omniture

Cubalah 8 Aktiviti Unik ini untuk Lawatan Anda Seterusnya ke Filipina

Destinasi yang Kurang Dikenali
Department of Tourism, Philippines
2021-09-06 09:06 66

MANILA, Filipina, 6 September 2021 /PRNewswire/ -- Tatkala Jabatan Pelancongan Filipina (DOT) bersiap sedia untuk menerima pengunjung lagi, ia sentiasa membangunkan aktiviti-aktiviti baharu untuk dialami oleh pelancong sekali gus memastikan agar kesemua protokol keselamatan antarabangsa dipatuhi di pelbagai destinasi.

"Sememangnya lebih menyeronokkan di Filipina dengan aktivit-aktiviti yang disediakan oleh DOT untuk menawarkan pengalaman baharu dan unik kepada pelancong antarabangsa. Kerajaan Filipina mempersiapkan sambutannya untuk pelancong dengan pembangunan infrastruktur termasuk penambahbaikan lapangan terbang domestik dan antarabangsa kami serta jalan raya baharu bagi memastikan akses yang lebih pantas ke destinasi-destinasi wilayah kami," kata Setiausaha Pelancongan Bernadette Romulo-Puyat. 

Dengan lebih 7,000 pulau yang menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung, Filipina merupakan destinasi yang lain daripada yang lain. Sama ada beristirehat di pantai atau gunung, menikmati kehidupan bandar yang meriah atau penghayatan terhadap budaya orang aslinya, pelbagai pengalaman yang unik tersedia untuk semua kumpulan pelancong.

Berikut merupakan lapan aktiviti unik Filipina yang boleh dicuba dari pelosok yang berbeza di negara ini:

1. Berbasikal di sekitar Intramuros menggunakan Basikal Buluh

Lawatan Berbasikal Buluh di Intramuros, foto oleh Bien Bautista
Lawatan Berbasikal Buluh di Intramuros, foto oleh Bien Bautista

Bawalah pengembaraan berbasikal anda ke tahap seterusnya dengan menggunakan basikal buluh. Bambike Ecotours menawarkan peluang untuk meneroka bandar tembok yang bersejarah Intramuros dengan cara yang berbeza. Basikal buluh ini didatangkan dengan banyak pilihan untuk tunggangan yang selamat dan selesa dengan Bambassadors bertindak sebagai pembimbing terhadap daya tarikan unik Manila Lama.

2. Menunggang dengan pantas Menelusuri Jalan Berliku Banaue dengan Basikal Kayu

Apakah cara terbaik untuk menikmati pemandangan indah teres padi buatan manusia yang berusia 2,000 tahun di Banaue? Apa lagi, dengan skuter kayu yang diukir tangan oleh kumpulan orang asli yang sama, semestinya! Diperbuat daripada sisa kayu dan kepingan daripada tayar getah lama, basikal dua roda ini dapat memecut sepantas 50ksj dan benar-benar merupakan bukti kepada kesenian dan kepintaran orang Ifugao.

3. Uji Keseimbangan Anda pada Jangkang Buluh di Cebu

Kadang-Kadang atau Jangkang Buluh membolehkan pengunjung melihat Filipina dari sudut pandangan yang agak tinggi daripada biasa. Pelancong ke Cebu boleh menguji keseimbangan dan kepantasan mereka dengan melompat menggunakan sepasang jangkang dan mengambil bahagian dalam perlumbaan berpasukan yang berlari (atau terhoyong-hayang) sejauh 100 meter. Dianggap sebagai permainan kanak-kanak secara turun termurun, ia telah diiktiraf sebagai sukan tradisional di bawah Laro ng Lahi pada tahun 1969.

4. Berkelana di Luar Jalan Raya menerusi Pengembaraan Lahar di Pampanga 

Letusan Gunung Pinatubo mengakibatkan kemusnahan sebahagian besar Luzon Tengah, namun penduduk tempatan telah menemui cara untuk menggunakan lahar yang mengalir dari gunung berapi dan menukarkannya menjadi satu destinasi untuk peminat sukan ekstrem. Pengembara dengan keghairahan untuk memecut boleh menempah jelajah luar jalan menggunakan 4x4 atau motosikal yang ditunggang melintasi sungai dan kawasan berpasir melalui salah satu landskap yang paling unik di Filipina.

