omniture

Kroll Lantik David Lewis, Bekas Setiausaha Eksekutif FATF, sebagai Pengarah Urusan untuk Terajui Bahagian Penasihat AML

Kroll
2022-01-19 10:00 91

LONDON, 19 Januari 2022 /PRNewswire/ -- Kroll, penyedia perkhidmatan dan produk digital berkaitan penilaian, tadbir urus, risiko dan ketelusan, hari ini mengumumkan bahawa David Lewis, bekas Setiausaha Eksekutif bagi Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), telah menyertai firma sebagai pengarah urusan bahagian Penyiasatan Forensik dan Risikan. Bidang tugas Lewis meliputi tanggungjawab di peringkat antarabangsa, sekaligus meluaskan khidmat nasihat pencegahan pengubahan wang haram (AML) Kroll bagi membantu kerajaan dan institusi kewangan di seluruh dunia mengesan dan mencegah aktiviti pengubahan wang haram.

Sepanjang kerjayanya, Lewis telah  berperan penting menerajui  perjuangan global menentang pengubahan wang haram, dengan secara konsisten menekankan keperluan bagi kerjasama yang lebih erat antara bidang kuasa, dan bersama dengan sektor swasta dan masyarakat sivil, memanfaatkan teknologi untuk memperkuatkan keberkesanan dan kecekapan menentang jenayah kewangan. Gandingan keupayaan penyiasatan global, risikan, analisis berpandukan teknologi dan khidmat nasihat risiko Kroll dengan pengalaman dan kepakaran Lewis akan menyediakan aplikasi praktikal dan maklumat risikan bermakna yang diperlukan kerajaan dan institusi kewangan untuk menangani pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Lewis mengulas, "Kroll mempunyai pengalaman luas dan sudah sekian lama berkhidmat di peringkat tertinggi kepada kerajaan dan institusi kewangan di seluruh dunia, memberikan nasihat dan sokongan praktikal untuk mengukuhkan keupayaan mereka mengesan dan mencegah pengubahan risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan. Kerjasama Kroll dengan pihak berkuasa kawal selia dan institusi yang dikawal selia, unit risikan kewangan (FIU) dan agensi penguatkuasaan undang-undang, khususnya di negara sedang membangun dan baharu muncul, meliputi khidmat nasihat pencegahan dan pengesanan pengubahan wang haram, di samping menyiasat jenayah berkaitannya dan mendapatkan semula aset yang berkenaan. Ini merupakan faktor penting yang mendorong saya mempertimbangkan penerimaan tugas ini yang seterusnya selepas FATF. Saya tidak sabar-sabar untuk bekerjasama dengan rakan-rakan baharu saya di seluruh dunia, memanfaatkan keupayaan dan pengalaman dalaman kami untuk bertindak secara berkesan menentang pengubahan wang dan memberikan nasihat praktikal kepada negara-negara yang memerlukan sokongan berkecuali untuk menentang jenayah kewangan."      

Pada awal kerjayanya, Lewis bekerjasama dengan kerajaan UK sebagai penasihat dasar kanan di HM Treasury, di mana beliau mengetuai Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Unit Kewangan Tidak Sah. Beliau juga berkhidmat sebagai anggota kanan Agensi Jenayah Terancang Serius (kini Agensi Jenayah Kebangsaan UK), di mana beliau telah menubuhkan dan mengetuai jabatan yang menjalin hubungan dengan sektor swasta untuk menyokong campur tangan bukan tradisional yang menangani aktiviti jenayah terancang serius.

Tom Everett-Heath, Ketua Global, bahagian Penyiasatan Forensik dan Risikan Kroll menambah: "David telah berperan penting dalam perjuangan global menentang pengubahan wang haram dan secara konsisten menggalakkan pendekatan berasaskan risikan, dengan memanfaatkan teknologi untuk membolehkan pihak-pihak berkepentingan daripada berbilang bidang kuasa untuk mengesan dan menyiasat jenayah kewangan secara berkesan. Pendiriannya jelas menyokong kepakaran dan pengalaman profesional Kroll yang berusaha menasihati pelanggan di bidang ini. Maklumat dan kepimpinan David akan terus mengukuhkan keupayaan khidmat nasihat kami, lantas membolehkan kami memberi pelanggan kelebihan dalam perjuangan global menentang pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan."

Mengenai Kroll

Kroll ialah penyedia perkhidmatan dan produk digital terkemuka yang berkaitan dengan penilaian, tadbir urus, risiko dan ketelusan. Kami bekerjasama dengan pelanggan dalam pelbagai sektor dalam bidang penilaian, perkhidmatan pakar, penyiasatan, keselamatan siber, pembiayaan korporat, penyusunan semula, penyelesaian undang-undang dan perniagaan, analisis data dan pematuhan kawal selia. Firma kami mempunyai hampir 5,000 profesional di 30 negara di seluruh dunia. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.kroll.com.

Source: Kroll
Keywords: Banking/Financial Service Personnel announcements