omniture

Huawei Kekalkan Pertumbuhan Mantap dalam Pasaran Perusahaan pada 2019

Memperkasa Pendigitan Industri dengan Pembangunan Mantap dalam 5G, AI dan Awan
Huawei
2020-04-02 21:15 5983

SHENZHEN, China, 2 April 2020 /PRNewswire/ -- Huawei mengeluarkan Laporan Tahunan 2019 semalam, memperincikan prestasi perniagaan yang mantap. Pendapatan jualan global syarikat pada tahun 2019 dibundarkan pada CNY858.8 bilion, meningkat 19.1% berbanding tahun sebelumnya. Huawei mengekalkan pertumbuhan yang kukuh dalam pasaran perusahaan dan mencapai pendapatan jualan global sebanyak CNY89.7 bilion, meningkat 8.6% berbanding tahun sebelumnya. Perniagaan perusahaan Huawei telah menjadi salah satu pendorong utama pertumbuhan keseluruhan syarikat. Setakat tahun 2019, lebih 700 bandar dan 228 syarikat Fortune Global 500 telah memilih Huawei sebagai rakan kongsi transformasi digital mereka. Selain itu, perniagaan perusahaan Huawei mempunyai jaringan melibatkan lebih 28,000 rakan kongsi di seluruh dunia, yang menyumbang sehingga 86% daripada pendapatan global kumpulan perniagaan berkenaan. Melalui jaringan rakan kongsi global ini, Huawei telah mendayakan pembinaan ekosistem saling bergantung yang maju dan dapat mencipta nilai buat pelanggan dan juga seluruh industri.

Pada tahun 2019, Huawei menyaksikan pengembangan pesat dalam perniagaan perusahaan. Menerusi usahanya yang tanpa henti dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pelaburan dalam teknologi ICT baharu seperti 5G, AI dan awan, Huawei memanfaatkan sepenuhnya kelebihan kolaboratif teknologi baharu bagi mempercepatkan inovasi produk, pendigitan industri dan pembangunan pintar. Selain daripada itu, prinsip "Bersepadu" ("Being Integrated") telah diterima pakai dengan baik dalam perniagaan perusahaan, agar kejayaan dikongsi bersama rakan kongsi melalui dasar rakan kongsi yang adil, saksama, telus dan mudah.

Menginovasi produk dan penyelesaian untuk pasaran perusahaan dengan teknologi 5G, awan dan AI yang utama

Sepanjang tahun lalu, Huawei memanfaatkan sinergi berkisarkan awan, AI dan 5G bagi menyediakan perkhidmatan awan awam dan penyelesaian awan hibrid yang stabil, andal dan mampan. HUAWEI CLOUD telah melancarkan lebih 200 perkhidmatan awan dan 190 penyelesaian, manakala lebih 3 juta pengguna perusahaan dan pembangun kini menggunakan HUAWEI CLOUD untuk membangunkan produk dan penyelesaian.

Menggunakan Awan sebagai asas, Huawei melancarkan Huawei Horizon Digital Platform dengan mengintegrasikan teknologi ICT yang baharu termasuk IoT, AI, data raya, video, komunikasi tertumpu dan GIS bagi membina asas untuk dunia digital masa depan. Menurut firma penyelidikan pasaran bebas yang terkemuka Dell'Oro Group, Huawei menduduki kedudukan No. 1 dalam bahagian pasaran AP dalaman Wi-Fi 6 global, tidak termasuk Amerika Utara antara suku ketiga tahun 2018 dan 2019, melalui peruntukan perkhidmatan berkualitinya untuk pelanggan daripada pelbagai sektor seperti pendidikan, peruncitan, penjagaan kesihatan dan pembuatan.

