omniture

UOB lancar Rangka Kerja Kewangan Lestari Bandar Pintar, bank pertama di Asia yang membantu syarikat untuk maju secara bertanggungjawab

Rangka kerja baru ini adalah satu lagi langkah bagi UOB menjalin masa depan yang lestari dengan pelanggan
United Overseas Bank
2020-11-25 12:50 150

SINGAPURA, 25 November 2020 /PRNewswire/ -- UOB hari ini melancarkan Rangka Kerja Kewangan Lestari Bandar Pintar UOB (UOB Smart City Sustainable Finance Framework  atau UOBSCSFF), rangka kerja khusus oleh sebuah bank di Asia untuk menjadikan pembiayaan mampan lebih mudah diakses oleh syarikat yang menyumbang kepada pembentukan bandar pintar[1]. Sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), rangka kerja UOB ini disokong Skim Pemberian Pinjaman Hijau dan Berkaitan Kelestarian oleh Pihak Berkuasa Kewangan Singapura.

Rangka kerja UOB menetapkan kriteria yang mesti dipenuhi oleh pelanggan korporat dan institusi Bank apabila mengakses pelbagai produk, daripada pinjaman hijau atau pinjaman berkaitan kelestarian dan kemudahan pembiayaan dagangan hingga ke produk perbankan lestari yang lain. Kriteria ini termasuk memerlukan syarikat untuk memiliki strategi dan objektif kelestarian yang jelas, untuk mencapai sasaran prestasi kelestarian mereka dan menggunakan hasil pinjaman untuk memajukan agenda kelestarian mereka.

Di bawah rangka kerja ini, perniagaan juga mesti berupaya menunjukkan bagaimana aktiviti mereka menggalakkan kualiti hidup yang lebih baik untuk penduduk melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pembinaan bangunan hijau, peningkatan dalam kecekapan tenaga, pengangkutan hijau, pengurusan air dan sisa secara lestari dan/atau penyesuaian dari segi perubahan iklim. UOB akan memantau pengurusan hasil pinjaman syarikat selain kesan alam sekitar dan sosial aktiviti perniagaan syarikat pada setiap tahun.

Melalui UOBSCSFF, syarikat yang komited untuk membina bandar lestari dan pintar boleh memohon pembiayaan yang mampan tanpa perlu membangunkan rangka kerja pembiayaan mereka sendiri yang mungkin akan memakan masa dan juga sumber. Ini bermakna syarikat boleh menumpukan sumber mereka kepada membangunkan alam sekitar yang lebih baik bagi semua.

Encik Frederick Chin, Ketua Perbankan Borong dan Pasaran Kumpulan, UOB, berkata, "Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan bahawa sejumlah AS$2.5 trilion diperlukan setiap tahun supaya negara-negara membangun mampu merapatkan jurang pembiayaan dalam mencapai SDG menjelang 2030[2]. Institusi kewangan boleh dan mesti memainkan peranan penting, bersama dengan kerajaan dan perniagaan, dalam membantu menyalurkan lebih dana ke arah pembangunan lestari. Usaha seperti ini akan membantu menjadikan bandar-bandar di Asia lebih lestari dan sesuai didiami.

"Di UOB, kami komited untuk mengimbangi peluang dengan tanggungjawab dan membantu perniagaan di seluruh rantau ini maju secara bertanggungjawab melalui pembiayaan mampan. Di bawah UOBSCSFF, kami dapat menyokong usaha kelestarian untuk lebih banyak syarikat daripada pelbagai sektor, di samping bekerjasama dengan mereka untuk membangunkan bandar lestari dan pintar."

Carbon Trust, sebuah syarikat perunding terkemuka dalam khidmat nasihat berkenaan iklim dan berkaitan alam sekitar serta khidmat jaminan, telah memberikan Pendapat Pihak Kedua ke atas UOBSCSFF Bank selaras dengan Prinsip Pinjaman Hijau dan Prinsip Pinjaman Berkaitan Kelestarian yang dikeluarkan oleh Persatuan Pasaran Pinjaman.

