omniture

International Finance Corporation dan Mitsui bakal labur kira-kira US$60 juta dalam MiCare Health Technologies berpangkalan di Singapura

Pelaburan strategik untuk membantu mengembangkan perniagaan jagaan bersepadu terurus dalam pasaran utama Asia Tenggara dan membawa penyelesaian digital yang inovatif kepada pelanggan
Zuellig Pharma
2021-05-31 09:00 66

SINGAPURA, 31 Mei 2021 /PRNewswire/ -- MiCare HealthTEC Holdings Pte Ltd ("MiCare"), subsidiari Zuellig Pharma dan pemberi tuntutan perubatan yang utama di wilayah ini, mengumumkan bahawa International Finance Corporation (IFC), anggota World Bank Group dan Mitsui & Co. (Asia Pacific) Pte. Ltd. ("Mitsui"), subsidiari Mitsui & Co, akan melabur kira-kira sebanyak US$60 juta dalam syarikat berkenaan. Zuellig Pharma akan kekal sebagai pemegang saham terbesar MiCare dan MiCare akan terus dipimpin oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Moses Hee.

International Finance Corporation and Mitsui to invest c.US$60 million in Singapore-based MiCare Health Technologies
International Finance Corporation and Mitsui to invest c.US$60 million in Singapore-based MiCare Health Technologies

Pelaburan strategik ini akan digunakan untuk membiayai pengembangan MiCare dalam pasaran utama Asia Tenggara termasuk Indonesia dan Vietnam serta untuk menubuhkan ibu pejabat serantau yang baharu di Singapura. Baker McKenzie merupakan penasihat undang-undang yang dilantik untuk urusan pelaburan ini.

MiCare ialah sebuah organisasi jagaan terurus ("MCO") yang memberi, memproses dan mengurus tuntutan perubatan pemegang polisi dan ahli bagi pihak syarikat insurans dan klien korporat swainsurans. Syarikat ini turut membina aplikasi yang menghubungkan penggiat utama dalam sektor rawatan kesihatan seperti doktor, pesakit, hospital, klinik dan farmasi bagi memudahkan pengurusan tuntutan perubatan yang lancar dan cekap. MiCare memiliki lebih daripada 13 juta ahli di tiga negara iaitu Malaysia, Thailand dan Filipina serta sedang berusaha untuk terus berkembang di rantau ini.

"Kami telah berkembang maju sejak tahun 2006 apabila MiCare bermula di Malaysia sebagai pemberi tuntutan perubatan pihak ketiga yang memiliki hanya seramai 200 ahli. Hasil daripada ketekunan dan tumpuan dengan satu tujuan daripada pasukan yang komited, hari ini kumpulan ahli kami telahpun berkembang kepada lebih daripada 13 juta ahli di tiga negara," kata Moses Hee, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, MiCare.

"Tatkala kami menantikan peluang untuk memulakan fasa pertumbuhan MiCare yang seterusnya, kami amat teruja untuk mengalu-alukan IFC dan Mitsui sebagai rakan-rakan kongsi strategik ke dalam keluarga MiCare. Pelaburan ini akan membantu kami untuk terus meningkatkan penawaran pelanggan kami dengan mengukuhkan keupayaan digital kami dan membolehkan kami untuk memperkenalkan penyelesaian yang inovatif melalui perkongsian dengan penggiat ekosistem rawatan kesihatan seperti syarikat farmaseutikal dan teleperubatan. Hal ini selaras dengan misi kami untuk membantu mengurus kenaikan kos perubatan dan meningkatkan kemampuan rawatan kesihatan dan hasil untuk pesakit. Kami juga akan berkembang ke geografi baharu di ASEAN bagi mendekati komuniti yang terabai seperti di Indonesia dan Vietnam bagi menjadikan perkhidmatan rawatan kesihatan lebih mudah dicapai," tambah Hee.

MiCare memfokuskan tiga hambatan dalam menangani kenaikan kos rawatan kesihatan iaitu penipuan, pembaziran dan penyalahgunaan. Syarikat ini mempunyai pengalaman yang luas dalam mengurus dan mengadili tuntutan perubatan dengan menggunakan platform digital mantap yang dikuasakan oleh enjin pengesanan penipuan AI dan alat analitik prediktif. Ia turut menyediakan program pengurusan kesejahteraan dan penyakit termasuk perkongsian bersama syarikat farmaseutikal dalam pelbagai program pengurusan penyakit kronik, menyediakan perkhidmatan kesihatan pekerjaan, penyelesaian digital, teleperubatan dan perkhidmatan analitik data.

"MiCare sentiasa menjadi tonggak pertumbuhan yang utama untuk Zuellig Pharma dan pengembangan ini merupakan langkah yang penting menuju matlamat kami untuk menjadi perniagaan perkhidmatan rawatan kesihatan bersepadu sepenuhnya yang memberi nilai dengan bertindak sebagai penghubung dalam ekosistem rawatan kesihatan. Kolaborasi ini turut menandakan pemecutan pertumbuhan dalam bidang yang semakin penting untuk semua pemegang kepentingan dan memperluas keupayaan kami untuk mencapai misi kami bagi menjadikan perkhidmatan rawatan kesihatan lebih mudah diakses di rantau ini," kata John Graham, Ketua Pegawai Eksekutif Zuellig Pharma.

