omniture

Akaun Wang Mudah Alih Meningkat Kepada 1.2 bilion Pada Tahun 2020, Menurut GSMA

GSMA
2021-03-25 18:24 23

Didorong oleh pandemik global, transaksi meningkat sebanyak 65% pada tahun 2020

LONDON, 25 Mac 2021 /PRNewswire/ -- GSMA hari ini menerbitkan laporan tahunannya, 'State of the Industry Report on Mobile Money' (Status Laporan Industri tentang Wang Mudah Alih). Ia mendedahkan peningkatan dramatik dalam urus niaga mudah alih ketika pandemik COVID-19 ini akibat sekatan pergerakan yang mengehadkan akses kepada wang tunai dan institusi kewangan. Laporan tersebut mendapati bahawa bilangan akaun berdaftar telah meningkat sebanyak 13 peratus di seluruh dunia pada tahun 2020 kepada lebih 1.2 bilion – dua kali ganda daripada yang diramalkan. Pertumbuhan paling pesat ialah di pasaran yang kerajaannya memberikan bantuan pandemik yang signifikan kepada rakyat mereka.

Menyediakan lebih banyak peluang dalam ekonomi formal 

Untuk mengurangkan kesukaran ekonomi akibat pandemik COVID-19, banyak kerajaan negara mengagihkan sokongan kewangan kepada individu dan perniagaan. Nilai pembayaran pihak kerajaan kepada orang perseorangan meningkat empat kali ganda semasa pandemik serta industri wang mudah alih bekerjasama dengan pentadbiran dan NGO untuk mengagihkan perlindungan sosial dan pembayaran bantuan kemanusiaan dengan cepat, selamat dan cekap kepada mereka yang memerlukan. Memudahkan pembayaran sokongan pendapatan langsung ini merupakan satu contoh cara wang mudah alih menyediakan talian hayat kewangan kepada komuniti yang terabai. Penyedia wang mudah alih juga telah memberikan sokongan untuk tujuan serupa yang merangkumi pengedaran kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan gel pembersih tangan di kaunter ejen.

"Kami melihat bahawa wang mudah alih merupakan kaedah yang hebat untuk memperluas penyertaan kewangan wanita di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana," kata John Giusti, Ketua Pegawai Kawal Selia GSMA. "Walau bagaimanapun, laporan pada tahun ini menunjukkan peratusan golongan wanita untuk memiliki akaun wang mudah alih masih kurang sebanyak 33 peratus berbanding golongan lelaki. GSMA dan ahlinya komited untuk menutup jurang jantina ini dengan menangani halangan yang menghalang golongan wanita daripada mengakses dan menggunakan perkhidmatan kewangan mudah alih."

Penutupan jurang ini memerlukan usaha yang kolaboratif dan bersepadu. Kebanyakan penyedia telah komited untuk meningkatkan nisbah pelanggan wanita. Satu contoh pendekatan inovatif untuk usaha ini ialah melalui pelancaran produk usahawan mikro yang boleh digunakan pada pasaran yang majoriti vendor dan pelanggannya diwakili oleh golongan wanita.

Meningkatkan kesamaan kewangan global 

Buat pertama kalinya, lebih $1 bilion telah dihantar dan diterima dalam bentuk pengiriman wang secara global setiap bulan melalui wang mudah alih. Walaupun terdapat kebimbangan awal bahawa urus niaga akan merosot ketika orang ramai di seluruh dunia mengalami kehilangan pekerjaan dan pemotongan pendapatan semasa pandemik ini, namun jelas sekali bahawa terdapat diaspora yang terus menyokong ahli keluarga serta rakan-rakan. Hasilnya, jumlah nilai transaksi meningkat 65 peratus kepada jumlah tahunan sebanyak $12.7 bilion pada tahun 2020.

