XI'AN, China, 4 Februari 2021 /PRNewswire/ -- LONGi, syarikat teknologi solar yang terkemuka di dunia dan beribu pejabat di Xi'an, China, secara rasminya melancarkan modul PV monomuka Hi-MO 4 jenis 66C baharu (Hi-MO 4m) untuk pasaran penjanaan teragih (DG) global. Dengan keluasan kira-kira 2 m2, berat 22kg dan kuasa 410-420W, modul baharu ini boleh digunakan secara meluas di atas bumbung menerusi aplikasi kediaman, industri dan komersial.
Pada awal tahun 2019, LONGi melancarkan modul PV berkecekapan tinggi siri Hi-MO 4 untuk aplikasi senario penuh berdasarkan teknologi wafer monohabluran standard M6 (166mm) dan PERC. Dalam tempoh setahun menjalani pengeluaran secara besar-besaran, siri Hi-MO 4 mencapai kejayaan luar biasa bagi 10GW dari segi penghantaran global, lantas memperoleh penerimaan dan keyakinan industri yang luas.
Apabila dunia menghampiri era pariti grid pada tahun 2021, LONGi kembali fokus terhadap permintaan khusus daripada pasaran DG dengan tujuan untuk memberi nilai kepada pelanggan dalam sektor ini menerusi produk inovatif yang baharu.
Selain daripada 66C, siri Hi-MO 4m turut menawarkan jenis 60C dan 72C. Ketiga-tiga produk ini meliputi julat kuasa antara 370-385w, 410-420W dan 450-460W, dengan kecekapan maksimum sehingga 21%, yang menyediakan pengguna DG dengan kefleksibelan dan pilihan yang lebih luas. Dengan prestasi yang tinggi dan penampilan menarik dari segi estetik, modul Hi-MO 4m menggabungkan kelebihan kecekapan yang tinggi, hasil tenaga yang tinggi dan keandalan yang tinggi. Saiz dan beratnya direka bentuk agar sepadan dengan keperluan pemasangan sistem DG dan senario aplikasi.
Senario aplikasi: Bumbung kediaman
-- Pemadanan fleksibel & penambahan kapasiti yang cekap
Bagi pasaran kediaman, modul 60C Hi-MO 4m (keluasan 1.82 m2, berat 19.5kg, lebar 1.04m) amat sesuai dari segi pemasangan yang mudah lantaran saiz dan berat yang sederhana.
Di sesetengah negara dan wilayah, modul dengan saiz yang lebih besar dan yang lebih berat juga boleh dipasang di atas bumbung kediaman. Justeru itu, LONGi turut menyediakan pilihan 66C (22.0kg) dan 72C (23.5kg). Lebar modul diseragamkan, manakala tiga pilihan panjang yang berbeza membolehkan siri Hi-MO 4m memaksimumkan kapasiti pemasangan sistem fotovolta di atas bumbung kediaman.
Senario aplikasi: Bumbung industri dan komersial
-- Produk yang selamat dan andal untuk perolehan yang mantap
Modul jenis 72C Hi-MO 4m sesuai digunakan pada bumbung industri dan komersial.
Dari segi jenis pemasangan, selain daripada pemasangan jubin pada bumbung condong dan pemasangan dengan sudut condong optimum pada bumbung rata, "pemasangan 4-titik pada kerangka pendek" di atas bumbung rata diguna pakai di sesetengah negara maju lantaran kos pemasangan yang lebih rendah dan kapasiti sistem yang lebih baik. Dalam senario aplikasi khas ini, modul format 66C Hi-MO 4m dapat mengatasi modul-modul lain. Berbanding dengan produk modul konvensional, ia bukan sahaja mencapai output kuasa yang stabil dan cekap, malah ia juga mempunyai rintangan yang lebih tinggi terhadap angin dan beban salji.
Modul siri Hi-MO 4m
-- Kualiti dan nilai dalam pasaran penjanaan teragih
Produk penjanaan teragih boleh menjadi kunci bagi membolehkan PV menembusi ribuan isi rumah dan nilai tinggi modul siri Hi-MO 4m akan menawarkan pengguna DG global dengan pilihan dan kefleksibelan baharu, dipadankan dengan kualiti dan nilai yang tinggi.
Dari segi pemadanan elektrik, arus pada kuasa maksimum modul Hi-MO 4m adalah lebih rendah daripada 11A, yang merupakan padanan sempurna untuk pelbagai jenama penyongsang rentetan, pengoptimum kuasa dan penyongsang mikro yang boleh didapati di seluruh dunia. Ia memanfaatkan sepenuhnya margin reka bentuk peralatan dan mengelakkan kehilangan penjanaan kuasa atau ketakpadanan yang disebabkan oleh pengehadan arus.
Modul-modul LONGi terkenal dengan prestasi hasil tenaga dan kualiti produk yang cemerlang, aspek-aspek yang telah disahkan oleh pasaran global dan institusi pihak ketiga berwibawa:
LONGi akan menambah kapasiti barisan pengeluaran DG khususnya kepada 10GW pada tahun 2021.
Latar Belakang LONGi
LONGi memimpin industri PV solar ke tahap baharu menerusi inovasi produknya dan nisbah kos-kuasa dioptimumkan dengan teknologi monohabluran cemerlang. Syarikat ini membekalkan lebih daripada 30GW wafer dan modul solar berkecekapan tinggi ke seluruh dunia setiap tahun, iaitu kira-kira satu perempat daripada permintaan pasaran global. LONGi diiktiraf sebagai syarikat teknologi solar yang paling berharga di dunia dengan nilai pasaran tertinggi. Inovasi dan pembangunan mampan merupakan dua nilai teras syarikat ini. Ketahui Lebih Lanjut: https://en.longi-solar.com/