omniture

Di COP26, Ancaman Iklim Terhadap Para Pekebun Kecil Mendorong Pelaburan Baharu dalam Penyelidikan CGIAR yang Meningkatkan Ikrar Sumbangan Tahun 2021 Hampir Mencecah $1 Bilion

CGIAR
2021-11-17 20:17 25

Pelaburan penyesuaian amat diperlukan oleh rantau yang bergantung kepada pertanian seperti Afrika, yang paling kurang menyebabkan krisis iklim tetapi yang paling terjejas

GLASGOW, Scotland, 17 November 2021 /PRNewswire/ -- Berhadapan dengan bukti yang banyak bahawa perubahan iklim akan amat menjejaskan rantau yang bergantung kepada pertanian seperti Afrika Sub-Sahara, gabungan para pembiaya di sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu hari ini berikrar menyumbangkan sebanyak $575 juta untuk memberikan penyelesaian pintar iklim kepada negara-negara berpendapatan rendah melalui kerjasama penyelidikan pertanian rangkaian global CGIAR. Digabungkan dengan ikrar sumbangan berjumlah $256 juta baru-baru ini di Acara Langsung Rakyat Global dan komitmen lain daripada Sweden dan Belgium, CGIAR kini telah memperoleh $863 juta pada tahun ini untuk menghadapi pelbagai cabaran iklim yang semakin meningkat dengan pesat, yang akan dapat meningkatkan perjuangan global membasmi kelaparan dan kemiskinan.

Bill & Melinda Gates Foundation joins coalition at COP26 now pledging close to $1 billion to support climate innovation for smallholder farmers
Bill & Melinda Gates Foundation joins coalition at COP26 now pledging close to $1 billion to support climate innovation for smallholder farmers

Terdapat juga kemungkinan pelaburan tambahan yang signifikan dalam CGIAR yang akan diumumkan kemudian pada minggu ini di COP26.

"Peningkatan pelaburan yang penting ini merupakan suatu bayaran pendahuluan yang dialu-alukan untuk mempercepat usaha penyesuaian iklim CGIAR yang telah menyediakan inovasi seperti kepelbagaian tanaman tahan tekanan dan strategi baharu bagi memulihkan tanah usang kepada jutaan para petani," kata Kundhavi Kadiresan, Pengarah Urusan Inovasi dan Penglibatan Global CGIAR. "Kami mempunyai pemahaman yang mendalam tentang pelbagai cara perubahan iklim mempengaruhi pengeluaran makanan di rantau yang berkembang pesat seperti Afrika Sub-Sahara dan Asia Selatan serta komitmen untuk membangun daya ketahanan melalui penyelesaian yang bersepadu dan lestari alam sekitar yang mengimbangi semula hubungan pertanian dengan alam semula jadi."  

CGIAR merupakan kerjasama penyelidikan sektor awam yang terbesar di dunia yang membantu lebih 500 juta para pekebun kecil yang bertanggungjawab untuk memberi makan kepada berbilion-bilion rakyat di Afrika, Asia dan Amerika Latin. Kesan perubahan iklim pada tanaman, ikan dan ternakan ialah faktor utama di sebalik peningkatan kelaparan yang berterusan yang menghakis kemajuan selama bertahun-tahun.

Peningkatan ancaman iklim adalah menggentarkan terutamanya di Afrika Sub-Sahara yang kebanyakan rakyatnya bekerja dalam bidang pertanian dan kesan kepada pengeluaran makanan menjadi sebab utama perubahan iklim boleh menurunkan KDNK sehingga 15 peratus menjelang tahun 2030 bagi negara-negara Afrika. Terdapat juga kebimbangan bahawa tanpa usaha yang agresif untuk membantu para petani melakukan penyesuaian, kesan iklim terhadap pertanian di rantau yang sememangnya mengalami kadar kemiskinan dan kekurangan zat makanan yang tinggi akan menjadikan ia mustahil untuk mencapai ikrar Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) bagi kelaparan sifar dan pengakhiran kemiskinan melampau menjelang tahun 2030.

