omniture

GSMA: Jelajah Besar-besaran mKesihatan Menampilkan Kajian Penyelidikan Kencing Manis Secara Langsung yang Pertama Seumpamanya

GSMA
2013-06-19 17:27 116

- Penyelesaian Kesihatan Mudah Alih Berbilang Rakan Kongsi akan Digunakan untuk Memeriksa Kesan Senaman Daya Ketahanan ke atas Penghidap Kencing Manis

LONDON, 19 Jun 2013 /PRNewswire/ -- Hari ini, GSMA mengumumkan sebuah kajian klinikal yang pertama seumpamanya untuk Jelajah Besar-besaran mKesihatan pada bulan September 2013 kelak, yang direka untuk meningkatkan kesedaran mengenai kencing manis dan menggalakkan pembangunan dan penyampaian penyelesaian mKesihatan dengan kerjasama Persekutuan Diabetes Antarabangsa Rantau Eropah (IDF Eropah). Perjalanan berbasikal selama 13 hari itu akan menampilkan sebuah kajian penyelidikan secara langsung mengenai kesan senaman daya ketahanan berbilang hari terhadap paras glukosa dalam darah 36 penunggang sukarelawan jelajah itu, menggunakan data yang diambil dan dihantar secara tanpa wayar melalui penyelesaian mudah alih kolaboratif yang dibekalkan oleh ANT+, Dexcom dan Orange. Tambahan lagi, GSMA mengesahkan bahawa rakan-rakan kongsi baharu iaitu Etisalat dan u-blox akan memasukkan pasukan penunggang ke dalam Jelajah Besar-besaran mKesihatan dan mengumumkan HIMSS dan Persatuan Telematik Kesihatan Eropah (EHTEL) sebagai penyokong terbaharu untuk jelajah itu.

"Mengumpul bukti klinikal mengenai impak teknologi mudah alih terhadap rawatan keadaan kronik seperti kencing manis adalah kritikal untuk menemui potensinya, dan dalam mengiktiraf penjimatan kos yang banyak serta kecekapan sumber yang mampu dihasilkannya," kata Michael O'Hara, Ketua Pegawai Pemasaran GSMA. "Penularan kencing manis yang meningkat ialah isu sedunia yang besar. Di Eropah sahaja, 8.5 peratus daripada populasi, atau 63 juta orang, menghidap penyakit itu hari ini. Jelajah Besar-besaran mKesihatan ini ialah platform yang sesuai untuk dunia mudah alih, kesihatan dan sukan bersatu bagi membuktikan impak positif mKesihatan terhadap penghidap kencing manis."

Kajian klinikal itu, yang direka oleh Profesor Michael Trenell, iaitu Felo Kanan Penyelidikan NIHR dan Pengarah MoveLab, Universiti Newcastle, akan menumpu kepada kesan senaman berbilang hari terhadap tahap glisemia dan hipoglisemia dalam atlit elit dan sub-elit dengan Kencing Manis Jenis I, serta dalam penunggang tanpa kencing manis. Melalui penyelesaian teknikal ANT+, Dexcom dan Orange, para penunggang akan menjejak statistik glukosa darah dan nutrisi untuk tempoh dua minggu sebelum, semasa dan selepas jelajah tersebut, serta statistik tunggangan dan kadar degupan jantung semasa Jelajah Besar-besaran mKesihatan.

Para penunggang akan memakai monitor glukosa berterusan Dexcom G5, yang dilekatkan pada kulit dan menghantar data secara tanpa wayar melalui ANT+. Sewaktu jelajah itu sendiri, mereka juga akan menggunakan abah-abah bio untuk merekodkan kadar degupan jantung mereka serta komputer basikal yang dibolehkan ANT+ untuk memantau statistik tunggangan. Semua peranti ini akan menghantar statistik mereka melalui ANT+ kepada telefon pintar para penunggang, membolehkan mereka memantau kesihatan dan prestasi mereka dalam masa sebenar, serta kepada sebuah modul M2M.

Orange akan menyepadukan modul M2M itu menjadi sebuah penyelesaian PaaS (Platform sebagai Perkhidmatan) peranti kesihatan terhubung berasaskan awan yang  membolehkan aliran data yang lancar, automatik dan selamat daripada pesakit kepada penyedia kesihatan dalam persekitaran klinikal. Sewaktu Jelajah Besar-besaran mKesihatan, penyelesaian PaaS akan menghantar data kepada sebuah gerbang Web khusus dan memproses data untuk analisis masa hadapan oleh pasukan penyelidikan Universiti Newcastle. Semua teknologi yang digunakan dalam penyelesaian teknikal hujung ke hujung ini mematuhi standard yang diterbitkan oleh Continua Health Alliance.

