omniture

Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Coca-Cola dan Kumpulan Alibaba akan Menerajui Lembaga Pengarah Forum Barangan Pengguna

The Consumer Goods Forum
2021-06-29 19:24 14

PARIS, 29 Jun 2021 /PRNewswire/ -- Forum Barangan Pengguna (CGF), sebuah badan global yang bertekad memacu perubahan positif dalam segenap bidang industri barangan pengguna, hari ini mengumumkan pelantikan dua orang Pengerusi Bersama Lembaga Pengarahnya: Daniel Zhang, Pengerusi & CEO Kumpulan Alibaba, dan James Quincey, Pengerusi & CEO Syarikat Coca-Cola. Pengumuman tersebut dibuat selepas mesyuarat Lembaga Pengarah yang diadakan semasa Persidangan Kemuncak Global tahun ini, yang diadakan secara maya buat kali pertama.

Gandingan mereka berdua akan menerajui Lembaga CGF selama dua tahun bagi menggantikan Pengerusi Bersama yang tamat perkhidmatannya iaitu Özgür Tort, CEO Migros Ticaret, dan Emmanuel Faber, bekas Pengerusi & CEO Danone. Selain daripada itu, Frans Muller, CEO Ahold Delhaize, dan Alan Jope, CEO Unilever, telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Bersama.

James dan Daniel mengambil alih peranan sebagai Pengerusi Bersama berikutan tempoh mencabar yang diakibatkan oleh pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan peningkatan keperluan bagi syarikat-syarikat untuk menunjukkan kepada pengguna, pekerja dan pelabur bahawa mereka sedang aktif berusaha untuk menangani cabaran-cabaran hari ini dari segi kelestarian, kesihatan dan keselamatan. CGF juga telah menjalani peralihan strategiknya sendiri dengan penubuhan lapan Gabungan Tindakan. Manakala gabungan ini telah berjaya dilancarkan, James dan Daniel akan memainkan peranan sebagai pemimpin dalam memastikan ahli-ahli CGF menyegerakan tindakan di lapangan dalam wilayah-wilayah di serata dunia.

James Quincey, Pengerusi & CEO Syarikat Coca-Cola, berkata, "Saya berbesar hati menyertai Lembaga CGF, satu organisasi unik yang bekerja untuk melindungi planet ini dan penduduknya. Özgür dan Emmanuel telah menjalankan tugas dengan cemerlang dan saya teruja untuk meneruskan usaha mereka bagi mendapatkan penyelesaian yang lestari terhadap cabaran-cabaran yang kita hadapi sebagai sebuah industri. Bersama-sama dengan Daniel dan Gabungan Tindakan CGF, kami akan berusaha di bawah satu agenda yang hebat demi membina satu perkongsian masa depan yang lebih baik untuk semua".

Daniel Zhang, Pengerusi & CEO Alibaba Group, berkata, "Saya berbesar hati menjadi Pengerusi Bersama Lembaga CGF yang pertama dari syarikat multinasional yang dilahirkan di China, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan saya dalam Lembaga atas kepercayaan yang diberikan ini. Di bawah kepemimpinan teguh Özgür dan Emmanuel, CGF telah melibatkan lebih banyak pihak berkepentingan dan meletakkan penekanan yang lebih besar terhadap sokongan pelaksanaan. Bersama-sama dengan James, saya teruja dan bersemangat untuk menyambung usaha di atas asas ini dengan menggalakkan perwakilan yang lebih meluas dan merangkumi keseluruhan keahlian CGF, sambil kita berusaha untuk mentransformasikan industri ini demi menangani cabaran-cabaran dan mengambil peluang-peluang masa depan".

Merenung semula semasa beliau menjadi Pengerusi Bersama, Özgür Tort, CEO Migros Ticaret, berkata, "Kelestarian dan kecekapan telah menjadi sesuatu yang semakin penting dan relevan bagi kita semua semasa pandemik ini. Dalam zaman yang penuh dengan ketidakpastian ini, kami menyediakan perkhidmatan tanpa batasan. Apabila era baru menjelang, kita proaktif dalam mentakrifkan semula amalan kita untuk menjadikannya relevan dalam realiti baharu ini. Dalam CGF, kami telah menubuhkan lapan Gabungan Tindakan berasingan, setiap satu dengan misi dan bidang kuasa sendiri untuk mewujudkan satu dunia yang lestari dan menghasilkan perubahan positif. Setiap Gabungan menemukan pemimpin-pemimpin korporat dari pelbagai sektor dengan sasaran untuk menumpukan kepada penyelesaian baharu untuk masa depan planet kita. Dengan melakukan perkara ini, CGF telah mencipta satu struktur yang lebih terangkum dan pelbagai. Struktur yang fleksibel ini akan mengilhamkan inisiatif baharu di seluruh dunia".

Wai-Chan Chan, Pengarah Urusan, Forum Barangan Pengguna, berkata, "Özgür dan Emmanuel telah menjalankan tugas yang cemerlang sewaktu tempoh yang sangat mencabar ini. Di bawah kepimpinan mereka, CGF telah menumpukan perhatian semula dalam memastikan impak positif di lapangan berlaku lebih cepat dan lebih berkesan dan kami kini telah mula melihat manfaat daripada usaha ini. Walau bagaimanapun, kami baru sahaja bermula dan saya tidak sabar untuk bekerja lebih rapat dengan James dan Daniel dalam memacu perubahan positif yang lebih cepat daripada sebelum ini, dan memastikan industri kita mempunyai suara yang positif yang dibina di atas tindakan yang nyata apabila kita menuju ke Persidangan Kemuncak Sistem Makanan PBB dan COP 26. Di sebalik kejayaan kita, kami tahu masih ada banyak perkara yang kami boleh lakukan".

Mengenai Forum Barangan Pengguna

Forum Barangan Pengguna ("The Consumer Goods Forum, CGF") ialah sebuah rangkaian industri global berdasarkan pariti yang didorong oleh ahlinya bagi menggalakkan penerimaan amalan dan standard global yang mengendalikan industri barangan pengguna di seluruh dunia. Ia menyatukan CEO dan pengurusan kanan dari 400 peruncit, pengilang, pembekal perkhidmatan dan pihak berkepentingan lain merentasi 70 buah negara, dan ia mencerminkan kepelbagaian industri dari segi geografi, saiz, kategori dan format produk. Syarikat ahlinya merekodkan gabungan jualan sebanyak EUR 3.5 trilion dan secara langsung menggaji hampir 10 juta pekerja, dengan 90 juta lagi pekerjaan berkaitan yang dianggarkan di sepanjang rantaian nilai. Ia ditadbir oleh Lembaga Pengarahnya, yang terdiri daripada lebih 55 CEO pengilang dan peruncit. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila lawati: www.theconsumergoodsforum.com.

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1279200/The_Consumer_Goods_Forum_Logo.jpg?p=medium600

 

 

Source: The Consumer Goods Forum
Keywords: Food/Beverages Mining/Metals Retail Personnel announcements Trade show news