omniture

OANDA selesaikan pemerolehan TMS Brokers

OANDA
2021-03-30 15:57 165

LONDON, 30 Mac 2021 /PRNewswire/ -- Peneraju global bagi perkhidmatan perdagangan berbilang aset dalam talian, data mata wang dan analitik, OANDA Global Corporation telah menyelesaikan pemerolehan broker Poland yang terkemuka, Dom Maklerski TMS Brokers SA (TMS). Pembelian tersebut diluluskan oleh Lembaga Penyeliaan Kewangan Poland awal minggu ini.

Gavin Bambury, Ketua Pegawai Eksekutif OANDA, berkata, "Pemerolehan TMS menandakan permulaan era pertumbuhan baharu yang mengujakan untuk OANDA, mewujudkan skala dalam pasaran Poland sekali gus membolehkan kami untuk memperluaskan lagi jejak kami di seluruh Baltik dan Eropah Timur. Di samping itu, pembelian tersebut akan turut membolehkan kami mengukuhkan penawaran hujung-ke-hujung kami, lalu memberi manfaat kepada pelanggan di seluruh dunia. Kami amat tidak sabar-sabar untuk mengalu-alukan pasukan TMS ke OANDA."

"Disokong oleh jenama bertaraf dunia dan warisan integriti, OANDA telah lama menggabungkan kesungguhan terhadap inovasi dengan teknologi canggih bagi membawakan pengalaman perdagangan dalam talian yang menjadi contoh buat pelanggan di serata dunia. Justeru itu, kami berbesar hati untuk menyertai keluarga OANDA pada detik yang mengujakan dalam sejarah 25 tahun firma berkenaan," kata Ketua Pegawai Eksekutif TMS, Marcin Niewiadomski.

Broker berbilang aset yang paling lama di Poland, TMS membolehkan pelanggan melabur dalam pasaran kewangan global, menyediakan akses kepada beribu-ribu produk termasuk mata wang, indeks, komoditi, ekuiti dan dana dagangan bursa daripada bursa utama dunia. Di samping itu, firma berkenaan menyediakan pelanggan dengan akses kepada penasihat berpengalaman, pendidikan andal dan alat dagangan inovatif, yang memperoleh beberapa anugerah utama selama bertahun-tahun.

Sementara itu, OANDA menggabungkan teknologi perdagangan termaju dan pelaksanaan gred institusi dalam pelbagai kelas aset, membolehkan pelanggan mendagangkan indeks pasaran global, komoditi, perbendaharaan, logam berharga dan mata wang melalui salah satu platform perdagangan yang paling pantas dalam pasaran. Firma ini kekal komited untuk membantu pelanggan menjadi pedagang terarah kendiri yang berjaya, menyediakan program pendidikan yang memenangi anugerah, ulasan pasaran yang mutakhir dan sejumlah aplikasi carta dan alat perdagangan canggih.

Pemerolehan TMS memperlihatkan pelaburan kedua oleh OANDA di Poland pada tahun lalu. Pada awal tahun 2020, firma ini menubuhkan sebuah pusat perkhidmatan bersama di Kraków yang kini menggaji hampir 100 kakitangan.

Bambury menyambung, "Sebahagian daripada rancangan pertumbuhan yang bercita-cita tinggi, urus janji TMS ini hanyalah yang pertama daripada beberapa pemerolehan strategik yang ingin kami selesaikan tatkala kami terus mengukuhkan reputasi kami sebagai salah sebuah firma perdagangan runcit yang paling dipercayai di dunia pada tahun-tahun akan datang."

Latar Belakang OANDA

Ditubuhkan pada tahun 1996, OANDA merupakan syarikat pertama yang berkongsi data kadar pertukaran secara percuma di Internet, melancarkan platform perdagangan FX yang membantu merintis pembangunan perdagangan mata wang berasaskan web lima tahun kemudian. Hari ini, kumpulan ini menyediakan perdagangan berbilang aset dalam talian, data mata wang dan analitik kepada pelanggan runcit dan korporat, mempamerkan kepakaran yang tiada tandingan dalam pertukaran asing. Dengan entiti dikawal selia dalam lapan pasaran kewangan yang paling aktif di dunia, OANDA kekal berdedikasi untuk mentransformasikan perniagaan pertukaran asing. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi oanda.com atau ikuti kami di TwitterFacebook atau YouTube.

Latar Belakang TMS

TMS Brokers ialah broker berbilang aset yang paling lama di Poland. Sejak tahun 1997, TMS telah menyediakan perkhidmatan kepada beribu-ribu pelanggan Poland dan Eropah bagi menawarkan perdagangan di FX, CFD pada indeks, stok tunggal dan komoditi melalui platform MT4/MT5 serta aplikasi mudah alih proprietari yang inovatif. Pasukan yang memenangi pelbagai anugerah daripada firma ini membantu individu dan syarikat melalui semua perkhidmatan berkaitan mata wang dan ekuiti termasuk khidmat nasihat dan analisis, pertukaran wang serta penyelesaian pembayaran digital berlesen. TMS Brokers dimiliki sepenuhnya oleh OANDA Global Corporation.

Source: OANDA
Related Links:
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics Acquisitions, mergers, takeovers Data Analytics