omniture

Hatcher+, Tiverton Agriculture Impact Fund dan First Degree Global Asset Management umum pelancaran CarbonNation, Dana Teknologi Pertanian berpangkalan di Singapura

Projek pertanian regeneratif pertama CarbonNation, projek pertanian regeneratif seluas 10,619 hektar yang terletak di Central Queensland, Australia ialah satu usaha sama oleh Hatcher+ yang berpangkalan di Singapura dan First Degree Global Asset Management serta Tiverton Agriculture Impact Fund yang berpangkalan di Melbourne, pelabur dan pengurus teknologi pertanian (agritech) Australia yang terkemuka. Projek mesra alam ini yang menghasilkan tanaman yang menguntungkan berdasarkan kepada teknik-teknik pertanian lestari, turut menghasilkan sejumlah besar kredit karbon di samping menyediakan rizab demi perlindungan untuk lima spesies terancam.
Hatcher+
2021-10-28 20:33 50

SINGAPURA, 28 Oktober 2021 /PRNewswire/ -- Hatcher+, platform teknologi usaha niaga dan pentadbiran dana terkemuka yang beribu pejabat di Singapura, hari ini mengumumkan bahawa ia berganding bahu dengan Tiverton Agriculture Impact Fund yang berpangkalan di Melbourne dan First Degree Global Asset Management yang berpangkalan di Singapura untuk mewujudkan CarbonNation - dana teknologi pertanian (agtech) yang berpangkalan di Singapura untuk melabur dalam hartanah pertanian yang menguntungkan, menghasilkan kredit karbon dan mampan.

Projek pertama konsortium ini, "Picady Station", hartanah ladang berusia 100 tahun yang terletak 900 kilometer barat laut Brisbane, Queensland telah direkayasa untuk menghasilkan tanaman dan kredit karbon dengan cara yang menguntungkan dan mampan, di samping melindungi kualiti tanah dan menyediakan tempat berlindung untuk lima spesies burung dan haiwan yang terancam dalam negara ini. Berdasarkan kepada permintaan, konsortium ini berhajat untuk membina portfolio dengan lapan hingga sepuluh hartanah pertanian mampan yang serupa dalam pasaran ini dalam tempoh 18 hingga 36 bulan akan datang.

Bagi Nigel Sharp, Ketua Pegawai Eksekutif Tiverton Agriculture Impact Fund, hartanah CarbonNation merupakan yang terkini dalam senarai aset pertanian mampan yang semakin bertambah - dan hartanah kelima yang ditransformasikan dengan jayanya oleh proses dan pendekatan unik pasukan pengurusan perkongsian ini terhadap pertanian mampan, sekuestrasi karbon dan pengurusan spesies terancam.

"Kami gembira dapat berganding bahu dengan Hatcher+ dan First Degree dalam projek CarbonNation ini. Permintaan terhadap projek-projek pertanian mampan yang menguntungkan dan praktikal berkembang pesat - begitu juga dengan permintaan terhadap kredit karbon. Kami mempunyai sebuah dunia untuk diberi makan, alam sekitar yang memerlukan perhatian segera dan lejar karbon yang memerlukan pengimbangan dan kami perlu memikirkan cara untuk memulihkan dan melindungi secara positif flora dan fauna tempatan. Projek ini memenuhi kesemua keperluan ini," kata Sharp.

John Sharp, pengasas bersama Hatcher+, bersetuju - dan berkata bahawa pengalaman peribadi beliaulah yang meyakinkan beliau untuk membantu mewujudkan CarbonNation:

"Membesar di ladang, saya telah melihat sendiri betapa teknik-teknik pertanian dan pembajaan yang lama dapat membawa kemudaratan berhubung dengan kesihatan tanah dan alam sekitar. Saya benar-benar gembira dapat melancarkan projek yang menarik ini bersama Nigel, pasukan Tiverton Agriculture Impact Fund dan First Degree - projek yang memberi ganjaran kepada petani kerana mengamalkan teknik-teknik pertanian mampan dengan membolehkan mereka menuai hasil tanaman yang menguntungkan dengan lebih konsisten, menjana kredit karbon yang bernilai dan merealisasikan penilaian tanah yang lebih tinggi."

