BEIJING, 2 Julai 2021 /PRNewswire/ -- Pada hari Khamis, China mengumumkan kejayaan penting dalam membina sebuah masyarakat yang sederhana makmur dalam segenap aspek, yang dikenali sebagai masyarakat "Xiaokang" dalam Bahasa Cina, ketika Parti Komunis China (CPC) menyambut ulang tahun keseratusnya.
"Kami telah merealisasikan matlamat seratus tahun pertama untuk membina sebuah masyarakat sederhana makmur dalam segenap aspek," kata Presiden Cina Xi Jinping di perhimpunan besar-besaran di Tian'anmen Square, Beijing.
Xi, juga merupakan setiausaha agung Jawatankuasa Pusat CPC dan pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, berjanji bahawa CPC akan memimpin rakyat Cina untuk berusaha demi kehidupan yang lebih baik dan rejuvenasi negara.
Ditubuhkan pada Julai 1921 dengan hanya seramai 50 orang ahli, CPC berkembang menjadi parti politik terbesar di dunia dengan lebih daripada 95 juta ahli.
Parti ini telah menetapkan dua matlamat seratus tahun: Pertama adalah untuk membina masyarakat sederhana makmur dalam segenap aspek menjelang tahun 2021 apabila CPC menyambut ulang tahun keseratusnya dan kedua adalah untuk membangunkan China menjadi sebuah negara sosialis moden yang hebat dalam segenap aspek menjelang pertengahan abad ini bagi meraikan ulang tahun keseratus Republik Rakyat China (PRC).
Dimulai dengan penghinaan Bertukar kepada 'Xiaokang'
Xi mengkaji semula latar belakang sejarah penubuhan CPC dan menjelaskan peranan yang dimainkan oleh CPC dalam usaha negara ini untuk merealisasikan rejuvenasi.
Selepas berlakunya Perang Candu pada tahun 1840-an, China secara beransur-ansur menjadi masyarakat separa kolonial dan separa feudal selain mengalami penghinaan yang sangat teruk dan rakyatnya mengalami derita yang sangat perit, ujar Xi. "Sejak waktu itu, rejuvenasi negara telah menjadi impian terbesar rakyat Cina dan juga bangsa Cina."
Selepas beberapa percubaan untuk "menyelamatkan negara" gagal, CPC ditubuhkan apabila negara ini sangat memerlukan gagasan baharu dan sebuah organisasi baharu untuk memimpin pergerakan tersebut, kata beliau.
"Sejak hari penubuhannya, Parti ini menjadikan usaha mencari kebahagiaan buat rakyat Cina dan rejuvenasi untuk bangsa Cina sebagai aspirasi dan misinya," kata beliau.
Xi meringkaskan usaha dan kejayaan Parti berkenaan dalam memimpin beberapa revolusi dan pemodenan negara ini, terutamanya dalam mencapai reformasi dan keterbukaan sejak tahun 1978, yang digelar oleh beliau sebagai "langkah yang sangat penting untuk menjadikan China seperti keadaannya hari ini."
China, sebuah negara yang agak miskin berdekad-dekad yang lalu, telah menjadi ekonomi kedua terbesar di dunia dengan keluaran dalam negara kasarnya (KDNK) melebihi 100 trilion yuan (kira-kira $15 trilion) dan KDNK per kapita melebihi $10,000. Ia mengisytiharkan kemenangan dalam membasmi kemiskinan mutlak di seluruh negara menjelang akhir tahun 2020.
Mengetengahkan kepuasan membina sebuah masyarakat "Xiaokang" dan juga pencapaian-pencapaian lain, Xi berkata bahawa Parti ini dan rakyat telah menunjukkan kepada dunia bahawa "rejuvenasi negara China telah menjadi suatu kepastian sejarah."
Hubungan erat CPC dengan rakyat
Xi menekankan hubungan erat antara CPC dan rakyat, menegaskan bahawa Parti ini "sentiasa mewakili kepentingan asas semua rakyat Cina."
"Sebarang percubaan untuk memecahbelahkan Parti daripada rakyat Cina atau untuk memaksa rakyat menentang Parti pasti akan gagal," beliau mengingatkan.
