omniture

Lebih 150 pemimpin industri dan organisasi menyeru tindakan kerajaan yang tegas untuk melaksanakan penyahkarbonan penuh perkapalan antarabangsa menjelang tahun 2050

Global Maritime Forum
2021-09-22 07:30 32

Penandatangan Seruan Bertindak untuk Penyahkarbonan Perkapalan menggesa pemimpin dunia untuk menyelaraskan aktiviti perkapalan dengan matlamat suhu Perjanjian Paris. Sektor swasta telah pun mengambil langkah-langkah penting untuk menyahkarbon rantaian bekalan global. Kini, kerajaan perlu melaksanakan dasar-dasar yang akan mempercepat peralihan ini dan menjadikan pelepasan sifar dalam sektor perkapalan sebagai pilihan automatik menjelang tahun 2030. 

COPENHAGEN, Denmark, 22 September 2021 /PRNewswire/ -- Penyahkarbonan sepenuhnya perkapalan antarabangsa amat penting dan boleh dicapai. Ini merupakan mesej yang jelas daripada lebih 150 pemimpin industri dan organisasi yang mewakili keseluruhan rantaian nilai maritim, termasuk perkapalan, kargo, tenaga, kewangan, pelabuhan dan infrastruktur. Bersempena dengan Perhimpunan Agung PBB dan sebelum berlangsungnya majlis rundingan iklim yang penting di COP26 di Glasgow pada bulan November ini, penandatangan menyeru kerajaan untuk bekerjasama dengan industri bagi melaksanakan dasar dan pelaburan yang diperlukan untuk mencapai titik utama dalam penyahkarbonan rantaian bekalan serta ekonomi global.

Penandatangan Seruan Bertindak untuk Penyahkarbonan Perkapalan ini termasuk beberapa syarikat terbesar dalam dunia perdagangan global: A.P. Moller - Maersk, BHP, BP, BW LPG, Cargill, Carnival Corporation, Citi, Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering, Euronav, GasLog, Hapag-Lloyd, Lloyd's Register, Mitsui O.S.K. Lines, MSC Mediterranean Shipping Company, Olimpic Shipping and Management, Panama Canal Authority, Port of Rotterdam, Rio Tinto, Shell, Trafigura, Ultranav, Volvo dan Yara.

Perkapalan mengangkut lebih kurang 80% daripada perdagangan global dan bertanggungjawab terhadap 3% daripada pelepasan gas rumah hijau global (GHG). Pada tahun 2018, Organisasi Maritim Antarabangsa (IMO) PBB telah menerima pakai strategi awal GHG. Strategi ini bertujuan untuk mengurangkan jumlah pelepasan GHG tahunan dalam sektor perkapalan sekurang-kurangnya sebanyak 50% daripada tahap pelepasan pada tahun 2008, menjelang tahun 2050. Strategi ini akan disemak semula pada tahun 2023.

"Sekarang tibalah masanya untuk mempertingkatkan hasrat kita serta menyelaraskan perkapalan di seluruh dunia—pengangkut perdagangan global yang penting—dengan matlamat Perjanjian Paris. Kami bekerjasama rapat dengan para pelanggan kami untuk memajukan peralihan industri perkapalan ke arah pelepasan sifar bersih dan dengan sokongan langkah-langkah dasar awam yang mantap, kami boleh mempercepat usaha kolektif kami untuk menyahkarbon ekonomi global," kata Jane Fraser, Ketua Pegawai Eksekutif Citi.

Sektor swasta telah pun mengambil tindakan yang konkrit terhadap penyahkarbonan perkapalan. Ini termasuk melabur dalam projek rintis dan RD&D, menempah dan membina kapal yang dikendalikan secara neutral karbon, menggunakan perkhidmatan perkapalan pelepasan sifar, melabur dalam pengeluaran bahan api pelepasan sifar bersih, melabur dalam infrastruktur pelabuhan dan pengisian bahan api kontena serta menilai dan mendedahkan penyelarasan iklim bagi aktiviti-aktiviti berkaitan perkapalan.

