BEIJING, 9 Jun 2021 /PRNewswire/ -- Sekawan gajah liar Asia meninggalkan Kawasan Simpanan Alam Semula Jadi Kebangsaan Xishuangbanna di Wilayah Yunnan, barat daya China dan mula bergerak ke arah utara pada pertengahan Mac lalu. Selepas melewati beberapa buah daerah dan sesekali merayau-rayau ke kawasan perkampungan dan bandar, gajah tersebut berhenti dan berehat di kawasan pinggir bandar Kota Kunming.
Bilangan gajah dalam kawanan tersebut berubah apabila perjalanan gajah tersebut diteruskan. Kiraan terkini ialah 14 ekor selepas seekor gajah jantan meninggalkan kawanan tersebut.
Apa yang membuatkan haiwan terancam ini meninggalkan habitatnya dan bergerak ke arah utara masih tidak dapat dipastikan. Menurut beberapa pakar, alasannya berkemungkinan kerana proses perlindungan alam sekitar di kawasan berkenaan telah memberi habitat yang baik untuk gajah Asia, seraya membolehkan gajah tersebut membiak lebih banyak. Pergerakan tersebut mungkin merupakan satu penyebaran populasi dengan keadaan yang membolehkan kumpulan gajah tersebut meninggalkan kawasan berkenaan dan mencari habitat baharu.
Pihak berkuasa tempatan di tempat-tempat yang dikunjungi oleh gajah tersebut kesemuanya telah menjalankan rancangan tindak balas yang komprehensif demi memastikan keselamatan manusia mahupun gajah tersebut. Di Kota Yuxi dan juga Kota Kunming, rancangan luar jangka telahpun dilancarkan dengan peralatan termasuk pesawat tanpa pemandu yang digunakan untuk terus memantau aktiviti gajah berkenaan dan trak muk kecemasan dihantar untuk menyekat jalan-jalan sekitar ke kampung tersebut. Orang ramai diatur dengan cepat untuk mengosongkan kawasan berkenaan sekiranya perlu dan makanan turut digunakan untuk menarik gajah tersebut jauh dari kawasan bandar.
Gajah Asia berada di bawah perlindungan negara kelas pertama di China dan disenaraikan sebagai haiwan terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar Senarai Merah Spesies Terancam. Populasi gajah liar Asia semakin meningkat di China, bermula daripada 180 ekor pada tahun 1980-an menjadi kira-kira 300 ekor ketika ini.
Penghijrahan gajah liar di China telahpun mendapat tumpuan antarabangsa. Outlet-outlet media termasuk TV Asahi, BBC dan New York Times melaporkan perjalanan berterusan haiwan tersebut, menganalisis sebab yang mungkin timbul di sebalik penghijrahan berkenaan.