omniture

UOB mengutamakan kesejahteraan mental dalam pendekatan baharunya terhadap cara bekerja selepas kelonggaran sekatan COVID-19

Pilihan diberi kepada kakitangan mengimbangi antara kaedah dan di mana mereka melaksanakan kerja
United Overseas Bank
2020-11-19 13:08 175

SINGAPURA, 19 November 2020 /PRNewswire / -- UOB hari ini mengumumkan bahawa ia akan memberikan pilihan kepada sebahagian besar tenaga kerjanya yang berjumlah 26,000 orang untuk bekerja dari jarak jauh dua hari seminggu apabila sekatan COVID-19 dilonggarkan. Perubahan didasarkan pada hasrat Bank tersebut untuk memastikan keseimbangan yang tepat di antara pencapaian profesional individu dan kesejahteraan mental mereka. Dua hari bekerja jarak jauh dalam seminggu didapati adalah maksimum[1] bagi pekerja untuk mengekalkan hubungan dengan rakan sekerja dan syarikat serta untuk mencapai prestasi yang optimum.

Pengumuman Bank ini merangkumi kajian enam bulan berkenaan corak kerja, ruang kerja dan kelengkapan teknologi kakitangan. Kira-kira 65 peratus tugasan Bank, yang kesemuanya tidak berurusan terus dengan para pelanggan, telah dinilai sebagai sesuai untuk bekerja secara jarak jauh, sama ada di rumah atau lokasi selain daripada tempat kerja yang telah ditetapkan untuk pekerja. Pilihan Kerja Jarak Jauh UOB yang baru adalah sejajar dengan sentimen komuniti yang lebih luas di mana 80 peratus pekerja di seluruh ASEAN mengatakan bahawa mereka mahukan beberapa bentuk pengaturan kerja yang fleksibel[2] daripada majikan mereka.

Ketua Kumpulan Sumber Manusia UOB, Encik Dean Tong berkata, norma cara dan di mana seseorang itu bekerja sedang melalui proses rombakan pemikiran semula, dan konsep ruang kerja dan tempat kerja sedang berubah dan perlu diselesaikan.

"Kami percaya bahawa masa depan tempat kerja adalah hibrid di mana pekerja memilih cara untuk menguruskan komitmen kerja mereka berdasarkan ruang dan tempat mereka boleh menjadi paling efektif. Bekerja dari rumah semasa COVID-19 telah banyak memberi petunjuk betapa pantas dan intensifnya kita harus berubah, namun kita mesti melihat di luar jangkaan masa kini dalam menentukan masa depan pekerjaan yang lebih lestari. Sebagai contoh, apabila sekatan penjarakan selamat dilonggarkan, orang ramai akan ingin berkumpul di tempat kerja untuk mengeratkan hubungan kerjasama, penyelesaian kreatif dan perbincangan secara bersemuka. Mereka lebih suka berhubung secara dalam talian untuk tugas rutin yang dapat dilakukan dari sebarang lokasi."

"Pendekatan secara hibrid ini akan memerlukan beberapa penyesuaian dan kami komited untuk menyediakan sumber dan sokongan yang diperlukan kepada pekerja kami semasa tempoh peralihan. Melalui pilihan Kerja Jarak Jauh kami, kami berhasrat untuk mencapai keseimbangan yang betul di antara memberikan fleksibiliti kepada rakan sekerja yang layak untuk menguruskan keutamaan kehidupan kerja mereka dan memelihara perusahaan, kerjasama dan keakraban budaya UOB kami," Encik Tong berkata.

Pilihan Kerja Jarak Jauh UOB dibimbing oleh keprihatinan, kerjasama dan budaya

Bank menerima maklum balas daripada pekerjanya di seluruh rangkaian globalnya berkenaan kekangan menjadikan rumah mereka dijadikan pejabat mereka semasa COVID-19. Semasa COVID-19 berada di puncak, 85 peratus daripada mereka dilaporkan efektif ketika bekerja dari rumah, 15 peratus menyatakan mereka menghadapi cabaran yang mencetuskan tekanan[3]. Tekanan ini termasuk usaha untuk menyeimbangkan komitmen keluarga dan profesional, waktu kerja bertambah akibat mentaliti 'sentiasa sedia' dan kesukaran memupuk kerja berpasukan dan kerjasama dalam talian.

"Kesejahteraan mental jangka panjang pekerja kami adalah sangat penting. Naluri manusia yang cenderung berinteraksi, sememangnya menghargai sentimen bersosial dalam komuniti. Kami ingin memastikan bahawa keutamaan kami adalah penjagaan jangka panjang untuk para pekerja kami," kata Encik Tong.

Sebagai contoh, Bank telah melancarkan 'Minggu Kesihatan' pertama untuk pekerjanya di mana, tanpa mengira lokasi kerja mereka, pekerja boleh mengambil bahagian dalam siri aktiviti maya yang memberi tumpuan kepada kecergasan, psikologi positif, ergonomik dan pemakanan. Bank juga telah berada di barisan hadapan dalam mempromosikan sokongan kesihatan mental yang kuat melalui siri ceramah pendidikan dan kursus latihan dalam talian. Hasilnya, 91 peratus pekerja UOB menghargai perhatian yang diberikan oleh Bank kepada mereka semasa pandemik COVID-19[4].