"Bagi membolehkan dunia beralih ke arah penyahkarbonan, sektor perkapalan mesti dinyahkarbon. Para pelanggan mengharapkan kami untuk menyahkarbon pelepasan dalam rantaian bekalan mereka. Kami melabur secara besar-besaran dalam teknologi pelepasan neutral karbon yang sedia ada. Untuk menjadikan pelaburan seperti ini sebagai pilihan automatik dalam industri kami, kami memerlukan ukuran berasaskan pasaran bagi menutup jurang daya saing antara bahan api fosil dan bahan api pelepasan sifar hari ini serta bahan api neutral karbon masa hadapan," kata Henriette Hallberg Thygesen, Ketua Pegawai Eksekutif Armada & Jenama Strategik, A.P. Moller-Maersk.

"Penyahkarbonan perkapalan adalah penting untuk mencapai pelepasan sifar bersih global dan ia menjadi semakin mendesak. Pembuat dasar mempunyai peluang dalam sejarah yang boleh mempercepat proses ini dengan memperkenalkan levi karbon global ke atas bahan api marin untuk mendorong penyahkarbonan dan memberi insentif kepada pelaburan bahan api dan kapal pelepasan sifar. Sekarang ini ialah masa untuk bertindak," kata Jeremy Weir, Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Trafigura.

"Penyahkarbonan perkapalan tidak boleh mengecualikan mana-mana negara. Untuk beralih kepada perkapalan pelepasan sifar dan bahan api yang adil dan inklusif, langkah-langkah dasar hendaklah memastikan bahawa penyahkarbonan perkapalan turut mewujudkan peluang dan pekerjaan kepada orang ramai di negara-negara membangun dan baru muncul," kata Johannah Christensen, Ketua Pegawai Eksekutif Global Maritime Forum.

Penandatangan Seruan Bertindak untuk Penyahkarbonan Perkapalan ini menyeru pemimpin dunia untuk:

Komited terhadap penyahkarbonan perkapalan antarabangsa menjelang tahun 2050 dan menyampaikan pelan pelaksanaan yang jelas serta saksama bagi mencapai matlamat ini apabila menerima pakai Strategi GHG IMO pada tahun 2023.

Menyokong projek perkapalan pelepasan sifar skala perindustrian melalui tindakan nasional, contohnya dengan menetapkan sasaran penyahkarbonan yang jelas untuk perkapalan domestik dan juga menyediakan insentif serta sokongan kepada pengangkut pertama di samping penggunaan bahan api dan kapal pelepasan sifar yang lebih meluas.

Melaksanakan langkah-langkah dasar yang akan menjadikan pelepasan sifar perkapalan sebagai pilihan automatik menjelang tahun 2030, termasuk langkah-langkah berasaskan pasaran yang memberi makna yang akan berkuat kuasa menjelang tahun 2025 dan yang boleh menyokong penggunaan komersial kapal serta bahan api pelepasan sifar dalam perkapalan antarabangsa.

Seruan Bertindak untuk Penyahkarbonan Perkapalan ini telah dibangunkan oleh pasukan tugas-tugas khas pelbagai pihak berkepentingan yang diselia oleh Getting to Zero Coalition – kerjasama antara Global Maritime Forum, World Economic Forum dan Friends of Ocean Action. Ahli pasukan tugas-tugas khas ini termasuk Cargill Ocean Transportation, Citi, pasukan COP26 Climate Champions, Energy Transitions Commission, Lloyd's Register, Port of Antwerp, Torvald Klaveness, Trafigura, Yara dan UMAS.

Ketahui lebih lanjut tentang Seruan Bertindak untuk Penyahkarbonan Perkapalan ini dan lihat senarai lengkap Penandatangan di sini.

Ketahui lebih lanjut tentang tindakan tegas yang diambil oleh Penandatangan Seruan Bertindak untuk Penyahkarbonan Perkapalan bagi menyokong inisiatif penyahkarbonan perkapalan di sini.

Maklumat lanjut: 
Sofie Rud 
Penasihat Komunikasi Kanan
 rud@globalmaritimeforum.org
+ 45 28102332

Source: Global Maritime Forum
Keywords: Environmental Products & Services Green Technology Maritime/Shipbuilding Transportation Conservation/Recycling Corporate Social Responsibility Environmental Issues Environmental Policy