omniture

Kesihatan tulang amat memerlukan tindakan segera, tegas IOF

The International Osteoporosis Foundation (IOF)
2021-10-20 13:30 25


Pada Hari Osteoporosis Sedunia, Pertubuhan Osteoporosis Antarabangsa (IOF) menyuarakan kesan negatif pandemik terhadap kesihatan tulang global dan menggesa pihak yang berkenaan memberikan perhatian kepada pencegahan osteoporosis dan rawatan pasca keretakan.

NYON, Switzerland, 20 Oktober 2021 /PRNewswire/ --

- Picture is available at AP Images (http://www.apimages.com) -

Pemeriksaan osteoporosis yang tertangguh, penangguhan rawatan dan gaya hidup dalaman statik: ini merupakan beberapa cara pandemik COVID-19 menjejaskan kesihatan tulang dan mengganggu rawatan osteoporosis global.

Osteoporosis ialah penyakit tulang yang biasa apabila tulang menjadi lemah dan rapuh serta mudah mengalami keretakan. Keretakan osteoporotik lazimnya berlaku kerana terjatuh daripada kedudukan berdiri, atau kerana terjatuh semasa membongkok untuk mengangkat beg berisi barang runcit.

Perangkaan dunia mendapati seorang daripada tiga orang wanita dan seorang daripada lima orang lelaki yang berumur 50 tahun dan ke atas mengalami keretakan tulang yang berkait dengan osteoporosis. Dianggarkan 9 juta keretakan berlaku pada setiap tahun, yang memberikan kesan amat besar kepada para pesakit dan keluarga mereka, selain pada sistem penjagaan kesihatan. Keretakan tulang belakang dan pinggul adalah antara keretakan osteoporotik utama dengan kesan paling teruk dan membawa kepada kos perubatan jangka panjang amat tinggi. Ketidakupayaan dan kehilangan fungsi pergerakan berikutan keretakan tulang pinggul, menyebabkan 33% pesakit keretakan tulang pinggul perlu bergantung sepenuhnya pada orang lain atau tinggal di rumah penjagaan selepas keretakan itu. 

Presiden IOF, Profesor Cyrus Cooper menyatakan:

"Kesan pandemik yang berterusan terhadap kesihatan tulang dan penyampaian pemeriksaan serta perawatan osteoporosis pada masa yang tepat menjadi perhatian global. Berlatarkan perkara tersebut, adalah lebih penting bagi pihak kesihatan tulang menjadi lebih proaktif sekarang berbanding sebelum ini. Keretakan berkaitan osteoporosis merupakan penyebab utama kesakitan, ketidakupayaan, dan hilangnya kebebasan bagi orang dewasa yang lebih berumur. Kecederaan yang mengubah gaya kehidupan sedemikian dapat dicegah dengan memberikan perhatian sepanjang hayat kepada kesihatan tulang, dan diagnosis awal serta rawatan yang sesuai bagi mereka yang berisiko."

"Meskipun begitu, dengan pengetahuan bahawa keretakan kerapuhan ini suatu penyakit yang berat, osteoporosis masih kurang didiagnosis dan dirawat. Walaupun selepas berlakunya keretakan osteoporotik, adalah dianggarkan 80% pesakit tidak diperiksa atau dirawat untuk mengetahui penyebab utama kepada penyakit ini. Perkara ini seharusnya tidak berlaku - dan amat berbeza layanannya dengan pencegahan penyakit kardiovaskular, kerana pesakit penyakit ini mendapat rawatan rutin untuk tekanan darah tinggi atau kolesterol bagi mengelakkan kemungkinan angin ahmar atau serangan jantung."

Pada Hari Osteoporosis Sedunia, IOF dan ahli globalnya yang terdiri daripada lebih 265 persatuan pesakit dan perubatan nasional, mengajak individu dan pihak berkuasa kesihatan bersama-sama mengutamakan kesihatan dan pencegahan keretakan tulang. IOF menggesa semua golongan dewasa yang lebih berumur untuk memastikan mereka kerap bersenam, mendapatkan vitamin D yang mencukupi dengan lebih banyak terdedah kepada cahaya matahari atau melalui makanan tambahan, dan makan makanan untuk kesihatan tulang yang mengandungi kalsium, protein, dan nutrien penting lain. IOF Osteoporosis Risk Check atau Pemeriksaan Risiko Osteoporosis IOF, satu soal selidik dalam talian, ialah cara mudah untuk dimaklumkan mengenai sebarang faktor risiko peribadi utama untuk penyakit ini.

"Sekiranya anda berisiko, hubungi doktor anda untuk meminta pemeriksaan dan rawatan pada masa yang tepat. "Ini sangat penting terutamanya jika anda pernah mengalami patah tulang selepas usia anda lima puluh tahun, ketinggian anda menurun atau mula membongkok, atau ada sejarah keluarga yang mengalami osteoporosis," Presiden IOF tersebut mengingatkan.

Tanpa rawatan pencegahan, kejadian patah tulang yang pertama akan menggandakan risiko itu dan berpotensi menyebabkan keretakan tulang yang boleh mengancam nyawa. Bagi sesiapa yang mengalami keretakan kerapuhan, adalah sangat penting bagi mereka mendapatkan rawatan pasca keretakan bagi mengelakkan keretakan daripada berulang. Peta global hospital yang mempunyai Perkhidmatan Perhubungan Keretakan tersedia di www.capturethefracture.org 

Hari Osteoporosis Sedunia (WOD), yang disambut pada 20 Oktober, menggesa tindakan global untuk memerangi osteoporosis dan keretakan tulang yang berkaitan. www.worldosteoporosisday.org 

Rakan-rakan Kongsi WOD: Sunsweet, UCB, Amgen, Sandoz, Theramex

Yayasan Osteoporosis Antarabangsa merupakan pertubuhan bukan kerajaan terbesar di dunia yang mengkhususkan pencegahan osteoporosis dan keretakan tulang. www.osteoporosis.foundation  

Pemeriksaan Risiko Osteoporosis IOF: https://riskcheck.osteoporosis.foundation/ 

Perhubungan media: L.Misteli, IOF info@osteoporosis.foundation

 

Source: The International Osteoporosis Foundation (IOF)
Keywords: Computer/Electronics Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Corporate Social Responsibility STEM (Science,Technology,Engineering,Mathematics)