omniture

Huawei dan UNESCO IITE & UNESCO-ICHEI Anjur Webinar untuk Pendidikan Tinggi Dalam Talian Amalkan Program Learn ON

Huawei
2020-04-13 18:43 5069

SHENZHEN, China, 13 April 2020 /PRNewswire/ -- Pada 11 April, Huawei mengadakan webinar secara langsung untuk pendidikan tinggi secara dalam talian bagi membantu memastikan pendidikan dalam talian yang berterusan semasa penangguhan sesi persekolahan dan universiti. Webinar ini, sebagai satu bahagian khas dalam Program Learn ON Huawei, bersama-sama dianjurkan oleh Huawei dan rakan-rakan kongsinya termasuk UNESCO IITE dan UNESCO-ICHEI. Pemimpin-pemimpin dan pakar-pakar daripada perusahaan global dan universiti diundang untuk berkongsi amalan dan cabaran mereka berhubung pendidikan dalam talian semasa berlakunya krisis COVID-19. Mereka turut membincangkan penyelesaian yang boleh dilaksanakan yang dapat menjamin kelangsungan pendidikan mahupun kualiti pendidikan dalam talian apabila sekolah-sekolah dan universiti-universiti ditutup.

Lebih daripada 1.5 bilion orang pelajar di seluruh dunia terjejas akibat penutupan institusi pendidikan ekoran wabak COVID-19. Bagi mengurangkan kesan segera, UNESCO melancarkan Gabungan Pendidikan Global yang mana organisasi antarabangsa, masyarakat awam dan perusahaan dilibatkan bagi memastikan agar "Pembelajaran Tidak Akan Berhenti". Sebagai salah satu daripada anggota Gabungan ini, Huawei berdedikasi untuk membawakan faedah-faedah teknologi kepada semua orang. Ia membangunkan TECH4ALL, satu inisiatif rangkuman digital jangka panjang untuk menggunakan teknologi demi kebaikan dan kebolehcapaian pendidikan berkualiti merupakan salah satu tumpuan penting TECH4ALL. Sebagai respons kepada undangan oleh UNESCO, Huawei melancarkan Program Learn ON bersama rakan-rakan kongsi global, menggunakan teknologi ICT yang inovatif untuk menjadikan pendidikan yang baik boleh diakses untuk pelbagai kumpulan dalam bidang-bidang berbeza semasa berlakunya krisis COVID-19.

Wu Lintuo, Pengarah Perkongsian Pendidikan, Jabatan Pembangunan Ekosistem Bakat Huawei, memperkenalkan penyelesaian menyeluruh untuk keperluan baharu Akademi Huawei global semasa berlakunya krisis COVID-19. Tindakan yang berikut akan diambil:

1. Sejumlah US$5 juta Dana Insentif Pembangunan Akademi ICT Huawei (ADIF) akan diberikan kepada kolej-kolej rakan kongsi untuk aktiviti-aktiviti seperti kursus dalam talian, latihan dalam talian, dan eksperimen dalam talian.
2. Lebih daripada 130 sumber MOOC akan dibuka, meliputi bidang-bidang teknikal termaju seperti Kecerdasan Buatan, data raya, 5G dan Internet Pelbagai Benda.
3. Lebih daripada 100 Train the Trainer (TTT) dalam talian akan disediakan mulai April hingga Disember manakala lebih 1500 orang guru dijangka akan dilatih.
4. Seramai 50,000 orang pelajar dijangka akan dilatih melalui pembelajaran sendiri, kursus dan kelas dalam talian.

"Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Huawei, anggota Gabungan Pendidikan Global COVID-19 UNESCO, untuk Webinar 'Pendidikan Tinggi Dalam Talian semasa COVID-19' dan projek-projek lain sebagai sebahagian daripada tindakan bersama," kata Zhan Tao, Pengarah UNESCO IITE. Beliau menyambung: "Sebagai bahagian penting daripada UNESCO, IITE bekerjasama erat dengan rakan-rakan kongsi dari seluruh dunia di bawah inisiatif 'Combat COVID-19: Keep Learning Together, We Are on the Move!' ('Perangi COVID-19: Terus Belajar Bersama-sama, Kita Sedang Berkembang Maju!') untuk perkongsian pengalaman dan sumber serta usaha bersama. Ayuh kita terus bekerjasama untuk menyokong berjuta-juta pelajar, guru dan ibu bapa yang memerlukan dengan semangat, inovasi dan kekuatan kolektif. Ayuh kita berganding bahu! Menuju Digital, Menuju Sejagat, Menuju Lebih Jauh!"