"Pelaburan kami dalam MiCare akan membantu membawakan proses pemberian tuntutan perubatan yang mantap dan alat digital proprietari yang canggih kepada pasaran-pasaran yang terabai di Asia Tenggara, menyokong syarikat insurans dan penyedia dengan alat teknologi yang diperlukan demi penyampaian rawatan kesihatan yang lebih cekap dan berkesan," kata Rana Karadsheh, Pengarah Industri Serantau untuk Pembuatan, Perniagaan Tani dan Perkhidmatan, Asia Pasifik di IFC. "Urus niaga ini menandakan pelaburan pertama oleh IFC dalam sektor MCO dan menunjukkan komitmen kami untuk menyokong kaedah yang inovatif bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan rawatan kesihatan menggunakan teknologi digital. Kami tidak sabar-sabar untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan syarikat di rantau ini."

"Kesihatan dan kesejahteraan merupakan aspek penting dalam strategi pertumbuhan kami dan kami bermatlamat untuk membina platform perkhidmatan kesejahteraan yang berkualiti tinggi bagi memenuhi kehendak yang semakin meningkat di Asia. Pelaburan kami dalam MiCare melengkapkan portolio perniagaan rawatan kesihatan Mitsui di rantau ini dan menunjukkan komitmen kami dalam menyokong pembangunan sistem rawatan kesihatan yang berkualiti tinggi, menjimatkan kos dan mampan," kata Koji Nagatomi, Ketua Pegawai Eksekutif, Mitsui & Co. (Asia Pacific).

Ketika ini MiCare memproses tuntutan perubatan bernilai kira-kira US$400 juta setiap tahun. Syarikat ini mengurus dan memberi tuntutan perubatan kepada lebih 45 syarikat insurans di rantau ini, menawarkan perkhidmatan kepada lebih daripada 6,500 pelanggan korporat di lebih 5,000 hospital, klinik dan farmasi.

Latar Belakang MiCare

Beribu pejabat di Singapura, MiCare Healthtec Holdings Pte Ltd ("MiCare"), subsidiari Zuellig Pharma, ialah sebuah organisasi jagaan terurus terkemuka yang mempunyai pengalaman selama lebih 15 tahun dalam adjudikasi tuntutan perubatan, pengurusan faedah dan menyediakan perkhidmatan pusat panggilan kepada pembayar (termasuk syarikat insurans dan syarikat korporat swainsurans), menghubungkan pemegang kepentingannya melalui platform digitalnya yang canggih. MiCare turut menyediakan program pengurusan kesejahteraan dan penyakit termasuk perkongsian bersama syarikat farmaseutikal dalam pelbagai program pengurusan penyakit kronik, menyediakan perkhidmatan kesihatan pekerjaan, penyelesaian digital, teleperubatan dan perkhidmatan analitik data. Melalui rangkaian perkhidmatannya yang komprehensif, MiCare membolehkan pembayar mengurus kos rawatan kesihatan, menjejak perbelanjaan rawatan kesihatan, meminimumkan tugas pentadbiran, mengenal pasti penipuan, pembaziran dan penyalahgunaan melalui sistem adjudikasi tuntutan didayakan AInya sekali gus memastikan penyediaan penjagaan yang berkesan dan berkualiti tinggi.

MiCare mengurus dan memberi tuntutan perubatan kepada lebih 45 syarikat insurans di rantau ini, menawarkan perkhidmatan kepada lebih daripada 6,500 pelanggan korporat di lebih 5,000 hospital, klinik dan farmasi. Setakat ini, syarikat ini telah membantu memberi dan mengurus rekod tuntutan perubatan untuk lebih daripada 13 juta ahli.

Latar Belakang IFC

IFC—anggota World Bank Group—ialah institusi pembangunan global terbesar yang memberi tumpuan pada sektor swasta dalam pasaran baru muncul. Kami berkhidmat di lebih daripada 100 negara, menggunakan modal, kepakaran dan pengaruh kami untuk mewujudkan pasaran serta peluang di negara-negara sedang membangun. Pada tahun fiskal 2020, kami melabur sebanyak $22 bilion dalam syarikat swasta serta institusi kewangan di negara-negara sedang membangun, memanfaatkan kuasa sektor swasta bagi membasmi kemiskinan melampau dan meningkatkan kemakmuran bersama. Untuk maklumat lanjut, kunjungi www.ifc.org.

Latar Belakang Mitsui

Mitsui memiliki lebih 5,600 pekerja dan memanfaatkan bakat di seluruh dunia untuk mengenal pasti, membangunkan dan mengembangkan perniagaan dengan kerjasama jaringan global rakan kongsi yang dipercayai. Mitsui telah membina portfolio perniagaan teras yang mantap dan pelbagai yang mencakupi industri Sumber Mineral dan Logam, Tenaga, Jentera dan Infrastruktur serta Bahan Kimia.

Memanfaatkan kekuatannya, Mitsui telah mempelbagaikan selanjutnya melangkaui tonggak keuntungan utamanya bagi mencipta nilai berbilang aspek dalam bidang baharu termasuk Penyelesaian Tenaga, Rawatan Kesihatan & Pemakanan yang inovatif serta melalui tumpuan yang strategik ke atas pasaran Asia dengan pertumbuhan tinggi. Strategi ini bermatlamat untuk memperoleh peluang pertumbuhan dengan memanfaatkan beberapa trend mega yang utama di dunia: kemampanan, kesihatan & kesejahteraan, pendigitalan serta kuasa pengguna yang semakin berkembang.

Mitsui mempunyai warisan yang panjang di Asia yang mana ia telah mewujudkan portfolio perniagaan serta rakan kongsi yang pelbagai dan strategik yang memberikannya kelebihan pembezaan yang mantap, memberi akses yang luar biasa kepada semua rakan kongsi global ke wilayah yang berkembang paling pantas di dunia serta mengukuhkan portfolio antarabangsanya. Untuk maklumat lanjut mengenai perniagaan Mitsui & Co. kunjungi, www.mitsui.com.

Source: Zuellig Pharma
Keywords: Banking/Financial Service Health Care/Hospital Financing agreements