Dalam usaha ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), GSMA tetap komited untuk mengurangkan ketidaksamaan antara negara-negara semasa mengirim wang di peringkat antarabangsa. Menurut penyelidikan GSMA, wang mudah alih menyediakan saluran yang berpatutan untuk menghubungkan orang ramai kepada sumber kewangan yang penting. Ekosistem wang mudah alih telah diperkukuhkan dengan peningkatan bilangan perkongsian strategik yang diwujudkan antara organisasi pemindahan wang dan penyedia wang mudah alih.

Memacu perubahan kawal selia 

Oleh kerana pandemik COVID-19 telah memberikan kesan yang negatif kepada kehidupan orang ramai dan melemahkan ekonomi, pengawal selia bertindak balas dengan pelbagai langkah yang bertujuan untuk mengurangkan kesan tersebut. Penyelidikan ini mendapati bahawa pandemik mendesak keperluan baharu untuk mengubah peraturan bagi memudahkan digitalisasi. Dalam kebanyakan pasaran, had transaksi telah dipertingkatkan untuk membolehkan lebih banyak dana mengalir melalui wang mudah alih. Selain itu, memandangkan permintaan untuk pembayaran bukan fizikal juga meningkat, maka sesetengah pengawal selia mengklasifikasikan ejen wang mudah alih dan rantaian bekalan mereka sebagai perkhidmatan penting. Lebih 50 peratus daripada ejen wang mudah alih kekal aktif sepanjang pandemik ini, yang penting untuk kesinambungan perkhidmatan dan mengekalkan kecairan.

Walaupun beberapa pembaharuan kawal selia yang dibuat sebagai tindak balas terhadap pandemik ini telah memberi kesan positif kepada pelanggan dan penyedia, namun pelaksanaan dan lanjutan pengecualian yuran telah memberi kesan negatif kepada aliran pendapatan teras penyedia wang mudah alih. Penyedia wang mudah alih banyak bergantung kepada pendapatan berasaskan transaksi untuk mengekalkan perniagaan mereka. Pengawal selia amat digalakkan untuk bekerjasama rapat dengan industri bagi memastikan kelestarian yang berterusan.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, sila muat turun laporan 'State of the Industry Report on Mobile Money' 2021 di sini: https://www.gsma.com/mobilefordevelopment/resources/state-of-the-industry-report-on-mobile-money-2021. Maklumat lanjut tentang program Wang Mudah Alih GSMA boleh didapati di: www.gsma.com/mobilemoney.

Nota kepada editor
Laporan 'State of the Industry Report on Mobile Money' melaporkan dapatan daripada Global Adoption Survey of Mobile Financial Services (Tinjauan Penerimaan Global terhadap Perkhidmatan Kewangan Mudah Alih) GSMA yang dijalankan secara tahunan dan data daripada Mobile Money Deployment Tracker(Pengesan Penggunaan Wang Mudah Alih) GSMA. Ia memberi pemahaman tentang prestasi wang mudah alih melalui penglibatan GSMA dengan industri tersebut. Laporan ini dibiaya oleh Yayasan Bill dan Melinda Gates.

Tentang GSMA
GSMA mewakili kepentingan pengendali mudah alih di seluruh dunia yang menyatukan lebih 750 pengendali dengan hampir 400 buah syarikat dalam ekosistem mudah alih yang lebih luas yang merangkumi pembuat telefon bimbit dan peranti, syarikat perisian, penyedia peralatan dan syarikat internet serta organisasi dalam sektor industri yang berkaitan. GSMA juga menganjurkan acara MWC yang terkemuka dalam industri yang diadakan setiap tahun di Barcelona, Afrika, Los Angeles dan Shanghai serta persidangan serantau, Thrive Series .

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web korporat GSMA di www.gsma.com. Ikuti GSMA di Twitter: @GSMA.

Hubungan Media:

Pejabat Akhbar GSMA
pressoffice@gsma.com

Logo: https://mma.prnasia.com/media2/1385555/GSMA_Logo.jpg?p=medium600

 

Source: GSMA
Related Links:
Keywords: Banking/Financial Service Entertainment Mobile Entertainment Telecommunications Survey, Polls & Research