MUMBAI, India, 5 Jun 2013 /PRNewswire/ --
Lipaglyn™ adalah Glitazar pertama yang diluluskan di dunia dan NCE pertama yang ditemui dan dibangunkan di tempat asal oleh sebuah Syarikat Farmaseutikal India.
Zydus Group mengumumkan penemuan cemerlang dalam usaha penyelidikannya dengan Lipaglyn™ (Saroglitazar), ubat baharu yang disasarkan untuk merawat Dislipidemia Diabetes atau Hipertrigliseridemia dalam diabetes jenis II, dan tidak hanya dikawal oleh statin. Ubat ini telah diluluskan untuk dilancarkan di India oleh Pengawal Ubatan Awam India (DCGI). Dengan tindakan baharu yang menawarkan kesan pengurangan lipid dan glukosa dalam satu molekul, Lipaglyn™ adalah Glitazar pertama yang diluluskan di mana-mana tempat di dunia.
Dislipidemia Diabetes adalah sejenis penyakit di mana seseorang penghidap kencing manis mempunyai jumlah kolesterol keseluruhan yang tinggi, kepekatan lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) atau kolesterol 'buruk' dan trigliserida serta penurunan kepekatan kolesterol lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) yang 'baik' dalam darah. Hampir 85% ke 97% daripada penghidap kencing manis dianggarkan menghidap dislipidemia diabetes. Lipaglyn™, sejenis ubat bukan thiazolidinedione, adalah terapi pertama yang diluluskan untuk penyakit ini.
"Lipaglyn™ menyediakan pesakit yang menderitai dislipidemia diabetes dengan pilihan terapi oral sekali sehari yang mempunyai faedah ke atas parameter lipid serta kawalan glisemik,"kata En. Pankaj Patel, Pengerusi dan Pengarah Urusan Zydus Cadila. "Impian kami adalah membawa satu molekul daripada peringkat konsep sehingga ke pelancarannya. Hari ini, kami telah merealisasikan impian itu. Ia adalah kejayaan yang penting dan saya ingin mendedikasikan ini kepada semua saintis penyelidik India dalam bidang penemuan ubat-ubatan," tambah En. Patel lagi.
Ditemui oleh Pusat Penyelidikan Zydus, lelengan penyelidikan kumpulan itu yang terkhusus untuk NCE, Lipaglyn™ adalah inovasi terbaik dalam kategorinya, direka untuk mempunyai mekanisme tindakan sel yang unik. Dengan tarikan utama kepada isoforma alfa PPAR dan tarikan sederhana kepada isoforma gama PPAR daripada sub-famili reseptor nukleus PPAR, molekul itu telah menunjukkan kesan baik kawalan lipid dan glisemik tanpa sebarang kesan sampingan. IND untuknya telah dihantar pada tahun 2004.
Aplikasi Ubat Baharu untuk Lipaglyn™ adalah berdasarkan sebuah program pembangunan klinikal menyeluruh daripada percubaan klinikal Fasa I, Fasa II dan Fasa III yang mengambil masa selama lapan tahun. Keputusan daripada program Fasa III pertama dengan Pioglitazone sebagai ubat bandingan dalam pesakit kencing manis menunjukkan bahawa dos Lipaglyn™ sebanyak 4mg membawa kepada pengurangan tahap trigliserida dan kolesterol LDL, serta peningkatan dalam tahap kolesterol HDL dan juga menunjukkan pengurangan dalam tahap Glukosa Plasma Berlapar dan hemoglobin glikosilat (HbA1c), lalu mengesahkan kesan baiknya untuk kawalan lipid dan glisemik dalam penghidap kencing manis. Lipaglyn™ disarankan untuk dijual dalam tablet 4mg.
Mengenai Zydus Cadila
Zydus Cadila adalah sebuah syarikat farmaseutikal global yang beribu pejabat di Ahmedabad, India. Kumpulan ini menemui, membangun, mengilang dan memasarkan rangkaian luas terapi penjagaan kesihatan. Dengan 20 program penyelidikan penemuan dalam pelbagai peringkat pembangunan klinikal, kumpulan itu melaburkan 7% daripada pusing gantinya untuk penyelidikan. Pusat Penyelidikan Zydus mempunyai lebih 400 orang saintis penyelidik yang terlibat dalam penyelidikan NCE.
SUMBER Cadila Healthcare