Inisiatif ini komited untuk memimpin melalui teladan, mencartakan laluan untuk diikuti oleh perniagaan-perniagaan lain
REDMOND, Washington, 22 Julai 2020 /PRNewswire/ -- Hari ini, ketua-ketua sembilan buah syarikat mengumumkan pewujudan inisiatif baharu bagi mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi global sifar bersih. Inisiatif ini, yang dikenali sebagai Transform to Net Zero (Transformasi ke arah Sifar Bersih), bertujuan untuk membangunkan dan menyampaikan penyelidikan, panduan dan hala tuju yang boleh dilaksanakan bagi membolehkan semua perniagaan untuk mencapai emisi sifar bersih.
Inisiatif ini akan dipimpin oleh ahli-ahli pengasas termasuk A.P. Moller - Maersk, Danone, Mercedes-Benz AG, Microsoft Corp., Natura &Co, NIKE, Inc., Starbucks, Unilever, dan Wipro, selain Environmental Defense Fund (EDF). Inisiatif ini disokong oleh BSR, yang bertindak sebagai Sekretariat untuk Inisiatif ini.
Transformasi ke arah Sifar Bersih akan memberi tumpuan untuk mendayakan transformasi perniagaan yang diperlukan bagi mencapai emisi sifar bersih selewat-lewatnya menjelang tahun 2050, di samping untuk mendorong perubahan yang lebih luas dengan tumpuan ke atas dasar, inovasi dan kewangan. Output daripada inisiatif ini akan disediakan secara meluas kepada semua, walaupun syarikat-syarikat tambahan mungkin akan turut serta. Inisiatif ini bertujuan untuk menyempurnakan output usaha ini menjelang tahun 2025.
Usaha ini akan dipimpin oleh prinsip-prinsip yang berikut:
Ulasan:
A.P. Moller - Maersk
Søren Skou, Ketua Pegawai Eksekutif A.P. Moller - Maersk, berkata: "A.P. Moller - Maersk komited terhadap masa depan pengangkutan dan logistik neutral-karbon. Bagi menyumbang kepada matlamat perjanjian Paris, kami mengumumkan cita-cita kami untuk emisi CO2 bersih-sifar menjelang tahun 2050 sejak tahun 2018. Sejak itu, kami telah mengambil beberapa langkah konkrit untuk menyahkarbon industri. Sasaran keseluruhan untuk mengekalkan pemanasan global di bawah 1.5 darjah hanya dapat dicapai melalui pakatan yang kuat merentas sektor dan perniagaan. Justeru itu, kami berasa gembira dapat menyertai Microsoft dan syarikat-syarikat global yang lain dalam inisiatif Transformasi ke arah Sifar Bersih."
BSR
Aron Cramer, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BSR, berkata: "Sepanjang dekad yang lalu, banyak perniagaan telah komited terhadap sasaran sifar bersih. Inilah masanya untuk mempercepatkan tindakan yang diperlukan bagi mencapai matlamat yang penting ini. Ambang kami untuk kekal berada di bawah 1.5 darjah pemanasan semakin hampir dan pantas. Kini kita berada dalam dekad penentu, yang mana kita perlu menyahkarbon ekonomi dengan segera, sekiranya kita ingin mencegah kesan yang paling buruk akibat daripada perubahan iklim. Atas sebab inilah Transformasi ke arah Sifar Bersih adalah sangat penting. Lebih daripada sekadar menetapkan paras yang tinggi untuk memperoleh inspirasi, Transformasi ke arah Sifar Bersih akan menyediakan syarikat-syarikat dengan hala tuju yang boleh diambil tindakan bagi membolehkannya mentransformasikan perniagaan mereka untuk berkembang maju dan membentuk ekonomi sifar bersih."
Danone
Emmanuel Faber, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Danone, berkata: "Rangka tindakan Satu Planet Kita. Satu Kesihatan (Our One Planet. One Health) menjadikan iklim sebagai keutamaan dalam transformasi sistem makanan. Justeru itu, keneutralan karbon bukanlah satu pilihan untuk Danone, ia merupakan satu cara untuk mencipta semula model pertumbuhan kami. Revolusi ini tidak dapat dicapai secara bersendirian. Atas sebab inilah kami benar-benar percaya dengan kuasa kolektif Transformasi ke arah Sifar Bersih. Ayuh kita kongsikan amalan terbaik dan membina sistem baharu bagi mencipta penyelesaian berasaskan bukti yang akan membantu kita mendorong perubahan dan mengekalkan pemanasan global di bawah paras 1.5°C."
Environmental Defense Fund
Fred Krupp, Presiden Environmental Defense Fund, berkata: "Jurang antara di mana kita berada dalam situasi perubahan iklim dan di mana kita perlu berada terus melebar. Begitu juga dengan jurang antara perniagaan yang hanya menyebut mengenai tindakan dan perniagaan benar-benar melaksanakan tugasnya. Inisiatif baharu ini mempunyai potensi yang besar untuk merapatkan jurang ini. Terutamanya sekiranya perniagaan-perniagaan lain mengikuti jejak langkah gabungan ini, memimpin melalui teladan dan menggunakan alatan yang paling hebat yang dimiliki oleh syarikat-syarikat untuk memerangi perubahan iklim: pengaruh politik mereka."