Di samping itu, pada tahun 2019, Huawei melancarkan CloudEngine 16800, suis pusat data pertama dalam industri untuk era AI, yang telah digunakan secara komersial di lebih 150 pusat data perusahaan di seluruh dunia. Tiga OptiXs, iaitu OptiXtrans, OptiXaccess dan OptiXstar, telah diterima pakai oleh lebih 3,800 syarikat merentas 158 negara dan wilayah. Menurut laporan oleh Gartner yang dikeluarkan pada September 2019, produk storan Huawei mengambil zon Peneraju dalam Magic Quadrant. Huawei turut melancarkan dua penyelesaian utama untuk pasaran perusahaan iaitu HiCampus dan HiDC dengan bergantung pada teknologi canggihnya dalam 5G, penghantaran optik, perangkaian Protokol Internet (IP) dan teknologi AI serta melakukan inovasi kolaboratif dalam domain teknologi.

Bantu kerajaan dan perusahaan capai transformasi digital dan mempercepatkan pembangunan dalam sektor-sektor berbeza 

Huawei mempunyai pengalaman yang luas dalam membantu pihak kerajaan dan perusahaan beralih kepada digital. Dalam bidang-bidang seperti bandar pintar, kampus, pengangkutan, tenaga, pembuatan dan pendidikan, Huawei bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi global untuk memperkenalkan penyelesaian yang inovatif dan model perniagaan bagi mencipta nilai baharu.

Setakat tahun 2019, Huawei bekerjasama dengan lebih 4,200 penyedia perkhidmatan yang menawarkan perkhidmatan kepada lebih 50,000 pelanggan di seluruh dunia. Syarikat ini mengambil bahagian dalam projek-projek bandar pintar di lebih 200 bandar merentas lebih 40 negara dan wilayah, serta membantu lebih 1,000 institusi kewangan menerusi transformasi digital dari segi kewangan inklusif, inovasi perkhidmatan dipacu data dan perbankan terbuka. Huawei berkhidmat kepada lebih 170 landasan kereta api bandar di lebih 70 bandar seluruh dunia, berusaha untuk membina sistem pengangkutan yang bersepadu untuk bandar-bandar global. Memanfaatkan pengalaman yang diperoleh daripada transformasi digitalnya sendiri, Huawei berjaya membina kampus pintar untuk lebih 300 pelanggan. Melalui teknologi ICT yang inovatif, Huawei membantu pelbagai sektor termasuk pembuatan dan tenaga membentuk semula pembuatan dan rantaian nilai mereka di samping menggalakkan penaiktarafan sistem pintar mereka.

Memperkasa rakan kongsi perusahaan dan membina ekosistem menguntungkan 

Huawei telah menubuhkan 13 OpenLabs di seluruh dunia bagi memberi tumpuan pada pasaran perusahaan. Di OpenLabs ini, rakan kongsi mendapat sokongan untuk inovasi bersama melibatkan penyelesaian, pemasaran, pemupukan bakat, kewangan, rantaian bekalan dan sistem IT untuk terus meningkatkan keupayaan mereka dan mendorong transformasi demi kejayaan bersama. Komited untuk berkongsi pengalaman, teknologi dan standard pemupukan bakatnya, Huawei telah bekerjasama dengan sejumlah besar pihak berkuasa pendidikan, universiti dan pengusaha ekosistem yang lain dari seluruh dunia bagi membina ekosistem yang terbuka dan menguntungkan bagi memupuk bakat ICT serta mendorong pendigitan industri.

Pada masa depan, aplikasi bersepadu antara 5G, awan dan AI akan membawa dunia baharu yang mana semua benda mengesan, kekal terhubung dan bertindak dengan pintar. Huawei akan membangunkan produk yang inovatif berdasarkan teknologi ini dan menyediakan penyelesaian bagi memenuhi keperluan pelanggan. Penyelesaian ini akan menyokong industri-industri berbeza dengan kecerdasan dan membantu pelanggan beralih kepada digital demi pembangunan yang lebih berpotensi.

Semua penyata kewangan dalam Laporan Tahunan 2019 diaudit secara bebas oleh KPMG, sebuah firma perakauan Empat Terbesar (Big Four) antarabangsa. Untuk memuat turun Laporan Tahunan 2019, kunjungi www.huawei.com/en/press-events/annual-report/2019

 

Source: Huawei
Related Links:
Keywords: Computer Hardware Computer Networks Computer Software Computer/Electronics Internet Technology Telecommunications Telecommunications Equipment Earnings