarkan perkhidmatan ini pada platform WeChat. Program-program mini membolehkan jenama-jenama untuk berinteraksi dengan pengguna WeChat melalui ciri-ciri termaju dalam persekitaran WeChat tanpa memerlukan muat turun atau antara muka Aplikasi yang berasingan. Etihad Airways melancarkan akaun awam WeChat pada tahun 2016 manakala Program Mini dijangka untuk meningkatkan jangkauannya kepada audiens Cina.
Robin Kamark, Ketua Pegawai Komersial, Etihad Aviation Group, berkata, "Kolaborasi bersama Tencent membawa peluang yang besar untuk Etihad, membolehkan kami untuk berhubung dengan tetamu kami pada platform digital yang terbesar di China, berbual bersama mereka dalam bahasa mereka pada platform pilihan mereka. Hal ini sejajar dengan strategi kami untuk menyediakan pilihan dan penyesuaian kepada tetamu kami mengikut pilihan keutamaan mereka. Keupayaan teknologi mantap Tencent pastinya akan mendorong pacuan inovasi kami dan saya berasa amat teruja dengan kemungkinan yang terserlah ini."
"Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, dunia terus bergelut dengan wabak COVID-19 di China. Jalinan kerjasama dengan Tencent pada masa kini menunjukkan sokongan padu kami buat China, yang merupakan pasaran yang amat penting buat Etihad. Penerusan penerbangan harian kami antara Abu Dhabi dan Beijing pada waktu yang mencabar ini memperkukuhkan komitmen kami. Kami ingin menyatakan solidariti kami bersama penduduk dan kakitangan kami di China serta UAE, yang telah bersatu semasa detik-detik yang mencabar ini. Jiayou - bertabahlah," tambah En. Kamark.
Poshu Yeung, Naib Presiden, Tencent International Business Group berkata, "Kami berbesar hati untuk menandatangani MoU bagi tujuan kolaborasi antara Tencent dan Etihad Airways, dengan pelan tindakan kerjasama yang amat pragmatik yang merumuskan dengan pantas strategi-strategi inovatif, menyokong pembangunan pelancongan ke luar negeri China dan meningkatkan lagi kehadiran kami dalam pasaran Timur Tengah."
Hubungan Media
Tencent
Irene Fung
Ifung@currentglobal.com