5. Bersantai di mandian Kawa di Antique  

Mandian Kawa di Calawag Mountain Resort di Antique
Mandian Kawa di Calawag Mountain Resort di Antique

Kawa atau kawah gergasi biasanya digunakan untuk memasak makanan pesta di Filipina, namun di wilayah Antique, ia menyediakan pengalaman desa dan menyenangkan. Pusat peranginan lereng gunung mengalu-alukan pengunjung selepas berjalan-jalan di hutan Tibiao dengan mandian air panas yang menyegarkan di dalam kawa, dengan airnya dipanaskan di atas kayu api dan diberi haruman herba dan bunga aromatik. Mereka yang ingin merasai satu lagi jenis terapi boleh mengunjungi Spa Ikan Tibiao yang mana mereka boleh merendamkan kaki mereka di dalam kolam supaya ikan dapat menggigit-gigit dan membuang kulit mati.

6. Lawat Helang Filipina di Davao 

Marilah melawat helang Filipina yang megah, iaitu helang terbesar yang masih hidup di dunia. Spesies yang amat terancam ini dilindungi di kawasan perlindungan terpilih seperti Perlindungan Hidupan Liar Banjaran Gunung Hamiguitan di Davao. Perjalanan yang agak mencabar ini diganjari dengan peluang melihat khazanah berharga termasuk peluang untuk memerhatikan Helang Filipina terbang.

Untuk memerhati sepintas lalu, tetamu boleh memilih untuk melawat Pusat Helang Filipina, hutan hujan terurus di Bandar Davao yang melindungi dan membiakkan Helang Filipina dalam kurungan.

7. Pelajari mengenai Seni Tenun Orang Asli di litar fabrik Cordillera

Suku kaum di tanah tinggi Wilayah Cordillera mempunyai kekayaan budaya yang ditenun pada fabrik mereka. Lawatan ini membawa pelancong melihat paparan fabrik interaktif dan bermaklumat yang mengagumkan yang dihasilkan di wilayah tersebut menggunakan kapas dan tenunan gentian asli lain yang ditenun dan disilangkan menjadi rekaan tradisional mereka yang diwarisi secara turun-temurun. Hentian lawatan termasuk kampung tenun dan muzium, dengan peluang untuk membeli cenderahati hasil kerja seni buatan tangan hebat yang dijahit menjadi pakaian yang menakjubkan atau dicantumkan menjadi kepingan hiasan.

8. Litar Lawatan Hijau Organik (OGT)

Litar ini menyusur-galur asal usul makanan Filipina melalui gabungan antara lawatan ladang organik dan makanan tradisional menggunakan hasil yang baru dituai. Jelajah ini melalui kawasan Baguio-La Trinidad-Itogon-Sablan-Tuba-Tublay (BLISTT) dengan destinasi pelancongan ladang di Benguet Agro-Eco Farm di Sablan dan UM-A Farm di Tuba. Para tetamu boleh memilih hasil mereka sendiri dan mengambil bahagian dalam perayaan masyarakat tradisional di sekeliling unggun api dalam suasana udara gunung yang segar.

Langkah-langkah keselamatan terpiawai  

Aktiviti-aktiviti ini menantikan kepulangan anda ke Filipina yang mana kemesraan negara ini sepadan dengan hospitaliti tempatan. Perkayakan pengalaman perjalanan anda dengan mencuba aktiviti-aktiviti baharu ini yang dibangunkan secara berterusan oleh DOT. Sedang dunia menanti untuk dibuka semula, pekerja pelancongan Filipina menjalani latihan secara berterusan. Perusahaan-perusahaan melaksanakan perlindungan terpiawai di premis mereka bagi melindungi tetamu dan kakitangan, demi memastikan hanya mereka yang ditauliahkan dibenarkan untuk dibuka dan menerima tetamu.

DOT dianugerahkan Cop SafeTravels oleh World Travel and Tourism Council atas penggunaan "protokol terpiawai global kesihatan dan kebersihan" yang akan memastikan perjalanan yang selamat semasa pandemik.

Kerajaan Filipina, melalui Pasukan Tugas Antara Agensi untuk Pengurusan Penyakit Berjangkit Baru Muncul sentiasa mengemas kini protokolnya untuk melindungi pelancong.

Untuk mengetahui mengenai kemas kini terbaharu dan nasihat perjalanan mengenai Filipina kunjungi https://www.philippines.travel/safetrip atau muat turun aplikasi Travel Philippines di Google Play Store dan Apple App Store.

Untuk lebih banyak foto: https://drive.google.com/drive/folders/1Y0MdhYSDUh6Q2pGjS4EKRWJEWh1gU3kG?usp=sharing

Source: Department of Tourism, Philippines
Keywords: Amusement Parks and Tourist Attractions Travel