Hatcher+, yang mana baru-baru ini melancarkan perniagaan pentadbiran berbilang dana untuk struktur berasaskan VCC, bekerjasama dengan firma pengurusan dana luar yang berpangkalan di Singapura First Degree Global Asset Management selama tiga tahun. Projek CarbonNation ini menjadikan jumlah dana yang diusahakan bersama oleh mereka kepada lima, empat yang telah dibangunkan menggunakan struktur dana VCC Singapura.

"Sepanjang tiga tahun yang lalu, kami telah bekerjasama dengan Hatcher+ untuk mencipta sistem yang amat cekap untuk menyepadukan dan mengurus dana berasaskan VCC yang baharu, dengan tujuan untuk memanfaatkan struktur fleksibel dan kecekapan cukai yang ditawarkan oleh struktur ini kepada pelabur. Kami berharap dapat bekerjasama dengan Hatcher+ dan Tiverton Agriculture Impact Fund serta menjadi sebahagian daripada inisiatif yang menarik ini," kata Stephen Fisher, Pengasas dan Ketua Pegawai Maklumat First Degree.

Penafian: Siaran akhbar ini adalah untuk tujuan bermaklumat sahaja. Ia bukan, dan tidak harus diambil sebagai, satu permintaan, satu tawaran atau satu cadangan untuk membeli, menjual atau melupuskan sebarang pelaburan dalam dana CarbonNation atau untuk membuat sebarang transaksi lain bersama Hatcher+, Tiverton Agriculture Impact Fund, atau First Degree Global Asset Management.

Latar Belakang Hatcher Plus 

Hatcher Plus ("Hatcher+") menggabungkan AI, automasi proses dan perkongsian global untuk membolehkan pelabur meluaskan dan menganalisis aliran urus niaga, mengenal pasti peluang pemadanan mandat dan membina portfolio yang boleh diskala. Platform pentadbiran dana Hatcher+ VAAST ini membolehkan penciptaan yang cepat dan cekap untuk instrumen pelaburan, audit tanpa kertas dan pelaporan waktu sebenar yang telus untuk pelabur. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi https://hq.hatcher.com.

Latar Belakang Tiverton Agriculture Impact Fund 

Tiverton Agriculture Impact Fund melabur dalam aset pengeluaran makanan terpelbagai dan perniagaan lain yang selari dengan strategi keseluruhannya untuk menggabungkan pertanian regeneratif, penyelesaian biodiversiti dan nilai modal semula jadi untuk pulangan unggul. Menggunakan amalan pertanian regeneratif yang utama, penyelidikan & pembangunan serta kerjasama pelaburan, selain penyelesaian biodiversiti, Dana ini diurus untuk menyediakan nilai jangka panjang kepada pelabur melalui kenaikan nilai modal dan pengagihan amanah. Untuk maklumat lanjut, kunjungi https://tiverton-rothwell.com.au.

Latar Belakang First Degree Global Asset Management 

Ditubuhkan pada tahun 2011, First Degree mempunyai komitmen terhadap kecemerlangan dalam semua aspek melibatkan pengurusan pelaburan, strategi pelaburan, pelaksanaan, penstrukturan undang-undang instrumen pelaburan, pengurusan risiko dan pematuhan. First Degree mempunyai lesen Perkhidmatan Pasaran Modal untuk pengurusan dana yang diterbitkan oleh Penguasa Kewangan Singapura dan merupakan penasihat kewangan yang dikecualikan untuk memberi nasihat mengenai produk pelaburan iaitu skim pelaburan kolektif, sekuriti, kontrak derivatif yang didagangkan di bursa, polisi hayat, deposit berstruktur dan penyusunan polisi hayat, selain untuk insurans semula. Ia memenuhi keperluan pengurus dana merentas Strategi Ekuiti Persendirian, Lindung Nilai dan Modal Teroka. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi https://www.firstdegree.asia.

Source: Hatcher+
Keywords: Agriculture Banking/Financial Service Environmental Issues Joint ventures Not for profit