Dalam pengumuman pembiayaan hari ini, Bill & Melinda Gates Foundation telah berikrar untuk menyumbang $315 juta sepanjang tiga tahun akan datang bagi menyokong usaha CGIAR yang berkaitan dengan iklim. Separuh daripada pelaburan AS $315 juta daripada Yayasan Gates ini akan menyokong inisiatif penyesuaian iklim yang dijalankan melalui portfolio CGIAR baharu, yang memperkemas kerjasama, pengetahuan dan aset CGIAR untuk mempercepat kadar aliran inovasi kepada para pekebun kecil.

Selain itu, Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) berikrar untuk menyumbang $215 juta sepanjang lima tahun akan datang, manakala Kanada berikrar sebanyak $45 juta.

Ia turut disertai oleh para pembiaya lain yang juga komited untuk menyokong Strategi Inovasi dan Penyelidikan CGIAR untuk tahun 2022 seterusnya. Sweden telah berikrar sebanyak $18 juta, sementara Belgium yang menyatakan bahawa ia ingin meneruskan kerjasama yang kukuh dengan CGIAR, telah mengumumkan rancangan untuk menyumbang tambahan sebanyak $14 juta yang sedang menunggu kelulusan belanjawan 2022 daripada parlimen persekutuan negaranya. 

Pelaburan yang diumumkan hari ini merupakan tambahan kepada ikrar sumbangan sebanyak $256 juta daripada Suruhanjaya Eropah, Belanda dan Belgium kepada CGIAR semasa Acara Langsung Rakyat Global pada bulan September yang lalu. Ikrar tersebut merangkumi $162.4 juta daripada Suruhanjaya Eropah; $87 juta daripada Belanda; dan $7 juta daripada Belgium.

"Kesan iklim terhadap pengeluaran makanan merupakan kewujudan ancaman terhadap beberapa ratus juta orang yang bergantung kepada pertanian untuk menyara keluarga mereka," kata Bill Gates, Pengerusi Bersama Bill & Melinda Gates Foundation. "CGIAR telah menyampaikan penyelesaian berimpak tinggi kepada para pekebun kecil selama setengah abad dan saya yakin mereka boleh memimpin usaha global untuk membangunkan inovasi yang diperlukan sebagai penyesuaian kepada perubahan iklim."

"Sebagai salah seorang penderma pengasas CGIAR, USAID berbangga dapat meneruskan kerjasama kami yang sekian lama dengan komitmen berjumlah sekurang-kurangnya $215 juta selama lima tahun kepada inovasi dan penyelidikan pertanian CGIAR yang penting," kata Dr. Jim Barnhart, Pembantu Pentadbir Biro Ketahanan dan Keselamatan Makanan USAID. "Perubahan iklim mengancam kehidupan serta mata pencarian keluarga dan komuniti, terutamanya di negara-negara yang kurang maju. Pembiayaan ini akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti pertanian untuk 200 juta orang di Asia Selatan dan Sub-Sahara Afrika sebanyak 25 peratus menjelang tahun 2030. CGIAR merupakan rakan kongsi penting dalam usaha kami untuk membina masa depan makanan yang terjamin dan berdaya tahan iklim."

"Selama 50 tahun, CGIAR telah menyampaikan penyelidikan dan inovasi yang penting bagi menangani kelaparan," kata Yang Berhormat Harjit S. Sajjan, Menteri Pembangunan Antarabangsa dan Menteri yang bertanggungjawab untuk Agensi Pembangunan Ekonomi Pasifik Kanada. "Kanada telah menjadi rakan kongsi sejak awal lagi kerana kami percaya bahawa penyelidikan dan inovasi saintifik adalah penting dalam menjadikan sistem makanan, tanah dan air lebih lestari, adil dan cekap. Hari ini, kami gembira dapat terus menyokong usaha CGIAR dengan menyumbang sebanyak CAD $55 juta selama tiga tahun untuk membantu menamatkan kelaparan dan membina sistem makanan lestari dan pintar iklim serta meletakkan kesamaan jantina di barisan hadapan penyelidikan pertanian global untuk pembangunan."