Puan Lau Xin Yi, Ketua Kewangan Hijau, Asia Tenggara, Carbon Trust, berkata, "Bandar pintar adalah sangat penting dalam membantu majlis perbandaran dan negara mengurus dan pulih dari wabak COVID-19. Teknologi digital akan memainkan peranan semakin meningkat dalam menyampaikan perkhidmatan awam yang utama selain menyokong aktiviti ekonomi sambil menggalakkan amalan mesra alam. Rangka Kerja Kewangan Lestari Bandar Pintar UOB merupakan suatu inisiatif tepat pada masanya dan strategik yang mempertimbangkan keperluan pelbagai aspek dalam sebuah bandar pintar. Ia juga memenuhi keperluan pembiayaan yang berbeza daripada pihak berkepentingan dalam bentuk pinjaman hijau dan pinjaman berkaitan kelestarian."

Rangka Kerja Kewangan Lestari Bandar Pintar UOB ini merupakan pengembangan daripada Rangka Kerja Pembiayaan Infrastruktur Hijau UOB, dilancarkan oleh Bank pada 2019 untuk menyediakan pembiayaan mampan kepada syarikat di dalam sektor infrastruktur. Dalam usaha menyokong bangunan lestari, Bank juga mempunyai Rangka Kerja Kewangan Lestari Hartanah UOB yang memberi garis panduan kepada pembiayaan yang disediakan kepada pelanggan. Rangka Kerja Kewangan Lestari Hartanah UOB adalah rangka kerja pemberian pinjaman pertama untuk sektor ini oleh sebuah bank Singapura apabila ia dilancarkan pada Oktober 2019[3].

Untuk mengetahui bagaimana UOB membantu perniagaan dalam semua industri maju secara bertanggungjawab, sila kunjungi laman web UOB Sustainable City Solutions untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian pembiayaan mampan UOB.  

[1] Sebuah bandar pintar mengintegrasikan infrastruktur fizikal dan ruang digital, melalui penggunaan teknologi, ke dalam tabiat dan tingkah laku manusia untuk membangunkan bandar yang lebih mampan dari segi alam sekitar selain menyediakan kualiti hidup yang lebih tinggi bagi semua penduduk.

[2]  Sumber: Laporan Pelaburan Dunia 2014, Sumber: Laporan Pelaburan Dunia 2014, Persidangan PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan,  https://unctad.org/system/files/official-document/wir2014_en.pdf

[3] Sila rujuk kepada kenyataan akhbar UOB: UOB extends first three green loans to SMEs under its new Real Estate Sustainable Finance Framework, 31 Oktober 2019.

About United Overseas Bank

United Overseas Bank Limited (UOB) adalah sebuah bank terkemuka di Asia dengan rangkaian global yang terdiri daripada lebih 500 pejabat di 19 negara dan wilayah di Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. Sejak penubuhannya pada 1935, UOB telah berkembang secara organik dan melalui beberapa pengambilalihan strategik. UOB menerima penarafan di antara bank terkemuka dunia: Aa1 oleh Moody's dan AA- oleh Standard & Poor's dan Fitch Ratings. Di Asia, UOB beroperasi di ibu pejabatnya di Singapura dan anak syarikat perbankannya di China, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam, serta pejabat cawangan dan perwakilan di seluruh rantau. 

Selama lebih lapan dekad, kakitangan UOB telah mengamalkan semangat keusahawanan, dengan menumpu pada pewujudan nilai jangka panjang dan komitmen yang teguh untuk melakukan apa yang tepat untuk pelanggan dan kakitangan kami.

Kami merupakan pembekal perkhidmatan kewangan yang bertanggungjawab dan kami komited untuk melakukan perbezaan dalam kehidupan pemegang berkepentingan kami dan juga dalam komuniti di mana kami beroperasi. Sama seperti dedikasi kami untuk membantu pelanggan kami menguruskan kewangan secara bijak dan mengembangkan perniagaan mereka, UOB berpegang teguh dalam sokongan kami terhadap pembangunan sosial, terutamanya dalam bidang seni, kanak-kanak dan pendidikan.

Source: United Overseas Bank
Related Stocks:
OTC:UOVEY Singapore:U11
Related Links:
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics Environmental Products & Services Corporate Social Responsibility New products/services Financial Technology