Mercedes-Benz AG
Ola Källenius, Pengerusi Lembaga Pengurusan Daimler AG dan Mercedes-Benz AG, berkata: "Sekiranya terdapat satu pengajaran yang dapat kami pelajari apabila menangani pandemik COVID-19 adalah berapa banyak yang dapat kita capai sekiranya kita bertindak bersama-sama. Inilah satu-satunya cara untuk kita turut menang daripada perjuangan memerangi perubahan iklim. Kita perlu menetapkan matlamat bersama dan melaksanakan langkah-langkah untuk mencapai matlamat berkenaan. Atas sebab inilah kami menyertai 'Transformasi ke arah Sifar Bersih'. Misi kami di Mercedes-Benz ialah mobiliti neutral-CO2. Kami sedang melakukan kemajuan yang baik ke arah mencapai tujuan ini dan kami bertekad untuk meneruskan langkah ini."
Microsoft
Brad Smith, Presiden, Microsoft, berkata: "Tiada sebuah syarikat yang dapat menangani krisis iklim secara bersendirian. Atas sebab inilah syarikat-syarikat terkemuka membangunkan dan berkongsi amalan, penyelidikan dan pembelajaran terbaik bagi membantu semua orang untuk melangkah ke hadapan. Sama ada sesebuah syarikat baru sahaja bermula atau berjalan lancar di laluannya, Transformasi ke arah Sifar Bersih dapat membantu kita semua untuk menukarkan komitmen karbon menjadi kemajuan sebenar ke arah masa depan sifar bersih."
Natura &Co.
Roberto Marques, Pengerusi Eksekutif Lembaga dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Natura &Co., berkata: "Di Natura &Co kami benar-benar percaya dengan kerjasama. Baru-baru ini kami mengeluarkan '2030 Commitment to Life' kami yang mana kami menetapkan sasaran untuk semua perniagaan kami bagi menjadi sifar karbon bersih dalam tempoh sepuluh tahun. Namun begitu, untuk menangani krisis iklim yang dihadapi oleh dunia, kita perlu membantu satu sama lain untuk melakukan lebih lagi dan lebih pantas. Inisiatif Sifar Bersih berusaha untuk melakukan sedemikian, menghimpunkan syarikat-syarikat yang komited untuk melakukan perubahan yang tepat pada kadar yang tepat. Kami komited untuk membina masa depan yang lebih cerah yang akan membolehkan bukan sahaja dunia yang lebih mesra alam untuk generasi-generasi akan datang, tetapi pemulihan ekonomi di bawah premis baharu yang dituntut oleh masyarakat."
NIKE, Inc.
Andy Campion, Ketua Pegawai Operasi, NIKE, Inc., berkata: "Apabila melibatkan usaha melindungi lapangan permainan yang kita kongsikan bersama—planet kita—tindakan segera diperlukan. Atas sebab inilah kami tidak menunggu penyelesaian untuk perubahan iklim, kami bersatu sebagai pemimpin global untuk menciptanya. Sekiranya kita bertindak sekarang, kita dapat mendorong kemajuan yang bermakna ke arah masa depan yang lebih lestari. Kami akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan planet yang sihat untuk generasi-generasi atlet yang akan datang."
Starbucks
Kevin Johnson, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks berkata: "Starbucks beraspirasi untuk menjadi syarikat positif-sumber dengan membina sejarah kami yang panjang dalam kelestarian. Menyertai Transformasi ke arah Sifar Bersih sejajar dengan aspirasi kami terhadap masa depan yang lebih lestari. Menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat lain yang sealiran, kami akan membuka sumber amalan terbaik, menyokong dasar kerajaan yang positif dan menyokong peralihan yang adil. Kami percaya dalam memacu perubahan sebenar dan menggalakkan organisasi-organisasi lain untuk menyertai kami dalam usaha kritikal ini demi umat manusia."
Unilever
Alan Jope, Ketua Pegawai Eksekutif Unilever, berkata: "Krisis iklim bukan sahaja merupakan ancaman kepada alam sekitar kita, tetapi juga kepada kehidupan dan mata pencarian, maka sangat penting untuk kita semua memainkan peranan bagi menanganinya. Dunia perniagaan pada masa depan tidak boleh kelihatan seperti sekarang; selain daripada penyahkarbonan, transformasi sistem penuh diperlukan. Atas sebab inilah kami berasa gembira untuk menyertai perniagaan-perniagaan terkemuka yang lain sebagai ahli pengasas Transformasi ke arah Sifar Bersih agar kita dapat bekerja bersama-sama dan mempercepatkan peralihan strategik yang diperlukan untuk mencapai emisi sifar bersih; dalam kes Unilever, menjelang tahun 2039."
Wipro
Thierry Delaporte, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan, Wipro Limited, berkata: "Kami berasa gembira untuk menjadi ahli pengasas bagi Transformasi ke arah Sifar Bersih. Ia sangat selaras dengan nilai kami serta komitmen kami terhadap kelestarian. Perubahan iklim merupakan cabaran penentu pada zaman kita dan kami benar-benar percaya bahawa perniagaan perlu bertindak dan menangani cabaran secara langsung. Forum perkongsian seperti ini dapat membantu memangkinkan dan mempercepatkan tindak balas sedemikian dan membimbing penglibatan masa depan kami merentas rantaian nilai melalui semangat kolaboratif bagi penyelesaian transformasi yang inovatif."