Pelaburan baharu ini terhasil berdasarkan asas kerja iklim yang disokong oleh CGIAR yang telah kukuh. Sebagai contoh, dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kerjasama CGIAR telah menyediakan 200 jenis pelbagai jagung pintar iklim kepada kira-kira lapan juta isi rumah pertanian dan pelbagai jenis beras baharu yang tahan garam dan banjir kepada kira-kira 18 juta orang petani. CGIAR juga menerajui usaha untuk menyepadukan pelbagai amalan pengeluaran makanan yang pintar iklim di seluruh rangkaian kampung dan lembah yang pintar iklim di Afrika, Asia dan Amerika Latin yang mempunyai jutaan keluarga petani. Selain itu, usaha rintis CGIAR terhadap pengeluaran makanan bernutrisi tinggi dengan pelepasan karbon rendah seperti akuakultur, membuka laluan lestari baharu untuk meningkatkan pemakanan dan pendapatan komuniti luar bandar.  

Usaha di COP26 untuk mendapatkan lebih banyak sokongan bagi para pekebun kecil ini mendapat peningkatan yang signifikan melalui pelancaran Misi Inovasi Pertanian untuk Iklim atau AIM4C yang baharu. Pakatan ini yang kini merangkumi lebih 30 buah negara, telah dibentuk oleh Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu untuk menjana pembiayaan baharu bagi asas penemuan penyelidikan pertanian, kerjasama antarabangsa dan sistem penyelidikan pertanian kebangsaan di negara-negara berpendapatan rendah. Tumpuan utama AIM4C ialah untuk meningkatkan pelaburan secara signifikan dalam "pemecutan inovasi" – projek yang disediakan untuk menterjemah pelaburan baharu menjadi kesan segera kepada para pekebun kecil.  

Pemecutan inovasi bernilai $40 juta yang diterajui oleh CGIAR melalui kerjasama dengan Yayasan Penyelidikan Makanan & Pertanian (FFAR) dan Yayasan Gates akan membawa kepada koleksi kepelbagaian tanaman global CGIAR yang luas dengan ciri-ciri utama yang berdaya tahan iklim. Pemecutan ini akan membekalkan pembiak tanaman dengan bahan mentah yang mereka perlukan bagi menyediakan pelbagai jenis tanaman yang pintar iklim kepada para petani.

"Keperluan mendesak ini adalah jelas: sekiranya komuniti global benar-benar komited untuk mengakhiri kelaparan dan kemiskinan, maka ia mesti bertindak sekarang untuk menyokong komuniti pekebun kecil yang telah mengalami kesukaran akibat perubahan iklim," kata Claudia Sadoff, Pasukan Pengurusan Eksekutif Penganjur merangkap Pengarah Urusan Penyampaian dan Kesan Penyelidikan CGIAR. "Terdapat banyak inovasi menarik yang tersedia.  Namun begitu, walaupun dengan pengumuman hari ini, masih terdapat jurang yang besar antara magnitud ancaman iklim terhadap para pekebun kecil dan pelaburan yang diperlukan untuk membantu mereka melakukan penyesuaian."   

Sadoff menyatakan bahawa melabur dalam penyesuaian juga merupakan "peluang bersejarah untuk melaksanakan pendekatan positif alam semula jadi kepada pengeluaran makanan di beberapa ekosistem yang paling berharga dan paling rentan di dunia."

"Penyesuaian dalam pertanian adalah tentang meneruskan laluan yang lebih hijau," ujarnya. "Ia termasuk menyediakan teknologi yang membantu para petani menanam lebih banyak makanan dengan air yang kurang dan memulihkan landskap usang melalui strategi menyeluruh yang menyokong perkhidmatan ekosistem dan pengeluaran makanan."

Nota kepada editor: 

Tentang CGIAR 

CGIAR ialah sebuah kerjasama penyelidikan global untuk masa depan yang terjamin makanan. Sains CGIAR dikhususkan untuk mengubah sistem makanan, tanah dan dan air dalam krisis iklim. Penyelidikannya dijalankan oleh 13 buah Pusat/Pakatan CGIAR dalam kerjasama yang erat dengan ratusan rakan kongsi yang merangkumi institusi penyelidikan kebangsaan dan serantau, organisasi masyarakat awam, akademik, organisasi pembangunan dan sektor swasta. www.cgiar.org 

Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1677024/COP26.jpg?p=medium600

 

 

Source: CGIAR
Keywords: Agriculture Banking/Financial Service Environmental Products & Services Environmental Issues Environmental Policy