omniture

Data global terkini mendapati hampir 8 juta kematian berpunca daripada tabiat merokok pada tahun 2019 dan 90% daripada perokok baharu mengalami ketagihan pada usia 25 tahun

Institute for Health Metrics and Evaluation
2021-05-31 19:43
  • Jumlah perokok global terus meningkat dan tabiat merokok mengakibatkan hampir 8 juta kematian pada tahun 2019 termasuk satu daripada lima kematian kaum lelaki.
  • 90% perokok baharu mengalami ketagihan pada usia 25 tahun - mencegah remaja daripada memulakannya adalah penting untuk mengubah haluan epidemik ini bagi generasi akan datang.
  • Negara-negara perlu memenuhi komitmen mereka untuk menerima pakai dan menguatkuasakan dasar kawalan tembakau yang berkesan termasuk cukai yang lebih tinggi ke atas produk tembakau. Mengharamkan iklan tembakau termasuk melalui media sosial dan persekitaran yang bebas rokok boleh terus membantu mencegah bermulanya tabiat merokok dalam kalangan anak muda.
  • Walaupun kebiasaan standard umur global merokok berkurangan dengan ketara antara tahun 1990 dan 2019 manakala perkembangan yang sama tidak diperhatikan pada tembakau kunyah - dengan kadar penggunaan sebanyak 25% mengikut umur yang diselaraskan pada kaum lelaki berusia lebih 15 tahun di Asia Selatan.

SEATTLE, 31 Mei 2021 /PRNewswire/ -- Data paling komprehensif tentang trend merokok global menunjukkan kemudaratan kesihatan global yang sangat tinggi. Bilangan perokok di seluruh dunia telah meningkat kepada 1.1 bilion pada tahun 2019 dengan tabiat merokok tembakau menyebabkan 7.7 juta kematian - termasuk 1 daripada 5 kematian golongan lelaki di seluruh dunia.

Kebimbangan paling utama ialah kadar merokok yang sentiasa tinggi dalam kalangan anak muda dengan lebih separuh daripada negara-negara di seluruh dunia tidak menunjukkan sebarang perkembangan dalam mengurangi tabiat merokok pada individu berusia 15-24 tahun. 89% daripada perokok baharu mengalami ketagihan pada usia 25 tahun. Melindungi anak muda daripada ketagihan nikotin pada ambang usia berharga ini adalah penting untuk menghapuskan penggunaan tembakau generasi akan datang.

Menggunakan data daripada tinjauan terhadap 3,625 orang yang mewakili negara masing-masing, tiga kajian baharu yang diterbitkan dalam The Lancet dan The Lancet Public Health dengan kerjasama Global Burden of Disease yang diketuai oleh Institute for Health Metrics and Evaluation menyediakan anggaran global tentang kebiasaan merokok di 204 buah negara pada golongan lelaki dan wanita berusia 15 tahun ke atas termasuk usia mula merokok, penyakit yang berkaitan dan risiko dalam kalangan perokok semasa dan bekas perokok serta analisis trend global pertama dalam penggunaan tembakau kunyah.

Diterbitkan lebih awal daripada World No Tobacco Day (Hari Tanpa Tembakau Sedunia) (31 Mei), pengarang menyeru semua negara untuk segera mengguna pakai dan menguatkuasakan pakej komprehensif yang mengandungi polisi berasaskan bukti bagi mengurangkan kebiasaan penggunaan tembakau dan mencegah perbuatan memulakannya terutamanya pada golongan remaja dan anak muda.

