omniture

Innatoss Laboratories Lancar Perkhidmatan Ujian Awam Antibodi Peneutralan untuk SARS-CoV-2 di Eropah menggunakan kit cPass™ GenScript

GenScript
2020-09-26 04:57 673

cPass ialah produk pertama sedia ada secara komersial untuk mengesan antibodi peneutralan dengan pantas yang berupaya menghilangkan virus

LEIDEN, Belanda dan OSS, Belanda dan PISCATAWAY, New Jersey, 26 September 2020 /PRNewswire/ -- Innatoss Laboratories hari ini mengumumkan perkhidmatan ujian antibodi peneutralan yang pertama terhadap SARS-CoV-2 untuk orang awam di Eropah,  menggunakan Kit Pengesan Antibodi Peneutralan SARS-CoV-2 cPassTM GenScript.  Kit ini adalah yang pertama di dunia yang membolehkan pengesanan pantas antibodi peneutralan (NAbs), iaitu antibodi spesifik yang terdapat dalam serum pesakit COVID-19 yang bertanggungjawab membersihkan jangkitan virus ini. Innatoss ialah makmal perubatan pertama di Eropah yang menyediakan perkhidmatan seperti ini untuk orang ramai.

"Kerjasama syarikat kami dengan GenScript ialah satu langkah yang penting dalam menawarkan produk inovatif dan berkualiti tinggi untuk memerangi pandemik COVID-19, yang menimbulkan ancaman global terhadap kesihatan awam," kata Dr. Anja Garritsen, Ketua Pegawai Eksekutif Innatoss. "cPassTM menggunakan kaedah ujian baharu yang mampu mengesan kehadiran antibodi peneutralan khusus-virus. Ujian ini akan memberi manfaat dalam menentukan kelanjutan tempoh imuniti berpotensi pada individu dan populasi yang lebih luas, dan membantu dalam perkembangan vaksin dan terapi antibodi monoklonal. Ujian ini akan menjadi ujian utama untuk memantau titer setelah vaksinasi dilaksanakan."

Innatoss baru-baru ini menjalankan kajian di Kessel, sebuah bandar di selatan Belanda yang terjejas teruk semasa gelombang pertama COVID-19, untuk menentukan kelanjutan tempoh antibodi pengikat berbanding antibodi peneutralan pada individu. Orang ramai pada mulanya diuji 2-4 bulan selepas jangkitan menggunakan ujian pantas untuk tahap IgG dan IgM, dan kemudian diuji semula 2-3 bulan kemudian. Selepas itu, sampel pesakit diuji untuk antibodi peneutralan menggunakan kit cPass™ GenScript. Dalam 90 peratus kes, tahap antibodi pengikat menurun dengan ketara dari masa ke masa sementara tahap antibodi berfungsi (antibodi peneutralan) stabil pada 70 peratus daripada jumlah yang diuji.

"Ujian cPass TM memberikan hasil boleh dipercayai yang setara dengan standard emas dalam makmal virologi, ujian peneutralan virus SARS-CoV-2 hidup, tanpa memerlukan makmal BioSafety tahap 3," kata Dr. Linfa Wang, pencipta cPass, dan Pengarah Program Penyakit Berjangkit Baru Muncul di Sekolah Perubatan Duke-NUS, Singapura. "Ujian baharu ini bukan hanya menunjukkan sejarah jangkitan seseorang, tetapi juga dapat memberikan beberapa petunjuk perlindungan untuk masa hadapan."

"Kerjasama ini merupakan langkah ke hadapan yang penting, kerana ia memberikan pandangan berharga tentang imuniti berpotensi dan memberi institusi di seluruh dunia akses yang lebih baik terhadap pendekatan ujian COVID-19 yang boleh dipercayai," kata Dr. Patrick Liu, Ketua Pegawai Eksekutif Giliran di GenScript.

Latar Belakang GenScript Biotech Corporation

GenScript Biotech Corporation adalah sebuah syarikat bioteknologi terkemuka global yang menggunakan teknologi proprietari syarikat untuk pelbagai bidang daripada penyelidikan sains hayat asas hingga perkembangan bioperubatan translasi, produk sintetik industri, dan penyelesaian terapi sel. Dengan misi untuk meningkatkan kesihatan manusia dan alam semulajadi melalui bioteknologi, syarikat ini telah mengembangkan kapasiti dan kemampuan terbaik dalam menghasilkan reagen biologi.

Latar Belakang Innatoss Laboratories

Innatoss ialah makmal diagnostik intensif penyelidikan di Belanda, yang mengintegrasikan perkembangan produk dengan prestasi diagnostik canggih untuk individu dan masyarakat. Dengan kepakaran utama dalam serologi dan biologi sel T, syarikat ini merangkumi semua aspek tindakbalas imun terhadap penyakit berjangkit. Innatoss memberi tumpuan kepada penyakit berjangkit dengan latar belakang imunologi yang kompleks seperti demam Q dan Penyakit Lyme. Misi syarikat "Kesannya segera! Kurangkan isu penjagaan kesihatan berkaitan penyakit berjangkit dengan ketara" diperluas untuk COVID-19 dalam menghadapi wabak 2020.

Logo - https://photos.prnasia.com/prnh/20200915/2917138-1LOGO?lang=0

Source: GenScript
Keywords: Biotechnology Health Care/Hospital Medical Equipment Medical/Pharmaceuticals