Tatkala China memulakan perjalanan baharu ke arah pemodenan sosialis, beliau berjanji bahawa CPC akan terus mengamalkan falsafah pembangunan bertumpukan rakyat, menangani kebimbangan rakyat dan menggalakkan kemakmuran bersama buat semua.
"Dalam perjalanan menuju ke hadapan, kita harus bergantung penuh kepada rakyat untuk mencipta sejarah," kata beliau.
Falsafah pembangunan bertumpukan rakyat dikemukakan oleh Xi di sesi pleno kelima Jawatankuasa Pusat CPC ke-18 pada Oktober 2015. Falsafah ini menegaskan bahawa pembangunan China haruslah untuk rakyat dan oleh rakyat dan hasilnya dikongsi sesama rakyat.
Falsafah ini ditekankan sekali lagi dalam pelan tindakan pembangunan terkini China – Rangka Rancangan Lima-Tahun ke-14 (2021-2025) untuk Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara serta Objektif-objektif Jangka Panjang Sehingga Tahun 2035. Dokumen tersebut berjanji untuk meningkatkan lagi punca pendapatan rakyat dengan mencapai pembangunan yang lebih seimbang dan berkualiti lebih tinggi.
Komitmen China terhadap pembangunan yang aman
Xi turut menjelaskan mengenai prinsip-prinsip utama dasar asing China dan visi berhubung hubungan antarabangsa. Beliau mengulangi seruan untuk membina sebuah komuniti dengan masa depan bersama untuk umat manusia dan menegaskan komitmen negara ini terhadap keamanan.
"Bangsa Cina tidak mewarisi sifat-sifat agresif atau hegemoni dalam gennya," kata Xi. "China sentiasa berusaha untuk melindungi keamanan dunia, menyumbang kepada pembangunan global dan memelihara ketenteraman antarabangsa."
China akan kekal komited terhadap laluan pembangunan yang damai, kata beliau. Ia akan "menggalakkan pembangunan berkualiti tinggi Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) melalui usaha bersama dan memanfaatkan pencapaian baharu China dalam pembangunan bagi menyediakan peluang yang baharu kepada dunia," tambah beliau.
Dicadangkan oleh Xi pada tahun 2013, BRI yang merangkumi Jalur Ekonomi Jalan Sutera dan Jalan Sutera Maritim Abad ke-21, bertujuan untuk membina jaringan perdagangan dan infrastruktur yang menghubungkan Asia dengan Eropah dan Afrika di sepanjang dan melangkaui laluan Jalan Sutera purba.
Sejumlah 140 negara dan wilayah telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan China di bawah BRI sejak lapan tahun yang lalu. Jumlah perdagangan teragregat antara China dan rakan-rakan kerjasama BRInya melebihi $9.2 trilion dan syarikat-syarikat Cina telah membuat pelaburan langsung yang berjumlah lebih $130 bilion di negara-negara sepanjang Jalur dan Jalan.
Sementara itu, Xi berkata China akan terus memperjuangkan kerjasama dalam menghadapi konfrontasi dan menentang hegemoni serta politik kuasa.
Rakyat Cina memiliki rasa bangga dan keyakinan yang tinggi dan tidak akan berasa takut dengan ancaman kekerasan, tegas beliau.
"Kami tidak pernah membuli, menindas atau menakluki rakyat dari mana-mana negara lain dan kami tidak akan sama sekali berbuat demikian," kata beliau. "Atas alasan yang sama, kami tidak akan membenarkan mana-mana kuasa asing membuli, menindas atau menakluki kami."
Xi mengulangi pendirian Parti terhadap wilayah Hong Kong, Macau dan Taiwan. "Kami akan memastikan agar kerajaan pusat menjalankan bidang kuasa keseluruhan ke atas Hong Kong dan Macau serta melaksanakan sistem perundangan dan mekanisme penguatkuasaan untuk dua kawasan pentadbiran khas ini bagi melindungi keselamatan negara," kata beliau.
Beliau menerangkan mengenai penyelesaian masalah berhubung persoalan Taiwan dan merealisasikan penyatuan semula China yang lengkap sebagai "misi bersejarah dan komitmen tidak berbelah bahagi" oleh CPC, lantas menggesa tindakan tegas untuk menewaskan sebarang percubaan ke arah "kemerdekaan Taiwan."