"Semasa berlakunya krisis ini, Huawei akan menyediakan dana, platform terbuka dan sumber pendidikan berkualiti tinggi yang percuma. Kami akan turut menjalankan pelbagai aktiviti termasuk pengajaran, peperiksaan, latihan, komunikasi dan pembangunan sumber. Dengan menyokong sepenuhnya operasi daripada Akademi ICT Huawei di seluruh dunia dan mempromosikan pembelajaran dalam talian, kami bermatlamat untuk meminimumkan gangguan pembelajaran buat pelajar-pelajar di rumah," kata Bradd Feng, Pengarah Jabatan Pembangunan Ekosistem Bakat Huawei.

Semasa sesi perkongsian, Ann Therese Ndong-Jatta, Pengarah Biro Pendidikan di Afrika, UNESCO; Xu Xiaofei, Timbalan Pengarah, Kumpulan Penasihat Pakar Pendidikan Dalam Talian MOE Untuk Platform Antarabangsa dan Pembangunan Kursus, Naib Presiden Harbin Institute of Technology (HIT); Liu Shubo, Timbalan Dekan Sekolah Sains Komputer, Wuhan University; Samuel Kinuthia dari Zetech University of Kenya; Weng Kai dari Sekolah Sains Komputer Zhejiang University; Zhao Jianhua, Pakar Kanan UNESCO-ICHEI serta pakar-pakar lain dari institusi-institusi pendidikan tinggi global memperkenalkan pengalaman mereka dalam membangunkan skim pendidikan dalam talian, menganjurkan pembelajaran dalam talian, memberi cadangan mengenai pengurusan kesihatan mental untuk pelajar dan guru serta menggunakan HUAWEI CLOUD WeLink menerusi pendidikan dalam talian semasa krisis COVID-19. Selain kaedah-kaedah pengajaran khas, pakar-pakar ini turut berkongsi cabaran yang dihadapi oleh mereka dan penyelesaian yang sepadan dengannya.

Svetlana Knyazeva, Pakar UNESCO IITE, mencadangkan agar universiti, perusahaan dan organisasi pendidikan seharusnya membuka sumber pembelajaran dan menghasilkan serta berkongsi MOOC demi membantu lebih banyak institusi pendidikan menerusi pendidikan dalam talian.

Gangguan pendidikan ekoran krisis ini mungkin akan meluaskan lagi jurang pendidikan antara kawasan dan negara serta memburukkan lagi jurang digital. Bagi menyelesaikan masalah ini, pendidikan dalam talian jarak jauh merupakan salah satu langkah yang penting dan berkesan. Platform komunikasi yang lancar, sumber pengajaran yang sesuai, serta perkhidmatan sokongan yang segera dan mudah kesemuanya akan berperanan sebagai kunci kepada pendidikan dalam talian berskala besar. Huawei bersedia unutk terus berkongsi pengalaman pendidikan dalam talian bersama universiti-universiti dan organisasi-organisasi pendidikan. Ia akan meningkatkan pelaburan, meningkatkan pembinaan sumber digital dan mempromosikan pendigitalan pendidikan bagi menjamin kebolehcapaian pendidikan yang berkualiti tinggi.

Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi https://www.huawei.com/minisite/tech4all/en/live-learning-never-stops.html?ic_medium=hwdc&ic_source=corp_sbanner_tech4all

Source: Huawei
Related Links:
Keywords: Computer Hardware Computer Networks Computer Software Computer/Electronics Education Higher Education Internet Technology Multimedia/Online/Internet Telecommunications Telecommunications Equipment Contracts Joint ventures New products/services