"Teknologi peranti kesihatan terhubung sedang mencipta laluan penjagaan dan perkhidmatan baharu untuk pesakit dan pengasuh mereka," kata  Thierry Zylberberg, Pengarah Orange Healthcare. "Pemantauan jarak jauh penyakit kronik seperti kencing manis bermakna pesakit boleh berasa yakin bahawa pengasuh mereka mampu memantau penyakit mereka di mana-mana tempat pada bila-bila masa. Ini mewakili satu peralihan besar dalam pengurusan kesihatan. Orange akan terus bekerja dengan para pesakit dan ahli profesional perubatan bagi membangunkan penyelesaian kesihatan mudah alih yang paling memenuhi keperluan mereka. Jelajah mKesihatan akan menyediakan contoh potensi transformatif kesihatan mudah alih yang hidup melalui peranti kesihatan terhubung dan platform yang saling beroperasi."

"Kunci kepada mKesihatan ialah menjejak data fisiologi secara ringkas dan tidak menonjol dan menghantarnya kepada awan," kata Rod Morris, Naib Presiden ANT Wireless. "Bila data itu dihantar dengan lancar kepada pelbagai hab untuk analisis, orang ramai menyedari faedah sebenarnya. Jelajah Besar-besaran mKesihatan mempamerkan kuasa inovasi, keterhubungan dan kerjasama yang akhirnya menguntungkan pengguna. Itulah matlamat kami sebenarnya."

Sebuah kajian baru-baru ini yang ditugaskan oleh GSMA bersama-sama PwC menunjukkan bahawa penggunaan mKesihatan boleh membantu mengurangkan kos bagi penyakit kronik sebanyak 30 ke 35 peratus dalam Kesatuan Eropah melalui pematuhan rawatan yang dipertingkat dan pemantauan pesakit jarak jauh. Penemuannya juga mendedahkan bahawa mKesihatan boleh menjimatkan hampir €100 bilion dalam kos penjagaan kesihatan di EU menjelang tahun 2017 serta menambah €93 bilion lagi ke dalam KDNK.

Organisasi tambahan lain yang akan menyertai GSMA dan Persekutuan Diabetes Antarabangsa Rantau Eropah (IDF Eropah) bagi membantu meningkatkan kesedaran tentang penjagaan, penghindaran dan penyelidikan kencing manis termasuklah Persatuan Diabetes Catalan, Continua Health Alliance, Diabetes Croatia, Diabetes Jerman, Persekutuan Eropah untuk Persatuan Jururawat, Medtech Alliance, Mobile World Capital, Team Blood Glucose (TeamBG), Team Novo Nordisk, The King's Fund dan Yayasan TicSalut, antara lainnya. Peserta yang menunggang juga akan menerima sokongan tambahan daripada organisasi dan individu seperti Carmichael Training Systems dan chef bintang Michelin Alan Murchison.

Mengenai Jelajah Besar-besaran mKesihatan GSMA

Jelajah Besar-besaran mKesihatan GSMA akan bertolak dari Brussels pada 5 September 2013 dan tiba di Barcelona selepas merentasi sejauh 2,100km dan pendakian setinggi 22,000m pada 18 September 2013 iaitu tepat pada masanya bagi menghadiri sebuah acara amal. Matlamatnya ialah mengetengahkan penyelesaian kesihatan mudah alih, mencipta saluran silang industri baharu untuk produk dan perkhidmatan mKesihatan, dan mengumpul dana bagi penyelidikan dan badan amal kencing manis. Untuk maklumat lanjut sila lawati: www.mHealthtour.com.

Mengenai GSMA

GSMA mewakili kepentingan para pengendali mudah alih seluruh dunia. Dengan kehadiran di lebih 220 buah negara, GSMA menyatukan hampir 800 pengendali mudah alih sedunia dengan lebih daripada 230 syarikat dalam ekosistem mudah alih yang lebih luas, termasuk pembuat telefon bimbit, syarikat-syarikat perisian, pembekal peralatan dan syarikat Internet, serta organisasi dalam sektor industri seperti perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, media, pengangkutan dan kemudahan awam. GSMA juga mengadakan acara-acara besar dalam industri seperti Kongres Mudah Alih Sedunia dan Ekspo Mudah Alih Asia.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web korporat GSMA di www.gsma.com atau Mobile World Live, gerbang dalam talian untuk industri komunikasi mudah alih, di www.mobileworldlive.com

Source: GSMA
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital