omniture

China beri penghormatan pejuang pandemik, berjanji untuk terus perangi COVID-19 seluruh dunia

CGTN
2020-09-10 17:10 343

BEIJING, 10 September 2020 PRNewswire/ -- Satu laporan berita oleh CGTN:

 

China mengadakan satu mesyuarat pada Selasa lalu bagi memberi penghormatan kepada suri teladan dalam perjuangan negara memerangi wabak COVID-19 – krisis kecemasan kesihatan awam yang paling pantas tersebar, paling meluas dan paling mencabar yang pernah dihadapi sejak penubuhan Republik Rakyat China pada tahun 1949.

Pakar penyakit pernafasan yang ternama Zhong Nanshan dianugerahkan Pingat Republik, anugerah penghormatan negara yang tertinggi. Zhong mengenal pasti virus SARS pada tahun 2003 dan kini mengetuai usaha kerajaan Cina dalam perjuangan memerangi COVID-19.

Tiga pakar perubatan lain diberikan gelaran kehormat negara, "Wira Rakyat". Penerima-penerimanya ialah Zhang Boli, pakar perubatan tradisional Cina yang mengetuai penyelidikan skim rawatan COVID-19 yang menggabungkan perubatan tradisional Cina dan perubatan Barat, Zhang Dingyu, ketua Hospital Jinyintan yang merawat coronavirus yang dilantik oleh Wuhan dan Chen Wei, saintis perubatan ketenteraan yang melakar pencapaian besar dalam penyelidikan dan pembangunan asas yang berkaitan COVID-19 bagi vaksin dan ubat pelindung.

"Petugas perubatan merupakan malaikat yang paling cantik dan individu yang paling disayangi dalam era baharu ini," kata Presiden Cina Xi Jinping dalam satu ucapan selepas menyampaikan pingat. "Nama dan pencapaian mereka tidak akan dilupakan oleh negara, rakyat dan sejarah serta akan diukir pada monumen republik."

Berjuta-juta petugas perubatan berjuang di barisan hadapan untuk memerangi COVID-19 di seluruh negara termasuk 540,000 di Wilayah Hubei bahagian tengah China dan ibu kotanya, Wuhan, wilayah yang paling teruk dilanda wabak berkenaan, kata Xi, yang juga merupakan setiausaha agung bagi Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China dan pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat.

Usaha bersama tangani cabaran global 

Xi berikrar bahawa China akan berganding bahu dengan komuniti antarabangsa bagi menangani cabaran global pandemik ini.

Menyatakan bahawa wabak novel coronavirus merupakan pandemik paling teruk yang pernah disaksikan oleh dunia dalam satu abad, beliau menekankan sumbangan China dalam perjuangan global ini.

China telah bertindak dengan sifat "keterbukaan, ketelusan dan bertanggungjawab" serta memenuhi kewajipan antarabangsanya sejak bermulanya wabak berkenaan, tegas beliau.

Ia "memberi maklumat secara sukarela mengenai wabak ini kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara-negara berkaitan serta organisasi-organisasi serantau dengan cara yang paling tepat pada masanya dan mengeluarkan jujukan genom novel coronavirus tersebut pada waktu yang secepat mungkin," kata beliau.

China telah menjalankan lebih daripada 70 pertukaran dengan pelbagai negara dan organisasi antarabangsa serta serantau mengenai kawalan wabak untuk berkongsi pengalamannya, ujar Xi.

China telah mengumumkan keputusan untuk menyediakan dua kumpulan sokongan wang tunai berjumlah 50 juta dolar A.S. kepada WHO; ia telah menghantar 34 pasukan pakar perubatan ke 32 negara dan menawarkan bantuan kepada 150 negara dan empat organisasi antarabangsa; bermula dari 15 Mac hingga 6 September, negara mengeksport 151.5 bilion pelitup muka, 1.4 bilion pakaian perlindungan, 230 juta pasang gogal, 209,000 ventilator, 470 juta kit ujian dan 80.14 juta thermometer inframerah, menurut Xi.

Pandemik ini telah menunjukkan bahawa umat manusia merupakan satu komuniti yang berkongsi susah dan senang, kata beliau, menyeru solidariti dan kerjasama dari seluruh dunia bagi menangani krisis ini.

China akan terus menggalakkan kerjasama antarabangsa berhubung kawalan wabak, menyokong WHO dalam memainkan peranan utama perjuangan ini dan menyumbang kepada pembinaan komuniti kesihatan bersama untuk umat manusia, kata beliau.

China teguh menempuh masa depan lebih baik 

Presiden mengulas langkah-langkah yang telah diambil oleh China bagi memerangi virus ini dan menyeru perpaduan dan kesungguhan dari seluruh negara bagi menangani cabaran dan mencapai matlamat pembangunan.

Sepanjang lebih tujuh bulan yang lalu, lebih daripada 80,000 rakyat China dijangkiti oleh virus ini dan kira-kira 4,700 orang maut. Bilangan tersebut boleh menjadi jauh lebih besar tanpa langkah-langkah tegas yang dilaksanakan pada pelbagai peringkat dan pengorbanan yang dibuat oleh petugas kesihatan, petugas komuniti serta rakyat yang telah mengikuti arahan sekatan kawalan wabak yang ketat.

"Hanya dalam tempoh lebih daripada sebulan, penyebaran virus yang semakin meningkat itu dapat dibendung; kira-kira dalam dua bulan, peningkatan harian kes-kes coronavirus domestik turun menjadi satu angka; dan kira-kira dalam tiga bulan, satu kemenangan muktamad telah diraih dalam perjuangan mempertahankan Wilayah Hubei dan ibu kotanya, Wuhan," ujar Xi.

Dengan wabak yang semakin mereda, China mengumumkan beberapa dasar untuk membantu perusahaan, mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan pelaburan dan penggunaan serta memajukan pembasmian kemiskinan, kata beliau.

Ekonomi kedua terbesar di dunia ini berkembang sebanyak 3.2 peratus dalam suku kedua berbanding setahun yang lalu, mengalami pembalikan penurunan 6.8 peratus dalam suku pertama.

"China telah menjadi ekonomi besar pertama yang kembali mengalami pertumbuhan sejak bermulanya pandemik ini," kata Xi.

Menuju ke hadapan, Xi berkata China perlu terus melaksanakan langkah-langkah kawalan wabak yang tetap dan berusaha untuk mencapai kemenangan penuh dalam perjuangan memerangi COVID-19.

Beliau menegaskan mengenai pengukuhan jaminan institusi bagi melindungi kehidupan dan kesihatan rakyat, menyeru pembangunan sistem kesihatan awam yang kukuh dan menaik taraf sistem pencegahan, kawalan dan rawatan wabak utama.

Beliau turut menyeru usaha yang dipergiatkan bagi menjamin pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kehidupan rakyat, menekankan bahawa matlamat dan tugas pembangunan negara harus dicapai.

China menyasarkan untuk membasmi kemiskinan mutlak dan menyempurnakan pembinaan masyarakat yang sederhana makmur dalam segenap aspek menjelang tahun 2020.

Sementara itu, Xi menekankan kepentingan untuk meningkatkan kesedaran mengenai risiko dan berpegang pada pemikiran yang paling asas serta menyeru usaha untuk meningkatkan keupayaan bagi mencegah dan mengurangkan pelbagai jenis risiko sepanjang laluan pembangunan China.

Beliau melahirkan rasa yakin terhadap masa depan China dalam era baharu. "Tiada sesiapa dan tiada kuasa yang dapat menghalang rakyat Cina daripada mencapai kehidupan yang lebih baik!" kata Xi.

Artikel asal: https://news.cgtn.com/news/2020-09-08/China-honors-pandemic-fighters-vows-to-carry-on-fighting-COVID-19-TCeSeTaCze/index.html 

Video - https://cdn5.prnasia.com/202009/CGTN/video.mp4

Source: CGTN
Keywords: Health Care/Hospital Infectious Disease Control Publishing/Information Service