Sebagai tambahan kepada pilihan Kerja Jarak Jauh, Bank akan terus menawarkan Flexi-2 yang akan memberikan cuti tambahan dua jam sebulan kepada semua pekerja untuk menguruskan hal-hal peribadi semasa hari bekerja. Pekerja juga akan dapat memanfaatkan waktu mula Bank yang berperingkat mengikut garis panduan tempatan di setiap pasaran. Sebagai contoh di Singapura, mereka boleh memilih untuk memulakan waktu kerja mereka antara jam 7:00 pagi sehingga 10:00 pagi berdasarkan gaya kerja pilihan mereka.

UOB mempercepatkan pelan infrastrukturnya untuk ketangkasan dan persekutuan di seluruh rantau

Dalam menyokong pilihan Kerja Jarak Jauh, Bank juga akan mempercepatkan pelan peningkatan infrastrukturnya melalui penetapan piawaian pejabat baharu yang akan digunakan di seluruh rantau. Ini akan membolehkan lebih banyak kerja berdasarkan pasukan yang lebih tangkas dan kerjasama yang lebih mendalam merentasi pelbagai fungsi dalam Bank.

Model kerja tangkas UOB, yang dimulakan dua tahun lalu, dijadikan contoh melalui Pusat UOB untuk Inovasi di Pusat SGX di Singapura. Pusat ini menyaksikan pembangunan penyelesaian pelanggan yang inovatif seperti TMRW, bank digital pertama ASEAN untuk generasi digital dan naik taraf ke UOB Mighty, aplikasi perbankan mudah alih semua dalam satu Bank yang pernah memenangi anugerah. Ruang kerja Bank sedang ditransformasi dan dinaik taraf secara progresif untuk prestasi tinggi.

Di Malaysia dan Thailand, projek transformasi dan penempatan semula ibu pejabat sedang dijalankan dan dijangka akan siap pada tahun 2022. Kemudahan baharu adalah antaranya di seluruh rantau yang akan menyediakan banyak ruang kerja terbuka dan serba guna yang sesuai untuk kerjasama dan aktiviti sosial yang berkesan.

Di Singapura, Bank juga akan menyediakan ruang sosial baharu di lokasi utama untuk pekerjanya bertemu dan bersantai. Sebagai contoh, di Boat Quay, ia telah menukarkan pejabat menjadi rumah kelab untuk kerjasama dan aktiviti-aktiviti rekreasi. Ia akan dibuka apabila langkah-langkah penjarakan selamat COVID-19 dilonggarkan.

[1] Menurut Tinjauan Pendapat Webinar Model Tenaga Kerja Hibrid Gartner pada 30 Julai 2020. Keputusan itu diterbitkan sebagai sebahagian daripada kajian Gartner yang disebut Pelaksanaan Kerja Jarak Jauh pada Skala dalam Model Tenaga Kerja Hibrid, yang diterbitkan pada 30 September 2020.

[2] Menurut Kajian Sentimen Pengguna UOB ASEAN yang dijalankan oleh UOB dan Blackbox pada Julai 2020 di kalangan 3,510 individu yang berumur antara 18 hingga 65 tahun di seluruh lima pasaran ASEAN termasuk 1,030 dari Singapura dan 2,480 di seluruh Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam.

[3] Menurut Kaji Selidik Pekerja UOB 2020 dijalankan di kalangan 26,000 pekerja UOB di seluruh dunia antara April hingga Jun 2020.

[4] Menurut Kaji Selidik Pekerja UOB 2020 yang dijalankan di kalangan 26,000 pekerja UOB di seluruh dunia antara April dan Jun 2020.

Tentang United Overseas Bank

United Overseas Bank Limited (UOB) ialah bank terkemuka di Asia dengan rangkaian global lebih daripada 500 pejabat di 19 negara dan wilayah di Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. Sejak penubuhannya pada tahun 1935, UOB telah berkembang secara organik dan melalui beberapa siri pemerolehan strategik. UOB dinilai antara bank teratas di dunia: Aa1 oleh Moody's Investors Service dan AA- oleh S&P Global Ratings dan Fitch Ratings. Di Asia, UOB beroperasi melalui ibu pejabatnya di Singapura dan anak syarikat perbankan di China, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam, serta cawangan dan pejabat perwakilan di seluruh rantau ini.

Lebih dari lapan dekad, generasi pekerja UOB telah menerapkan semangat keusahawanan, tumpuan terhadap penciptaan nilai jangka panjang dan komitmen yang teguh untuk melakukan tindakan yang betul demi pelanggan dan rakan sekerja kami.

Kami berpegang teguh terhadap pendirian menjadi penyedia perkhidmatan kewangan yang bertanggungjawab dan kami komited membuat perubahan dalam kehidupan pemegang kepentingan kami dan dalam masyarakat tempat kami beroperasi. Sama seperti kami berdedikasi untuk membantu pelanggan menguruskan kewangan mereka dengan bijak dan mengembangkan perniagaan mereka, UOB juga sama tegasnya dalam menyokong pembangunan sosial kami, terutama dalam bidang seni, kanak-kanak dan pendidikan.

Source: United Overseas Bank
Related Stocks:
OTC:UOVEY Singapore:U11
Related Links:
Keywords: Banking/Financial Service Mental Health Workforce Management/Human Resources