"Merokok merupakan faktor risiko utama yang mengancam kesihatan manusia di seluruh dunia, bahkan inisiatif kawalan tembakau juga tidak mencukupi dan menyedihkan di kebanyakan negara di seluruh dunia. Kebiasaan merokok yang sentiasa tinggi dalam kalangan anak muda di kebanyakan negara serta pengembangan produk tembakau dan nikotin baharu menandakan keperluan mendesak untuk menggandakan kawalan tembakau. Jika seseorang tidak menjadi perokok biasa pada usia 25 tahun, mereka tidak mempunyai kecenderungan untuk menjadi perokok. Ini merupakan peluang yang amat penting bagi campur tangan yang boleh menghalang golongan muda daripada mula merokok dan meningkatkan kesihatan mereka seumur hidup," kata Profesor Emmanuela Gakidou, pengarang kanan, Institute for Health Metrics and Evaluation (IHME), University of Seattle, Washington.  [1]

Peningkatan bilangan perokok menandakan peningkatan dalam usaha memerangi kawalan tembakau global

Sejak tahun 1990, kebiasaan merokok global dalam kalangan kaum lelaki menurun sebanyak 27.5% dan sebanyak 37.7% dalam kalangan wanita. Walau bagaimanapun, dua puluh buah negara menyaksikan peningkatan yang signifikan dalam kebiasaan tersebut dalam kalangan kaum lelaki dan 12 negara menyaksikan peningkatan ketara dalam kalangan wanita.

Bagi separuh daripada negara-negara, pengurangan dalam kebiasaan tersebut tidak selari dengan pertumbuhan penduduk dan bilangan perokok semasa telah meningkat. Sepuluh buah negara dengan jumlah perokok tembakau terbesar pada tahun 2019 telah bersama-sama menyumbang kepada hampir dua pertiga populasi perokok tembakau global iaitu China, India, Indonesia, AS, Rusia, Bangladesh, Jepun, Turki, Vietnam dan Filipina - satu daripada tiga perokok tembakau semasa (341 juta) tinggal di China.

Pada tahun 2019, merokok dikaitkan dengan 1.7 juta kematian akibat penyakit jantung iskemik, 1.6 juta kematian akibat penyakit paru-paru obstruktif yang kronik, 1.3 juta kematian akibat kanser trakea, bronkus dan paru-paru serta hampir 1 juta kematian diakibatkan oleh strok. Kajian sebelum ini telah menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya satu daripada dua perokok jangka panjang akan mati akibat punca yang dikaitkan secara langsung dengan merokok dan perokok mempunyai purata jangka hayat yang 10 tahun lebih rendah daripada mereka yang tidak pernah merokok.

Kira-kira 87% kematian berpunca daripada merokok tembakau dalam kalangan perokok semasa. Hanya 6% daripada kematian global dikaitkan dengan penggunaan tembakau rokok oleh individu yang telah berhenti merokok sekurang-kurangnya 15 tahun sebelum itu, menunjukkan manfaat kesihatan yang penting setelah berhenti merokok.

7.4 trilion produk yang setara rokok tembakau (gabungan produk tembakau berasap termasuk rokok yang dikilangkan, rokok gulung, cerut, cigarillo, paip, shisha dan produk serantau seperti bidi dan kretek) telah digunakan pada tahun 2019 yang berjumlah hingga 20.3 bilion setiap hari di seluruh dunia. Negara-negara yang menyaksikan penggunaan per individu tertinggi kebanyakannya dari Eropah. Di peringkat global, satu daripada tiga perokok lelaki dan satu daripada lima perokok wanita menggunakan 20 atau lebih produk yang menyamai rokok setiap hari.

15-24 tahun: ambang usia yang penting untuk mengubah haluan epidemik tembakau

"Kajian tingkah laku dan biologi menunjukkan bahawa golongan muda sangat terdedah kepada ketagihan dan dengan kadar pemberhentian yang sukar dicapai di seluruh dunia, epidemik tembakau akan berterusan untuk tahun-tahun akan datang melainkan jika negara boleh mengurangkan jumlah perokok baharu secara dramatik setiap tahun. Dengan sembilan daripada sepuluh perokok bermula sebelum usia mereka mencecah 25 tahun, memastikan golongan muda kekal bebas rokok ketika di pertengahan umur dua puluhan akan menghasilkan pengurangan yang ketara dalam kadar merokok generasi akan datang," kata Marissa Reitsma, ketua pengarang untuk kajian merokok IHME. [1]

Pada tahun 2019, terdapat kira-kira 155 juta perokok berusia antara 15 hingga 24 tahun – menyamai 20.1% daripada pemuda dan 5.0% daripada pemudi di seluruh dunia.

