omniture

Universiti Kebangsaan Malaysia Meraikan 50 Tahun Kecemerlangan Pendidikan

Universiti Kebangsaan Malaysia
2020-05-20 08:32 218

BANGI, Malaysia, 20 Mei 2020 /PRNewswire/ -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), salah sebuah universiti yang tertua di Malaysia, yang bermula sebagai sebuah universiti rakyat yang mendaulatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi di peringkat dunia, menyambut ulang tahunnya yang ke-50 pada 18 Mei 2020.

Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia ke-47 Bangi, Malaysia
Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia ke-47 Bangi, Malaysia

Berkongsi beberapapencapaian penting universiti sejak tahun 1970, Naib Canselor UKM, Prof. Dato' Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor berkata: "Tiada sesiapapun yang menyangka bahawa sebuah institusi yang bermula dengan gagasan seorang individu untuk menubuhkan sebuah universiti bagi menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi, akhirnya tercapai dan kini universiti ini meraikan ulang tahunnya yang kelima puluh. Tiada sesiapapun yang pernah membayangkan bahawa gagasan oleh cendekiawan pengasas ini akan berkembang menjadi sebuah institusi bertaraf antarabangsa demi mencapai perubahan dalam pendidikan, ekonomi mahupun sosial. Hari ini, kita meraikan gagasan ini dan menilai kembali sejauh mana kita telah berjaya, untuk bersiap sedia menghadapi 50 tahun kecemerlangan yang seterusnya pada masa depan."

UKM ditubuhkan pada 18 Mei 1970 dan menawarkan pengajian kepada 192 orang mahasiswa perintis di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur, sebuah kampus sementara dengan tiga buah fakulti iaitu Fakulti Sains, Sastera dan Pengajian Islam.

Pada tahun 1975, UKM menubuhkan sebuah hospital pengajar, Hospital UKM, yang menjadi hospital pertama menjalankan pembedahan memisahkan kembar siam di Asia Tenggara pada tahun 1981. Pencapaian penting Hospital UKM yang lain adalah menghasilkan salah satu embrio beku terawal melalui IVF dan menyempurnakan implan koklea pertama pada kanak-kanak seawal umur sembilan tahun.

Menjelang tahun 2000 , reputasi antarabangsa UKM terus berkembang, menerusi kolaborasi bersama beberapa buah universiti terkemuka termasuk Oxford University untuk keselamatan siber dan maklumat perdagangan ASEAN; University of Cambridge untuk Program Malaysia-Window-to-Cambridge (MW2C@UKM) dan bekerjasama dengan Royal College of Surgeons of Edinburgh International (RCSEd) yang berusia 513 tahun, bagi pembukaan pejabat antarabangsa mereka yang pertama di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (dahulunya dikenali sebagai Hospital UKM). Pada tahun 2019, UKM meraikan kejayaan Dr. Abdul Rahman Mohmad daripada Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN) UKM sebagai penyelidik pertama dari Malaysia menerbitkan kertas kajian sebagai penulis utama dalam Nature Materials.

Hari ini, UKM adalah sebuah universiti kebangsaan yang komprehensif dan mempunyai lebih daripada 200,000 alumni yang lahir daripada 13 fakulti dan 12 institut penyelidikan. UKM ialah sebuah universiti pengajaran dan penyelidikan yang berstatus swa akreditasi di Malaysia, dipimpin oleh Naib Canselor ke-11, Prof Dato' Ir. Dr Mohd Hamdi Abd Shukor. Menurut QS World University Rankings 2020, UKM tersenarai di tempat ke-39 di Asia dan ke-160 universiti terbaik di dunia.

Di samping itu, QS World University Ranking menyenaraikan 12 subjek di UKM sebagai antara 200 teratas di dunia.Kejayaan ini merupakan suatu pencapaian yang luar biasa untuk sebuah universiti yang mempelopori pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Melayu.

Pada masa ini, UKM telah terlibat sama menjalankan penyelidikan dan ujian terhadap pandemik COVID-19 melalui kepakaran penyelidik di Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik (JPMD), Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI) yang dijadikan sebagai Makmal Ujian Diagnostik COVID-19.

Menuju ke masa depan, UKM akan terus menerapkan nila-nilai Keserakanan, Akauntabiliti, Merit, Inovatif dan Integriti bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi dunia yang terkemuka.

Foto - https://photos.prnasia.com/prnh/20200518/2806267-1?lang=0

Source: Universiti Kebangsaan Malaysia
Keywords: Education Higher Education