omniture

UOB dan Singapore Business Federation bakal hubungkan syarikat-syarikat Singapura dengan peluang rentas sempadan yang muncul daripada ekonomi ASEAN bernilai US$3 trilion

UOB adalah rakan kewangan pilihan bagi inisiatif Perkongsian Strategik GlobalConnect@SBF
United Overseas Bank
2021-02-22 19:32 325

SINGAPURA, 22 Februari 2021 /PRNewswire/ -- UOB menggiatkan usahanya untuk membantu lebih banyak syarikat Singapura merebut peluang perniagaan rentas sempadan daripada ekonomi ASEAN yang bernilai US$3 trilion[1]. Bank hari ini menandatangani Perjanjian Perkongsian Strategik dengan Singapore Business Federation (SBF) untuk menjadi rakan kewangan pilihan dalam inisiatif Perkongsian Strategik[2] GlobalConnect@SBF.

(Dari kiri) Encik Gan Seow Kee, Naib Pengerusi SBF dan Pengerusi Jawatankuasa GlobalConnect@SBF; Encik Lam Yi Young, Ketua Pegawai Eksekutif SBF; Menteri Perdagangan dan Industri Encik Chan Chun Sing; Encik Ian Wong, Ketua Pengurusan Antarabangsa Kumpulan, UOB dan Encik Wee Ee Cheong, Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, UOB.
(Dari kiri) Encik Gan Seow Kee, Naib Pengerusi SBF dan Pengerusi Jawatankuasa GlobalConnect@SBF; Encik Lam Yi Young, Ketua Pegawai Eksekutif SBF; Menteri Perdagangan dan Industri Encik Chan Chun Sing; Encik Ian Wong, Ketua Pengurusan Antarabangsa Kumpulan, UOB dan Encik Wee Ee Cheong, Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, UOB.

 

Kerjasama ini menggabungkan kekuatan UOB dan SBF dalam menghubungkan syarikat-syarikat Singapura, termasuk lebih 27,000 ahli SBF, kepada peluang yang tersedia di seluruh ASEAN, terutamanya di Indonesia, Thailand dan Vietnam. Rantau ini menawarkan peluang yang menarik kepada syarikat-syarikat yang ingin berkembang, memandangkan bahawa rantau ini dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang tahun 2050[3]. Perjanjian perdagangan seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau juga dijangka meningkatkan pertumbuhan di rantau ini.

Encik Wee Ee Cheong, Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, UOB, berkata, "Setelah mengharungi tempoh paling mencabar dalam pandemik COVID-19, syarikat-syarikat kini mencari peluang pertumbuhan dan pengembangan. Salah satu peluang yang paling menarik adalah di ASEAN, dengan ekonominya yang berkembang pesat dan potensi yang luas. Rantau inilah di mana UOB mempunyai kedudukan paling mantap. Di UOB, kami sudah lama menyedari keteguhan dan keunikan jangka panjang rantau ini dengan landskap ekonominya yang terpelbagai. Unit Penasihat Pelaburan Langsung Asing (FDI) kami, yang ditubuhkan pada tahun 2011, telah membantu lebih 3,500 syarikat meluaskan operasi mereka di seluruh rantau ini. Kini, melalui usaha bersama dengan SBF, kami dapat membantu membina sektor perniagaan yang terhubung dan dinamik selain menyaksikan lebih banyak syarikat berkembang maju dan membangun."

Encik Darius Lim, Penolong Ketua Pegawai Eksekutif SBF, berkata, "Rangkaian luas dan kedudukan mantap UOB di ASEAN akan melengkapkan inisiatif GlobalConnect@SBF kami untuk memudahkan syarikat-syarikat Singapura mengorak langkah ke dalam rantau ini. Sokongan daripada bank Singapura yang terkemuka dan berwibawa bermakna syarikat-syarikat akan dapat mengendalikan landskap perniagaan dengan lebih baik dalam pasaran masing-masing, membangunkan rangkaian tempatan, selain mengakses peluang perdagangan dan pelaburan yang lebih besar."

Unit Penasihat FDI UOB membantu syarikat-syarikat memasuki pasaran mereka dengan menyediakan tinjauan pasaran yang mendalam serta akses kepada ekosistem rakan kongsi Bank yang terdiri daripada agensi kerajaan serantau serta persatuan perdagangan dan perniagaan. Tinjauan dan akses sedemikian amat penting untuk syarikat-syarikat mengendalikan pengembangan luar negara mereka. Sentimen ini dinyatakan dalam kajian yang dijalankan oleh UOB baru-baru ini. Menurut UOB SME Outlook 2021 Study[4], kurang pengetahuan mengenai pasaran tempatan dan kesukaran mencari rakan kongsi yang sesuai merupakan dua halangan utama yang dihadapi oleh syarikat-syarikat Singapura apabila meneroka ke luar negara.

Melalui Pusat FDI UOB[5] yang terletak di seluruh rantau ini dan Pusat Perusahaan Singapura SBF, syarikat-syarikat dapat meraih manfaat daripada bantuan setempat yang disediakan oleh kedua-dua organisasi. UOB akan turut memberi sokongan kewangan dan membantu syarikat-syarikat dalam perjalanan pendigitalisan mereka, selain mempercepat penerimaan teknologi dengan menyediakan rangkaian penyelesaian digital yang komprehensif.

Di samping itu, kedua-dua organisasi akan berkongsi maklumat dan sumber dengan syarikat-syarikat Singapura melalui saluran seperti webinar percuma untuk ahli SBF bagi membantu mereka mempelajari lebih lanjut mengenai pelbagai persekitaran operasi di ASEAN serta mengenal pasti peluang perniagaan.