Dua pertiga (65.5%) daripada semua perokok semasa mula merokok ketika berusia 20 tahun dan 89% perokok bermula ketika berusia 25 tahun. Ini menunjukkan ambang umur yang penting ketika individu mula menjadi ketagih nikotin dan beralih menjadi perokok tegar.

Pada tahun 2019 di 12 buah negara dan wilayah, lebih satu daripada tiga orang anak muda merupakan perokok semasa termasuklah Bulgaria, Croatia, Latvia, Perancis, Chile, Turki dan Greenland serta lima buah pulau Pasifik.

Di peringkat global, kebiasaan merokok di kalangan anak muda menurun antara tahun 1990 hingga 2019 dalam kalangan kedua-dua pemuda (-32.9%) dan juga pemudi (-37.6%). Perkembangan adalah berbeza-beza mengikut negara dengan hanya 81 buah negara mencapai penurunan yang signifikan dalam kebiasaan ini pada golongan muda. Lebih daripada separuh negara tidak mengalami sebarang perubahan. 

Di kebanyakan negara, perkembangan dalam mengurangkan kebiasaan merokok tidak selari dengan peningkatan populasi mengakibatkan peningkatan yang signifikan dalam bilangan perokok muda. India, Mesir dan Indonesia mempunyai peningkatan yang benar-benar tinggi dari segi bilangan perokok muda lelaki. Turki, Jordan dan Zambia mempunyai peningkatan tertinggi dari segi bilangan perokok muda wanita.

Secara global, purata umur individu mula merokok ialah pada usia 19 tahun. Purata umur permulaan merokok termuda diperhatikan di Eropah dan Amerika – dengan purata umur permulaan merokok paling muda di Denmark (16.4). Purata umur permulaan merokok tertua dilihat di Asia Timur dan Selatan serta Afrika sub-Sahara – dengan purata umur permulaan merokok tertua di Togo (22.5 tahun).

Reitsma menambah: "Secara khususnya, di negara-negara yang menyaksikan penurunan kebiasaan merokok yang ketara dalam kalangan anak muda, usia permulaan merokok kekal konsisten sepanjang masa. Ini merupakan bukti yang memberangsangkan bahawa pembendungan benar-benar dapat menghalang tabiat merokok berbanding sekadar melewatkan usia permulaan merokok."

Peraturan tembakau kunyah yang lebih tegas diperlukan terutama di Asia Selatan

Di seluruh dunia, 273.9 juta orang telah menggunakan tembakau kunyah pada tahun 2019 bersamaan dengan kebiasaan penyelarasan usia sebanyak 6.5% pada golongan lelaki dan hampir 3% pada wanita berusia lebih 15 tahun. Kebanyakan orang (228.2 juta; 83.3%) yang menggunakan tembakau kunyah pada tahun 2019 tinggal di rantau Asia Selatan. Populasi penduduk terbesar yang menggunakan tembakau kunyah ialah di India dengan 185.8 juta pengguna bersamaan dengan 68% daripada semua pengguna tembakau kunyah di seluruh dunia. Bangladesh, Nepal dan Bhutan juga mempunyai kebiasaan yang sangat tinggi bagi penggunaan tembakau kunyah.

"Risiko kesihatan bagi tembakau kunyah didokumenkan dengan baik termasuk bukti yang kukuh tentang peningkatan risiko kanser mulut. Walaupun kebiasaan merokok global telah menurun, namun tidak bagi tembakau kunyah sekali gus mencadangkan bahawa inisiatif kawalan telah memberi kesan yang lebih besar terhadap kebiasaan tembakau rokok berbanding tembakau kunyah di sesetengah negara. Peraturan dan dasar yang lebih kukuh yang menyasarkan penggunaan tembakau kunyah adalah diperlukan, terutama di negara-negara Asia Selatan yang mempunyai kebiasaan yang tinggi," kata Parkes Kendrick, ketua pengarang kajian tentang tembakau kunyah, IHME. [1]

