omniture

GCash tarik pelaburan baharu daripada Bow Wave

Globe Telecom
2021-01-11 10:22 196

MANILA, Filipina, 11 Januari 2021 /PRNewswire/ -- Globe Fintech Innovations, Inc. ("Mynt"), cabang Teknologi Kewangan (Fintech) Globe Telecom dan pengendali bagi dompet mudah alih pilihan negara ini dalam GCash, telah menarik pelaburan modal baharu daripada ASP Philippines LP, dana perkongsian terhad yang diurus oleh firma pelaburan Bow Wave Capital Management ("Bow Wave"), untuk merangsang lagi pertumbuhan rangkuman kewangan dan pendigitan pembayaran dan perkhidmatan kewangan di Filipina. Mynt berjaya mengumpul modal baharu sebanyak lebih US$175 juta daripada Bow Wave dan pemegang saham sedia adanya dalam pelbagai tranche, dengan penilaian pascawang tranche terakhir mencecah hampir US$1 bilion.

"Pelaburan daripada Bow Wave ini merupakan satu pengesahan baik dari segi apa yang telah dapat kami capai serta potensi GCash dalam mengetengahkan perkhidmatan digital di Filipina," kata Martha Sazon, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mynt. "Pandemik ini telah bertindak sebagai pemangkin dalam menonjolkan kepentingan kewangan digital dalam masyarakat hari ini dan menerusi pelaburan daripada Bow Wave ini, kami berharap dapat terus melaksanakan visi kewangan kami buat semua, mendayakan akses secara demokratik terhadap perkhidmatan pembayaran dan kewangan kepada setiap rakyat Filipina."

Sepanjang tahun 2020, GCash membantu rakyat Filipina menempuh kehidupan harian mereka dengan menyediakan pilihan pembayaran digital yang mudah, selamat dan terjamin kepada mereka.

Memandangkan semakin ramai rakyat Filipina beralih kepada perkhidmatan digital, GCash mencatatkan nilai urus niaga kasar sebanyak lebih Php1 trilion pada tahun 2020, didorong oleh perkhidmatan seperti pembayaran dalam talian, tunai-masuk bank dan penghantaran wang. Setakat ini, GCash telah memperkasa lebih 33 juta warga Filipina dengan alatan dan perkhidmatan kewangan digital melalui dompet mudah alih inovatifnya. Pengguna berupaya untuk memaksimumkan penggunaan dompet mudah alih mereka untuk berurus niaga secara fizikal dan dalam talian, untuk membeli caj masa siaran (airtime load), untuk membuka akaun deposit, untuk menyimpan dan melabur dalam dana pasaran wang serta untuk memperoleh produk insurans.

"Kami telah memperoleh keuntungan besar pada tahun 2020 yang mengukuhkan lagi status kami sebagai aplikasi Kewangan yang utama di negara ini. Kami semakin terdorong oleh hakikat bahawa momentum Mynt telah diteruskan, walaupun ketika negara ini tidak lagi mengenakan sekatan kuarantin, mencadangkan satu perubahan dasar dalam tingkah laku pelanggan kami ke arah gaya hidup tanpa tunai. Kami yakin dengan prospek masa depan Mynt sebagai syarikat unikorn di Filipina," kata Ernest L. Cu, Pengerusi Lembaga Mynt.

Bow Wave ialah dana ekuiti persendirian tertutup dengan mandat untuk melabur di seluruh dunia dalam syarikat-syarikat ekosistem pembayaran dalam talian dan mudah alih. Pelaburan Bow Wave dalam Mynt, yang pertama olehnya di Filipina, akan menghasilkan kepentingan ekuiti minoriti dalam Mynt. Terma-terma lain bagi pelaburan ini kekal sulit.

"Mynt telah mengambil langkah yang hebat dalam bidang teknologi kewangan di Filipina. Menyedari hakikat ini dan nilai bersama kami, Bow Wave menyokong visi Mynt untuk menyediakan perkhidmatan kewangan buat seluruh warga Filipina. Kami teruja dengan pelaburan ini dan kami berharap agar dapat menambah nilai kepada Mynt apabila ia merealisasikan visinya," ujar Itai Lemberger, Pengasas dan Ketua Pegawai Maklumat Bow Wave.

UBS AG bertindak sebagai penasihat kewangan Mynt untuk urus niaga ini.

Source: Globe Telecom
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics Electronic Commerce Corporate Expansion Financing agreements Financial Technology