KUALA LUMPUR, Malaysia, 19 Mei, 2020 /PRNewswire/ -- Think City telah melancarkan tinjauan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam talian yang menampilkan kartun klasik oleh artis terkenal, Lat. Tinjauan dalam bahasa Melayu dan Inggeris ini bertanyakan kepada rakyat Malaysia perkara penting tentang bagaimana mereka menghadapi krisis COVID-19, dan kesan PKP terhadap kemampuan mereka untuk mendapatkan makanan, tekanan di dalam rumah, keluarga, pekerjaan dan kerohanian. Hasil tinjauan akan membantu organisasi kepentingan sosial memahami kesan wabak tersebut untuk mewujudkan penyelesaian yang dapat meredakan kesan kepada masyarakat Malaysia.
Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed, berkata bahawa tinjauan itu merupakan asas penting untuk membantu memahami bagaimana perintah penguncian dan sekatan pergerakan seterusnya memberi kesan atau boleh mempengaruhi kehidupan harian, tahap tekanan, kehidupan dan semangat rakyat Malaysia.
" Struktur tinjauan ini adalah berdasarkan hierarki keperluan dan bagaimana keperluan ini dipengaruhi oleh PKP. Kemungkinan akan ada sekatan pergerakan yang diperbaharui, adalah penting untuk mengetahui bagaimana rakyat Malaysia menghadapi situasi ini, apakah mereka memerlukan bantuan, dan jika demikian, apakah jenis bantuan yang diperlukan.
"Hasil tinjauan amat berguna bagi kami dalam membuat penyelesaian yang berpotensi membantu mengurangkan tekanan atau menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan", kata beliau.
"Kami akan membuat tinjauan terbuka selama satu minggu dan melaporkan hasil tinjauan seminggu selepas itu," tambah Hamdan.
Menurut Hamdan, tinjauan itu dibuat dengan pendekatan lucu dengan pertanyaan dan jawapan pelbagai pilihan, disertakan dengan bahasa harian rakyat Malaysia yang mudah difahami oleh sebilangan penduduk Malaysia. Tinjauan yang mengambil kurang dari 10 minit itu, diwarnai dengan kartun Lat klasik, yang dipilih oleh artis itu sendiri.
"Kami sedar rakyat Malaysia sudah lepu dengan melakukan tinjauan, jadi kami telah menggunakan pendekatan yang diharap dapat mendorong masyarakat untuk menyertai tinjauan ini dan mungkin akan memberikan senyuman kepada mereka yang menyelesaikannya.
"Kami berharap lebih banyak lagi rakyat Malaysia menyertai tinjauan ini agar kami dapat mengumpulkan data yang lebih bermakna dan berkesan," tambah Hamdan.
Dr Matt Benson, Pengarah Program Think City, yang merangka tinjauan ini berkata bahawa sambutan amat menggalakkan dengan hampir 3000 penyertaan dalam 48 jam pertama.
"Walaupun data ini masih belum mewakili kesemua rakyat Malaysia, kami telah peroleh beberapa hasil awal yang menarik," kata Benson.
Menurut Benson, penemuan awal menunjukkan bahawa krisis COVID-19 telah mempengaruhi rakyat Malaysia dengan cara yang berbeza dengan variasi yang ketara mengikut demografi. Sebahagiannya terjejas dengan hanya kadar minima. Mungkin mereka dilanda kebosanan semasa berada dalam perintah berkurung dan tidak dapat melakukan senaman di luar. Sementara itu ada juga yang mengalami tempoh yang sangat tertekan, kekurangan waktu tidur, masalah pembayaran bil, ditambah dengan kerja-kerja di rumah dan kegelisahan.
"Walaubagaimanapun, tidak semuanya buruk. Sebilangan rakyat Malaysia memanfaatkan PKP dengan menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga, mempelajari kemahiran baru, memperoleh tidur yang lebih baik dan lebih bermotivasi. Menariknya, ramai rakyat Malaysia berasa sifat kerohanian dalam diri mereka meningkat kerana mereka mempunyai masa untuk melakukan refleksi diri. " Benson berkata.
"Tidak hairanlah jika perkara yang paling dirindui rakyat Malaysia adalah makan di luar dan dapat melepak di pusat membeli-belah."
Tinjauan PKP Think City akan dibuka sehingga Sabtu 23 Mei 2020. Peserta berpeluang memenangi Buku Komik Lat.
Tinjauan boleh diakses menggunakan pautan berikut.
Pautan Bahsa Inggeris: https://www.surveymonkey.com/r/TCpostMCOsurvey
Pautan Bahasa Malaysia: https://www.surveymonkey.com/r/TCpostPKPsurvey
Tentang Think City
Think City adalah sebuah organisasi bermatlamat sosial dengan fokus untuk membina bandar-bandar yang lebih mesra untuk dihuni dan berdaya tahan dengan menjadi pemangkin dalam perubahan bagaimana bandar-bandar dirancang, dikurasi, dibangun dan diraikan. Sebagai agensi penciptaan bandar serantau, Think City memberi khidmat dalam pencetusan fikiran dasar bandar, pengurusan dan pelaksanaan penyelesaian bandar di dalam dan di luar Asia Tenggara. Ditubuhkan dalam tahun 2009 untuk menerajui penjanaan semula bandar George Town, impak dan kejayaan yang dibawakan oleh organisasi ini telah berkembang ke Butterworth, Kuala Lumpur, dan Johor Bahru. Dengan teras yang mengutamakan komuniti terlebih dahulu dan juga pendekatan berdasarkan bukti, Think City memberi fokus kepada empat amalan komuniti yang utama: Pewujudan Tempat (Placemaking), Daya Tahan, Analisis dan Pemuliharaan. Dengan kedudukannya sebagai pihak yang berkecuali, Think City telah membina kerjasama di antara sektor awam dan swasta, komuniti dan rakan kerjasama antarabangsa. Bersama, mereka telah melaksanakan pelbagai projek untuk mempertingkatkan taraf seni, warisan, budaya, alam sekitar, ekonomi dan daya tahan bandar-bandar di rantau Asean. Untuk maklumat lanjut, sila layari thinkcity.com.my.
Logo - https://photos.prnasia.com/prnh/20200519/2807632-1LOGO?lang=0