Campur tangan industri dan komitmen politik yang semakin berkurangan mendesak tindakan segera terhadap kawalan tembakau

Perjanjian kesihatan awam antarabangsa pertama iaitu Framework Convention on Tobacco Control WHO (WHO FCTC) telah dikuatkuasakan dan menjadi undang-undang antarabangsa pada tahun 2005. FCTC WHO menggariskan campur tangan berdasarkan bukti termasuk mengurangkan kemampuan memiliki produk tembakau melalui percukaian, kelulusan undang-undang bebas rokok yang komprehensif, sekatan jualan kepada remaja bawah umur, mandat amaran kesihatan pada pembungkusan dan pengharaman iklan, promosi dan tajaan tembakau.

Sejak tahun 2005, FCTC telah disahkan oleh 182 pihak tetapi setakat tahun 2018, hanya 62 buah negara mempunyai polisi bebas rokok yang komprehensif; 23 menawarkan perkhidmatan sokongan pemberhentian penuh; 91 memandatkan amaran kesihatan melalui gambar; 48 melaksanakan pengharaman iklan, promosi dan tajaan yang komprehensif; dan 38 melaksanakan tahap cukai tembakau yang disyorkan.

Cukai tembakau ialah langkah yang sangat menjimatkan kos, terutamanya apabila digabungkan dengan pendekatan progresif untuk mengedarkan semula hasil yang diperoleh daripada cukai tersebut bagi program kawalan tembakau, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan sokongan sosial yang lain. Mengurangkan kemampuan untuk memiliki adalah sangat berkesan terutama dalam menurunkan kadar merokok dalam kalangan anak muda.

Antara tahun 2008 dan 2018, kemampuan memiliki rokok menurun hanya kepada 33% di negara berpendapatan rendah berbanding 38% di negara berpendapatan sederhana dan 72% di negara berpendapatan tinggi. Negara berpendapatan rendah dan sederhana menghadapi cabaran tambahan dalam pertumbuhan penduduk yang memperluas populasi perokok mereka. Namun begitu, hanya satu negara berpendapatan rendah iaitu Madagascar yang mengenakan cukai tembakau pada kadar yang disyorkan oleh WHO.

Oleh kerana industri tembakau berinovasi dengan memanfaatkan media sosial, strategi kawalan terhadap tembakau juga harus diperkembangkan. Perisa juga boleh memainkan peranan penting dalam menarik belia kepada tembakau, khususnya dengan kemunculan penggunaan e-rokok. Pengharaman semua jenis perisa termasuk mentol ke atas semua produk yang mengandungi nikotin termasuk produk tembakau rokok, produk tembakau tanpa rokok, e-rokok dan produk tembakau yang dipanaskan merupakan pendekatan yang memberangsangkan untuk mengurangkan permintaan anak-anak muda.

Kebanyakan negara melaksanakan undang-undang membeli rokok yang ditetapkan pada usia sama ada 16 atau 18 tahun, tetapi tiga perempat daripada perokok memulakannya pada usia 21 tahun. Pengarang menunjukkan bahawa terdapat bukti yang menggalakkan daripada sesetengah kajian yang menunjukkan kesan meningkatkan usia pembelian rokok secara sah terhadap kadar merokok. Di peringkat global, purata umur paling tua minimum yang diperhatikan di peringkat negara ialah 21 tahun iaitu di enam buah negara (AS, Uganda, Honduras, Sri Lanka, Samoa dan Kuwait) yang menjadi penanda aras.