Sebuah syarikat yang disokong UOB dalam usaha pengembangan luar negaranya ialah Dou Yee Group. Syarikat pembuatan ini beribu pejabat di Singapura dan berada dalam 26 pasaran termasuk tanah besar China, Hong Kong, Malaysia dan Vietnam. Dou Yee memanfaatkan pengetahuan pasaran yang mendalam serta penyelesaian kewangan yang disesuaikan oleh UOB untuk meluaskan operasi pembuatannya di Vietnam. UOB akan terus memberi sokongan kepada Dou Yee dengan menghubungkan syarikat dengan pembeli, pembekal dan pengedar yang berpotensi sepanjang rantaian nilainya dan juga kepada peluang yang muncul daripada usaha kelestarian di ASEAN.

UOB membantu syarikat-syarikat memahami bagaimana mereka dapat menyumbang kepada dan meraih manfaat daripada pembentukan masa depan yang mampan di samping menyediakan penyelesaian kewangan yang sesuai untuk berbuat demikian. Ini termasuk menawarkan pembiayaan mampan melalui rangka kerja seperti Rangka Kerja Kewangan Lestari Bandar Pintar UOB[6], Rangka Kerja Kewangan Lestari Harta Tanah UOB[7] dan Rangka Kerja Ekonomi Kitaran Hijau UOB[8]. Semua rangka kerja ini memudahkan syarikat-syarikat memohon pinjaman berkaitan kemampanan atau pembiayaan hijau bagi memajukan perniagaan mereka secara bertanggungjawab.

[1] Sumber: "Gross domestic product of the ASEAN countries from 2010 to 2020" by H. Plecher, Statista, 26 Januari 2021.

[2] Inisiatif tersebut ditubuhkan oleh SBF pada tahun 2019 dengan kerjasama Enterprise Singapore bagi membantu syarikat-syarikat Singapura berkembang ke luar negara khususnya ke ASEAN. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk https://globalconnect.sbf.org.sg/.

[3] Ekonomi ASEAN diunjur berkembang lebih 5.5 peratus setahun dan menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang tahun 2050. Sumber: US-ASEAN Business Council, https://www.usasean.org/why-asean/growth

[4] UOB SME Outlook Study 2021 dijalankan bermula pada penghujung November 2020 hingga awal Disember 2020 antara 782 PKS tempatan dengan pendapatan kurang daripada S$100 juta bagi memahami impak keadaan makroekonomi (terutamanya COVID-19), tinjauan yang dijangkakan dan jangkaan utama antara PKS di Singapura.

[5] UOB mempunyai 10 Pusat FDI di seluruh Asia, dengan enam di ASEAN, iaitu Indonesia, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

[6] Rangka Kerja Kewangan Lestari Bandar Pintar UOB adalah rangka kerja pembiayaan khusus yang pertama oleh sebuah bank di Asia untuk menjadikan pembiayaan mampan lebih mudah diakses oleh syarikat-syarikat yang menyumbang kepada pewujudan bandar pintar. Sila rujuk siaran berita UOB: UOB launches its Smart City Sustainable Finance Framework, the first by a bank in Asia to help more companies advance responsibly, 24 November 2020.

[7] Rangka Kerja Kewangan Lestari Harta Tanah UOB adalah rangka kerja pemberian pinjaman pertama untuk sektor berkenaan yang ditubuhkan oleh sebuah bank Singapura. Ia dibangunkan khususnya untuk syarikat-syarikat yang memiliki atau mengurus aset harta tanah seperti pusat data, hotel, harta tanah industri dan kediaman, pejabat, restoran dan ruang niaga. Sila rujuk siaran berita untuk maklumat lanjut: UOB extends first three green loans to SMEs under its new Real Estate Sustainable Finance Framework, 31 Oktober 2019.

[8] Rangka Kerja Ekonomi Kitaran Hijau UOB diwujudkan untuk menjadikan pembiayaan mampan lebih mudah diakses oleh syarikat-syarikat yang terlibat dalam perniagaan '3R' (Kurangkan, Guna Semula, Kitar Semula), kitar semula e-sisa dan perniagaan dalam ekosistem kitar semula plastik.

Mengenai United Overseas Bank

United Overseas Bank Limited (UOB) adalah sebuah bank terkemuka di Asia dengan rangkaian global yang terdiri daripada lebih 500 pejabat di 19 negara dan wilayah di Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. Sejak penubuhannya pada 1935, UOB telah berkembang secara organik dan melalui beberapa pengambilalihan strategik. UOB menerima penarafan di antara bank terkemuka dunia: Aa1 oleh Moody's dan AA- oleh Standard & Poor's dan Fitch Ratings. Di Asia, UOB beroperasi di ibu pejabatnya di Singapura dan anak syarikat perbankannya di China, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam, serta pejabat cawangan dan perwakilan di seluruh rantau.

Selama lebih lapan dekad, kakitangan UOB telah mengamalkan semangat keusahawanan, dengan menumpu pada pewujudan nilai jangka panjang dan komitmen yang teguh untuk melakukan apa yang tepat untuk pelanggan dan kakitangan kami.

Kami merupakan pembekal perkhidmatan kewangan yang bertanggungjawab dan kami komited untuk melakukan perbezaan dalam kehidupan pemegang berkepentingan kami dan juga dalam komuniti di mana kami beroperasi. Sama seperti dedikasi kami untuk membantu pelanggan kami menguruskan kewangan secara bijak dan mengembangkan perniagaan mereka, UOB berpegang teguh dalam sokongan kami terhadap pembangunan sosial, terutamanya dalam bidang seni, kanak-kanak dan pendidikan.

Source: United Overseas Bank
Related Stocks:
OTC:UOVEY Singapore:U11
Related Links:
Keywords: Banking/Financial Service Contracts Survey, Polls & Research