Dr. Vin Gupta, pengarang bersama IHME berkata: "Walaupun terdapat perkembangan di sesetengah negara, campur tangan industri tembakau dan komitmen politik yang semakin berkurangan telah menghasilkan jurang yang besar dan berterusan antara pengetahuan dan tindakan terhadap kawalan tembakau global. Pengharaman iklan, promosi dan tajaan hendaklah diperluas kepada media berasaskan Internet, namun hanya satu daripada empat buah negara telah mengharamkan semua bentuk pengiklanan langsung dan tidak langsung. Walaupun terdapat hubungan yang jelas dengan permulaan merokok dalam kalangan belia, kurang daripada 60 buah negara telah bertindak walaupun sekadar mengharamkan sebahagian perisa pada produk tembakau. Adalah amat penting untuk menutup kelemahan ini bagi melindungi anak muda daripada pengaruh tembakau." [1]

Akhir sekali, pengarang menerangkan tentang halangan yang wujud dalam ketiga-tiga kajian tersebut termasuk data penggunaan tembakau yang berdasarkan laporan kendiri, umur permulaan merokok yang mungkin tertakluk kepada pincang ingatan kembali dan kesan kesihatan akibat merokok yang tidak merangkumi perokok pasif. Analisis ini memberi tumpuan kepada produk tembakau rokok dan tembakau kunyah dan tidak mencerminkan e-rokok (serta sistem penyampaian nikotin elektronik yang lain) atau produk tembakau yang dipanaskan.

Dalam Ulasan yang berkaitan, Alan Blum dan Ransome Eke dari University of Alabama, Tuscaloosa, USA (yang tidak terlibat dalam kajian ini) menulis: "Cara menangani pandemik merokok global telah menjadi suatu dilema yang berterusan. Kawalan tembakau—istilah yang diguna pakai oleh akademia 1990-an untuk mengekalkan aktiviti antimerokok radikal yang berakar umbi secara jarak jauh—kekal diterapkan dalam penyelidikan deskriptif yang menjana data bagi menyokong polisi yang bertujuan untuk mengurangkan tabiat merokok. Walau bagaimanapun, misalnya, ia bukan seperti mengawal nyamuk, vektor—industri tembakau—bertahan dan berkembang maju. Dan umpama virus yang bermutasi, ia menyesuaikan diri dengan percubaan undang-undang dan kawal selia yang bertujuan menghalang jualan, promosi dan penggunaan produknya. Cukai atau cukai barangan terlarang tidak semestinya menjadi dasar kawalan tembakau yang paling berkesan, malah untuk mengatakan sedemikian berisiko sebagai suatu persendaan. Cukai rokok boleh ditetapkan pada kadar yang cukup tinggi untuk menghancurkan industri tembakau tetapi tiada kerajaan yang akan sanggup melaksanakan sedemikian. Mereka bergantung kepada pendapatan ini untuk pengurangan defisit dan untuk perkara lain selain menghentikan tabiat merokok…. Industri tembakau kekal sebagai halangan utama kepada usaha mengawal tembakau. Pembuatan rokok milik negara— terutamanya tembakau China, memonopoli pasaran rokok terbesar di dunia—menimbulkan cabaran yang menggentarkan kesihatan awam. Amerika Syarikat, UK, Jepun, Korea, Switzerland dan Sweden adalah antara negara-negara yang mempunyai syarikat tembakau yang berkuasa... Segala harapan untuk menamatkan pandemik tembakau bergantung pada komitmen setiap para profesional kesihatan untuk menjadikan pencegahan, pemberhentian dan pencegahan merokok berulang sebagai suatu keutamaan."

NOTA KEPADA EDITOR
Penyelidikan ini telah dibiayai oleh Bloomberg Philantrophies dan Bill & Melinda Gates Foundation.

[1] Dipetik secara langsung daripada pengarang dan tidak boleh ditemui dalam teks Artikel.

Artikel tentang trend global dalam rokok tembakau ( The Lancet ) http://www.thelancet.com/journals/lancet/article/PIIS0140-6736(21)01169-7/fulltext  
Artikel tentang permulaan dalam kalangan belia ( The Lancet Public Health )
http://www.thelancet.com/journals/lanpub/article/PIIS2468-2667(21)00102-X/fulltext  
Artikel tentang tembakau kunyah ( The Lancet Public Health )
http://www.thelancet.com/journals/lanpub/article/PIIS2468-2667(21)00065-7/fulltext  

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1156878/IHME_Logo.jpg?p=medium600 

 

 

Source: Institute for Health Metrics and Evaluation
Keywords: Health Care/Hospital Tobacco Survey, Polls & Research